JaUh PeRjaLaNAn LUas PeMaNdAnGaN

Ahad, 31 Oktober 2010

Prosedur Perkahwinan Luar Negara (Tanpa Kebenaran) Di Negeri Selangor

= PENDAHULUAN

Institusi kekeluargaan bermula dengan terbentuknya sesebuah perkahwinan. Perkahwinan menurut undang-undang Islam ialah satu kontrak sivil dan merupakan satu ibadah. Perkahwinan boleh diadakan tanpa apa-apa istiadat atau prosedur tertentu. Malahan, ianya tidak memerlukan upacara khas ataupun pegawai tertentu. Islam tidak pernah mensyaratkan supaya perkahwinan itu direkodkan dan didaftarkan sama ada secara rasmi ataupun tidak, malahan tidak disyaratkan untuk ditulis. Sesuatu akad perkahwinan dianggap sah dan mengikat sekiranya telah memenuhi segala rukun dan syarat yang ditetapkan oleh hukum syarak.

Atas dasar inilah, Islam tidak melarang perkahwinan dijalankan di mana-mana jua dan dalam keadaan apa sekalipun, asalkan segala rukun dan syarat telah dipenuhi. Malahan, atas kemudahan inilah, ada segelintir pasangan yang telah mengambil kesempatan untuk kahwin lari. Oleh itu, undang-undang keluarga Islam negeri-negeri di Malaysia telah memperuntukan beberapa sekatan dalam perlaksanaan perkahwinan bagi menjamin supaya tidak berlakunya sebarang penyelewengan dalam perkara ini. Peruntukan ini, telah disediakan dalam bentuk prosedur perkahwinan. Di antara perkara-perkara yang terkandung dalam prosedur ini ialah permohonan berkahwin, penetapan umur minimum, penentuan status perkahwinan, perkahwinan dihadapan pendaftar perkahwinan bertauliah, penentuan tempat perkahwinan, permohonan berpoligami dan pendaftaran perkahwinan. Kedua-dua prosedur dan pendaftaran perkahwinan adalah untuk kemaslahatan dan kesejahteraan sosial. Walaupun, peraturan yang telah ditetapkan ini adalah tidak menjadi syarat sahnya sesuatu perkahwinan, namun, perlanggarannya menyalahi undang-undang yang telah ditetapkan.


= DEFINISI PERKAHWINAN

Perkahwinan atau nikah dari segi bahasa ialah bersatu atau berkumpul.
Manakala, dari syarak ialah satu akad yang menghalalkan istimta’ (bersetubuh atau berseronok-seronok) di antara suami isteri dengan cara yang dibenarkan oleh syarak. Menurut Imam Abu Zuhrah perkahwinan sebagai suatu aqad yang menghalalkan pergaulan antara suami isteri dengan jalan-jalan yang telah ditetapkan.

= DEFINISI PERKAHWINAN TANPA KEBENARAN

Perkahwinan tanpa kebenaran atau kahwin lari bermaksud perkahwinan yang biasanya diakadkan oleh wali Hakim di negeri lain dan tidak mengikut Enakmen atau Akta Undang-Undang Keluarga Islam serta perkahwinan ini tidak direstui oleh wali pengantin perempuan. Perkahwinan ini juga tidak mendapat kebenaran Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk mukim yang berkenaan. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, kahwin lari didefinisikan sebagai perkahwinan (pernikahan) pasangan lelaki dan wanita (biasanya suka sama suka) yang dilakukan di tempat lain tanpa disaksikan atau direstui keluarga.

Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa perkahwinan tanpa kebenaran atau kahwin lari ini mesti mempunyai unsur-unsur berikut:

a)Tidak mengikut Enakmen atau Akta Undang-Undang Keluarga Islam.
b)Tanpa mendapat kebenaran bertulis dari Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk mukim terbabit.

= PROSEDUR PERKAHWINAN

Di Malaysia, prosedur perkahwinan boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu prosedur perkahwinan dalam negeri dan prosedur perkahwinan di luar negeri. Seksyen 16 (1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003, menjelaskan bahawa “apabila dikehendaki untuk mengakadnikahkan sesuatu perkahwinan yang dicadangkan itu hendaklah memohon dalam borang yang ditetapkan untuk kebenaran berkahwin kepada pendaftar bagi kariah masjid dimana pihak perempuan itu bermastautin”. Sebelum prosedur ini diikuti (bagi perkahwinan biasa dalam negeri), bakal pengantin diwajibkan mengikuti kursus pra perkahwinan Islam yang dikenali sebagai Modul Bersepadu Kursus Pra Perkahwinan Islam. Ketetapan ini telah dilaksanakan di atas persetujuan Majlis Persidangan Ketua-ketua Jabatan Agama Islam bagi setiap negeri supaya kursus perkahwinan diselaraskan dengan melaksanakan modul untuk semua bakal pengantin.

Kursus perkawinan ini telah dilaksanakan bermula tahun 1994. Kursus ini adalah bertujuan untuk memastikan bakal pengantin mempunyai asas agama dan ilmu yang berkaitan dengan alam perkahwinan dan alam rumahtangga. Kursus ini telah dijalankan selama dua hari dan para peserta akan diberikan sijil dan akan dilampirkan bersama-sama dengan borong permohonan perkahwinan masing-masing.

= PROSEDUR PERKAHWINAN LUAR NEGERI

Perkahwinan diluar negeri adalah perkahwinan yang telah dilaksanakan oleh rakyat negeri masing-masing diluar negeri. Akta dan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor seksyen 16, yang sedia ada bukanlah bertujuan untuk menyekat atau menghalang ataupun untuk mengalakkan perkahwinan diluar negeri. Akan tetapi, ianya bertujuan untuk memberi perlindungan yang sewajarnya kepada seseorang itu. Walaubagaimanapun, sesuatu perkahwinan itu mestilah mengikut hukum syarak dan peruntukan undang-undang yang telah termaktub dan diiktiraf di negara ini. Prosedur perkahwinan luar negeri boleh dibahagikan kepada empat iaitu perkahwinan luar negeri di kedutaan, perkahwinan luar negeri selain di kedutaan, perkahwinan luar negari dengan kebenaran dan perkahwinan luar negeri tanpa kebenaran.

Dalam kertas kerja ini, akan dibincangkan tentang perkahwinan luar negeri tanpa kebenaran iaitu perkahwinan mana-mana orang yang bermukim atau bermastautin di mana-mana negeri di Malaysia yang ingin berkahwin diluar negeri tanpa kebenaran pendaftar nikah, cerai dan rujuk (NCR) di daerahnya terlebih dahulu. Biasanya perkara ini dilakukan oleh orang-orang yang bermasalah dengan perkahwinan yang bakal dilangsungkan di negeri meraka. Permasalahan ini biasanya wujud di sebabkan tidak mendapat persetujuan isteri pertama untuk berpoligami ataupun tidak mendapat keizinan daripada wali-wali atas sebab-sebab tertentu.

Di Malaysia, kerajaan telah membuat perjanjian bersama (memorandum of understanding) dengan kerajaan Thailand, mengiktiraf jurunikah yang bertauliah di lima daerah di selatan Thailand iaitu di Narathiwat, Pattani, Satun, Songkhla dan Yala untuk membantu mereka yang menghadapi masalah seperti ini. Jika, seseorang yang bermastautin atau bermukim dalam negeri ini telah berkahwin di luar negeri dengan sah mengikut hukum syarak, orang itu hendaklah dalam masa enam bulan selepas tarikh perkahwinan, hendaklah hadir di hadapan pendaftar NCR yang berhanpiran di luar negeri untuk mendaftarkan perkahwinan tersebut.

Sekiranya NCR di luar negeri yang dilantik tidak ada atau sebelum tamat tempoh enam bulan pihak yang terlibat telah kembali ke negeri mereka. Maka, pihak yang terlibat hendaklah mendaftarkan perkahwinan mereka kepada pendaftar NCR negeri masing-masing. Untuk mendaftar perkahwinan tersebut, mereka hendaklah mengemukakannya kepada pendaftar NCR apa-apa keterangan sama ada secara lisan atau bertulis, yang mana boleh memuaskan hati pendaftar NCR bahawa perkahwinan itu telah dilaksanakan mengikut hukum syarak. Jika sekiranya, pendaftar NCR berpuas hati dengan keterangan yang dikemukakan oleh pihak yang terlibat dan setelah mendapatkan pengesahan daripada pihak yang melantik jurunikah dan yang mengeluarkan sijil nikah tersebut, maka ia boleh mendaftarkan perkahwinan itu dan begitulah sebaliknya.

Menjadi satu kesalahan bagi sesiapa yang bermastautin atau bermukim di negara ini melangsungkan perkahwinan dengan sengaja di luar negeri tanpa mendapat kebenaran pendaftaran NCR terlebih dahulu. Jika sekiranya, perkahwinan yang dijalankan itu bukan poligami, pihak yang terlibat itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1000.00 atau enam bukan penjara atau kedua-duanya sekali. Selepas membayar denda, barulah perkahwinan itu boleh didaftarkan di bawah enakmen undang-undang yang di peruntukan.

Pada masa kini, mana-mana perkahwinan tanpa kebenaran yang hendak didaftarkan di bawah Akta atau Enakmen Undang-undang Keluarga Islam negeri-negeri hendaklah disahkan terlebih dahulu. Perkahwinan tanpa kebenaran ini, merujuk kepada perkahwinan yang berlaku di luar Malaysia dan kebanyakkannya berlaku di Thailand. Perkara ini berlaku, oleh kerana ramai pasangan yang mengambil kesempatan untuk kahwin lari di sana untuk mengatasis masalah yang mereka hadapi. Kebiasaanya, perkahwinan ini dilakukan melalui wali hakim atau wali raja yang mana tidak dapat dipastikan sama ada wali tersebut bertauliah ataupun tidak. Malahan, kesempatan ini juga telah di ambil kesempatan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menikahkan pasangan tersebut dengan tujuan komersial ataupun lebih di kenali sebagai “kahwin sindiket”. Pihak-pihak ini telah meletakkan bayaran yang agak tinggi dan tidak menghiraukan sama ada perkahwinan yang mereka sediakan itu memenuhi kehendak hukum syarak ataupun tidak. Apa yang penting bagi mereka ialah pasangan yang terdesak dapat kahwinkan dan mereka pula mendapat wang.

Disebabkan perkara ini berleluasa, maka satu ketetapan telah diambil iaitu mana-mana orang yang bermastautin atau bermukim di negeri ini yang berkahwin di luar negeri tanpa kebenaran, maka perkahwinan tersebut hendaklah dibuat pengesahan di mahkamah terlebih dahulu, sebelum di daftarkan. Malahan, setelah mahkamah mendapati perkahwinan itu adalah sah dan pasangan dikenakan penalti, barulah perkahwinan tersebut akan didaftarkan. Dan sekiranya perkahwinan tersebut didapati tidak memenuhi hukum syarak, pasangan tersebut akan difaraqkan (dipisahkan) dan penalti akan di kenakan.

= PROSEDUR PENDAFTARAN PERKAHWINAN LUAR NEGERI TANPA KEBENARAN

Prosedur pendaftaran perkahwinan luar negeri tanpa kebenaran di Negeri Selangor adalah bermula dengan pihak-pihak hendaklah melaporkan perkahwinan tersebut di Pejabat Agama Islam di mana sepatutnya perkahwinan tersebut berlaku. Siasatan akan dibuat oleh Pejabat Agama Islam dan kes tersebut akan dipanjangkan ke bahagian pendakwaan untuk proses pendakwaan. Proses pendakwaan akan dibuat di Mahkamah Rendah Syariah di mana sepatutnya perkahwinan tersebut dijalankan. Seksyen 20(1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 “Sesuatu perkahwinan hendaklah dijalankan di mana pihak perempuan bermastautin, tetapi Pendaftar atau Hakim Syarie yang memberi kebenaran berkahwin di bawah seksyen 17 atau 18 boleh memberi kebenaran untuk perkahwinan itu diakadnikahkan di tempat lain, sama ada dalam Negeri Selangor atau dalam mana-mana Negeri”.
Setelah selesai pendakwaan, pihak-pihak hendaklah memfailkan permohonan pendaftaran nikah di Mahkamah Tinggi Syariah sekiranya permohonan tersebut untuk pihak yang berpoligami dan di Mahkamah Rendah Syariah untuk pihak yang masih bujang. Mahkamah akan membicarakan kes tersebut dan akan mengesahkan serta memerintahkan kes tersebut didaftarkan di Pejabat Agama Islam. Pihak-pihak perlu ke Pejabat Agama Islam untuk mendaftarkan perkahwinan tersebut dan surat nikah akan dikeluarkan.

= SEBAB-SEBAB PENDAFTARAN PERKAHWINAN LUAR NEGERI TANPA KEBENARAN

Perkahwinan luar negeri tanpa kebenaran di Negeri Selangor perlu di daftarkan kerana telah peruntukkan oleh Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 berdasarkan seksyen 25, setiap perkahwinan hendaklah didaftarkan. Selain itu, tujuan pendaftaran ini diwujudkan adalah untuk mengetahui status perkahwinan tersebut sah ataupun tidak dan juga untuk rekod pihak Jabatan Agama Islam berkaitan jumlah perkahwinan di Negeri Selangor. Serta tujuan pendaftaran tersebut direkodkan adalah untuk mengelakkan timbulnya masalah nasab anak, masalah harta pusaka, masalah perceraian di belakang hari.

a.Urusan tuntutan hak

Hak-hak semasa perkahwinan, seperti tuntutan nafkah isteri, mahar yang tertunggak, nafkah anak-anak, penentuan nasab anak, tempat tinggal serta tuntutan selepas berlaku perceraian, sepeti tuntutan nafkah ‘iddah, nafkah anak-anak, mut’ah, harta sepencarian, dan hak penjagaan anak dan lain-lain tidak akan terlaksana melainkan sesuatu perkahwinan itu dibuktikan sah dan didaftarkan. Ini termasuklah juga untuk mendapatkan hak sekiranya berlaku sebagai contoh pembahagian harta melalui faraid, pencen si mati dan perkara lain yang bersangkutan, tidak boleh dituntut. Oleh itu, bagi setiap urusan yang berkaitan, permohonan di mahkamah yang melibatkan pihak suami dan isteri hendaklah disertakan sijil nikah yang dikeluarkan oleh negeri masing-masing. Penyertaan dokumen sijil nikah ini adalah satu kemestian. Sekiranya tidak permohonan itu akan ditolak oleh Pendaftar mahkamah sebelum didengar dan dibicarakan oleh hakim.

b.Urusan pembubaran perkahwinan

Mana-mana pasasangan yang hendak memohon pembubaran perkahwinan sama ada melalui talak atau khulu’ atau taklik atau li’an atau fasakh, hendaklah pernikahan mereka didaftarkan terlebih dahulu di bawah Akta atau Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam negeri masing-masing. Ini bermakna, perkahwinan yang tidak didaftarkan di bawah undang-undang keluarga yang sedia ada, akan menyebabkan permohonan mereka untuk membubarkan perkahwinan akan ditolak oleh mahkamah.

c.Pasangan boleh dituduh di bawah kesalahan berkhalwat

Jika pasangan gagal menunjukkan bukti bahawa mereka telah berkahwin, maka pasangan berkenaan boleh dihukum melakukan kesalahan jenayah syariah khalwat di bawah seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995.

= FAKTOR BERLAKUNYA PERKAHWINAN LUAR NEGERI TANPA KEBENARAN

Di antara punca berlakunya perkahwinan luar negeri tanpa kebenaran ialah:

a.Wali

Faktor utama berlakunya perkahwinan di luar negera tanpa kebenaran ialah keengganan wali menikahkan perempuan di bawah jagaannya dengan lelaki pilihan mereka. Antara sebab keengganan wali ialah wali telah mempunyai calon menantu pilihan mereka sendiri, pilihan anak mereka tidak sekufu dari segi keturunan, pangkat, agama, budaya, pihak lelaki telah beristeri, pihak perempuan sendiri bawah umur dan lain-lain.

b.Poligami

Sebilangan besar pasangan yang bernikah di luar negeri adalah disebabkan pernikahan tersebut adalah penikahan poligami, sama ada pihak perempuan dalam proses pernikahan itu menjdai isteri kedua, ketiga atau keempat. Oleh kerana, permohonan di Negeri Selangor khususnya dan di Malaysia amnya dimestikan mendapat kebenaran Mahkamah Syariah. Terdapat pasangan yang mengambil jalan mudah dengan melakukan pernikahan mereka di luar negeri. Alas an yang mereka berikan ialah mendapat tentangan daripada isteriyang sedia ada, tidak mahu isteri yang sedia ada mengetahuinya ataupun untuk mengelakkan daripada diketahui oleh pihak-pihak tertentu seperti majikan, ahli keluarga atau pihak berkuasa agama tempatan.

c.Hamil di luar perkahwinan

Terdapat pasangan yang terdesak berkahwin di Thailand untuk menutup malu ataupun setelah pihak lelaki dipaksa atau diugut oleh pihak keluarga masing-masing supaya bertanggungjawab setelah pihak perempuan telah hamil di luar perkahwinan.

d.Masalah khalwat

Bagi mengelakkan pasangan disabitkan dengan kesalahan jenayah khalwat, pasangan yang terlibat akan berkahwin di Thailand untuk mendapatkan sijil nikah sebagai bukti dan pembelaan di mahkamah bahawa mereka telah berkahwin semasa ditangkap.

e.Lebih cepat dan mudah

Perkahwinan cara ini lebih cepat dan mudah kerana tidak perlu melalui proses temu duga atau menjalani krusus pra-perkahwinan terlebih dahulu. Kebiasaannya, setiap pasangan dari Malaysia yang berkahwin di Thailand bukan sahaja prosedurnya mudah, bahkan hanya dengan bayaran sebanyak RM300 sahaja merka dapat menyempurnakan perkahwinan mereka termasuklah khidmat juru nikah, saksi dan urusan pendaftaran bagi pengeluaran sijil ikah yang sah.

f.Belanja kahwin yang tinggi

Tidak dinafikan belanja kahwin yang tinggi juga merupakan pemangkin peningkatan jumlah perkahwinan luar negara tanpa kebenaran. Ada antara pihak lelaki yang tidak berupaya untuk menyediakan hantaran dan perbelanjaan kenduri yang tinggi seperti yang diminta oleh piahak keluarga perempuan. Dengan melangsungkan perkahwinan di Thailand, mereka hanya perlu membayar mas kahwin dan upah kahwin yang murah dan tidak perlu memberikan hantaran yang kebiasaannya di luar kemampuan pihak lelaki.

g.Adanya sindiket kahwin luar negara tanpa kebenaran

Kehadiran sindiket yang menyediakan khidmat jurunikah dan saksi-saksi nikah juga memudahkan pasangan yang bermasalah untuk berkahwin lari. Pasangan yang ingin kahwin hanya perlu menghubungi pihak-pihak tertentu yang berada di sempadan Malaysia dan mereka akan membawa pasangan berjumpa dengan imam dan saksi-saksi nikah yang sedia menikahkan perkahwinan mereka pada bila-bila masa sahaja. Dengan kewujudan sindeket seperti ini, perkahwinan luar negara tanpa kebenaran boleh dilakukan dengan mudah kerana pasangan tersebut tidak perlu lagi mencari jurunikah dan saksi-saksi nikah. Ada juga sindiket yang memberi kemudahan (dengan bayaran yang lebih sedikit) kepada pasangan untuk berkahwin dengan membawa jurunikah dan saksi-saksi dari Thailand ke Malaysia untuk menikahkan mereka dan memberikan sijil nikah Thailand. Hal ini memudahkan lagi kepada pasangan bermasalah kerana tidak perlu lagi ke sempadan yang akan melibatkan penggunaan pasport atau pas perjalanan. Akibatnya, timbullah isu sijil kahwin palsu yang tidak diiktiraf oleh Majlis Agama Islam selatan Thailand dan kerajaan Malaysia, kerana pasangan tersebut dinikahkan oleh mereka yang tidak bertauliah. Hal ini hanya disedari apabila pasangan ingin mendaftar semula perkahwinan mereka.

h.Kurang kefahaman agama dan peruntukan undang-undang sedia ada

Kurang kefahaman agama tentang persoalan rukun perkahwinan dan perkara-perkara berkaitan dengannya seperti masalah perwalian, merupakan faktor penyebab berlakunya perkahwinan luar negara. Penggunaan wali raja atau wali hakim di luar negeri atau di mana-mana tempat tanpa kebenaran pihak berkuasa atau sebab wali tidak bersetuju dan tidak mengizinkan perkahwinan, lantas pasangan menggunakan alasan wali berada lebih daripada 2 marhalah atau 60 batu atau 96 kilometer dari tempat berlangsungnya pernikahan tidak boleh diterima sewenang-wenangnya. Hal ini wujud kerana pasangan tersebut sendiri yang melarikan diri daripada wali dan bukannya wali yang ghaib. Masalah wali tidak memberi persetujuan boleh diselesaikan melalui permohonan perkahwinan menggunakan wali raja atau wali hakim di daerah masing-masing.

i.Kewarganegaraan

Pada masa kini, terdapat ramai warganegara asing yang datang ke Malaysia ataupun warganegara Malaysia ke luar negeri, sama ada kerana melancong, belajar, bekerja dan menjalankan urusan perniagaan. Keadaan ini secara tidak langsung mendorong hubungan peribadi antara warganegara asing dengan penduduk tempatan. Dan hasil daripada hubungan tersebut, terdapat sebilangan daripada mereka melangsungkan akad nikah di luar negeri tanpa kebenaran pihak berkuasa agama negeri atas pelbagai alas an seperti sedang berada di negeri berkenaan dan tidak sempat balik ke Malaysia, memerlukan kos yang tinggi untuk berulang alik dan juga disebabkan pernikahan dengan warganegara asing tersebut merupakan pernikahan poligami.

= IMPLIKASI PERKAHWINAN LUAR NEGARA TANPA KEBENARAN

Perkahwinan luar negara tanpa izin pada keseluruhannya memberi implikasi yang buruk daripada yang baik. Implikasi ini boleh dilihat seperti yang berikut:

a.Terhadap pasangan

Tidak dinafikan perkahwinan luar negara tanpa kebenaran memberi implikasi yang amat besar terhadap pasangan baik dari segi undang-undang mahupun sosial. Ia akan lebih ketara jika perkahwinan itu dilanda krisis rumah tangga atau lebih rumit lagi jika berlaku perceraian kerana perkahwinan tersebut tidak memenuhi peruntukan bawah Akta dan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor. Pada umumnya, perkahwinan luar tanpa kebenaran tidaklah semestinya tidak sah kerana ia mungkin telah memenuhi kehendak rukun dan syarat-syarat di bawah hukum syara’. Pasangan dianggap sebagai telah melanggar peruntukan dan prosedur yang sedia ada dan akan dikenakan penalti yang ditetapkan.

Sekiranya pasangan ingin mendaftar semula perkahwinan, mereka perlu melalui prosedur pengesahan perkahwinan terlebih dahulu. Pertama sekali, pasangan terbabit hendaklah memohon pendaftaran semula perkahwinan melalui penyelia agama di Pejabat Agama Islam Daerah. Penyelia kemudiannya akan membawa kes ke Unit Pendakwaan. Pendakwa pula akan membawa kes tersebut kepada Hakim Syari’e untuk disahkan. Setelah itu, Hakim Syari’e akan meminta pasangan mengisi borang bagi pendaftaran pernikahan luar negeri. Prosedur selanjutnya ialah Hakim Syari’e akan memanggil pasangan berkenaan dan dua orang saksi bagi mengukuhkan keterangan pasangan terbabit. Di peringkat ini, setelah mendengar segala keterangan, mahkamah akan menetapkan sama ada perkahwinan sebagai sah atau terbatal. Setelah penentuan kesahan perkahwinan, kes akan dibawa semula ke unit pendakwaan. Pendakwa akan menjalankan siasatan dan meneruskan pendakwaan ke atas pasangan tersebut atas pertuduhan berkahwin luar negeri tanpa kebenaran. Jika sabait kesalahan, pasangan akan dikenakan penalti. Akhir sekali, mahkamah akan memerintahkan supaya perkahwinan itu didaftarkan bawah Akta atau Enakmen yang berkuat kuasa.

Akan tetapi sekiranya perkahwinan itu didapati tidak sah, pasangan akan difaraqkan (dipisahkan) dan akan dikenakan penalti. Selain tidak dapat menuntut sebarang hak dalam perkahwinan seperti tuntutan nafkah isteri dan anak-anak, hak penjagaan, tuntutan pusaka sekiranya suami meninggal atau sebagainya, pihak perempuan juga tidak boleh memohon pembubaran perkahwinan kerana perkahwinan memang tidak wujud dari awal lagi. Kedudukan anak-anak yang lahir hasil daripada perhubungan ini juga boleh dipersoalkan kesahannya. Sekiranya terbukti perkahwinan tidak sah,anak-anak yang lahir dianggap anak luar nikah yang mana status hubungannya dengan “bapa” tidak wujud sama sekali. Akibatnya, anak-anak akan menghadapi masalah pada masa akan datang.

b.Terhadap keluarga

Perkahwinan antara lain adalah untuk mengeratkan dan menambahkan ahli keluarga dan juga mengikat hubungan di antara dua buah keluarga. Perkahwinan tanpa izin yang berlaku pada lazimnya adalah akibat tidak mendapat restu dan keizinan kedua-dua keluarga terutamanya keizinan wali pihak perempuan. Akibatnya, hubungan antara pasangan tersebut dengan ahli keluarga mereka akan terjejas bahkan terputus langsung kerana tindakan yang diambil oleh pasangan tersebut telah membelakangi kedua-dua orang tua mereka dan mengaibkan mereka di mata masyarakat.

Bagi mereka yang mengamalkan poligami tanpa pengetahuan pihak isteri sedia ada atau anak-anak pula, tanggungjawab dan hak sepatutnya dilaksanakan dan diberikan tidak dapat disempurnakan sebaik mungkin kerana suami dan terutamanya isteri yang kedua atau seterusnya terpaksa hidup seolah-olah dalam buruan. Pasangan ini tidak berupaya memupuk kasih sayang dalam keadaan biasa kerana takut perkahwinan mereka diketahui umum terutamanya isteri yang pertama. Kesan berpoligami secara rahsia ini sedikit sebanyak menyumbangkan kepada kadar perceraian kerana isteri terasa ditipu dan dikhianati oleh suami sendiri. Tambahan pula apabila suami mula mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai seorang suami dan bapa. Justeru, ada antara isteri yang memohon perceraian bagi mengatasi kekusutan yang sedia ada.

c.Terhadap anak

Sekiranya perkahwinan tersebut mempunyai anak, dan anak yang dilahirkan tidak dapat didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Dan ini akan menyukarkan setiap proses yang akan di lalui oleh anak itu kelak seperti hendak membuat pengenalan diri, pendaftaran sekolah dan lain-lain.

d.Terhadap masyarakat

Implikasi perkahwinan tanpa izin terhadap masyarakat ialah ia memberi tindak balas daripada masyarakat sekeliling bahawa Akta dan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam yang diperuntukan di Malaysia sedikit sebanyak menyusahkan pasangan untuk berkahwin dalam negara. Salah faham ini telah menyebabkan segelintir orang membuat rumusan bahawa undang-undang keluarga Islam yang dikuatkuasakan mengongkong kebebasan mereka untuk berkahwin sedangkan Islam itu memudahkan umatnya. Realitinya, undang-undang keluarga yang ada adalah untuk mengemas kini dan memudahkan perkara yang berkaitan dengan urusan nikah, cerai dan rujuk masyarakat Islam di Malaysia.

Ketidakprihatinan masyarakat terhadap Akta dan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam yang dikuatkuasakan di seluruh negeri di Malaysia menyebabkan mereka menganggap permasalahan wali ‘adal tidak dapat diselesaikan mengikut prosedur yang sedia ada dan begitu juga denganh masalah poligami. Masyarakat beranggapan prosedur poligami menyusahkan dan menghalang mereka berpoligami sedangkan Islam mengharuskannya. Sebenarnya, prosedur poligami yang ada adalah bagi memastikan semua pihak yang terlibat sama ada suami, isteri atau isteri-isteri dan bakal isteri dapat melaksanakan tanggungjawab dan mendapat hak masing-masing dan keadilan dapat dilaksanakan sebaik mungkin. Permasalahan yang timbul ialah apabila pihak lelaki yang tidak berkemampuan dan pada masa yang sama tidak mahu melukakan hati isteri atau isteri-isteri yang sedia ada memohon kebenaran untuk berpoligami, yang mana sudah pasti akan ditolak oleh pihak mahkamah. Justeru, jalan yang paling mudah adalah dengan melangsungkan perkahwinan di luar negara tanpa kebenaran.

e. Dari segi undang-undang

pihak-pihak yang melakukan kesalahan ini akan dikenakan tindakan undang-undang kerana telah melanggar peruntukan yang ditetapkan :

di bawah seksyen 40. (1) Seseorang yang dengan diketahuinya mengakadnikahkan atau berbuat sesuatu yang berupa sebagai mengakadnikahkan atau menjalankan upacara sesuatu perkahwinan.

(a)tanpa ada kebenaran berkahwin sebagaimana dikehendaki oleh seksyen 19; atau

(b)dihadapan selaian daripada sekurang-kurangnya dua orang saksi yang boleh dipercayai, di samping orang yang mengakadnikah perkahwinan itu,
adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum dengan denda tidak lebih daripada satu ribu ringgit atau dengan penjara tidak lebih daripada enam bulan atau dengan kedua-duanya denda dan penjara itu.

(2)Seseorang yang berkahwin atau berbuat sesuatu yang berupa sebagai akadnikah atau yang menjalani sesuatu cara akadnikah dengan sesiapa jua berlawanan dengan mana-mana peruntukan Bahagian II adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum dengan denda tidak lebih daripada satu ribu ringgit atau dengan penjara tidak lebih daripada enam bulan atau dengan kedua-duanya denda dan penjara itu.

Dalam hal ini, terdapat dua kesan yang berbeza berkaitan dengan kahwin luar negeri tanpa kebenaran ini iaitu yang pertama ialah sekiranya perkahwinan itu melibatkan wali yang sah maka perkahwinan tersebut adalah dianggap sebagai sah di sisi syarak. Perkahwinan ini hendaklah didaftarkan di Unit Nikah, Cerai dan Rujuk di pejabat agama yang berdekatan. Kegagalan melakukan pendaftaran ini boleh menyebabkan implikasi yang lebih buruk pada masa hadapan terutamanya jika berlaku perceraian. Sebagai contoh, isteri tidak berhak menuntut sebarang hak daripada suaminya kerana tiada rekod pendaftaran perkahwinan antara mereka.

Kedua pula ialah sekiranya perkahwinan itu dijalankan menggunakan wali yang diragui sah maka perkahwinan tersebut juga diragui kesahihannya. Apabila keadaan ini berlaku maka akan timbul masalah untuk mendaftarkan perkahwinan itu. Satu siasatan terperinci terpaksa dijalankan oleh pihak berkuasa bagi mendapatkan kepastian sama ada perkahwinan tersebut sah atau tidak. Jika didapati perkahwinan itu sah, maka pendaftaran akan dijalankan dan denda akan dikenakan kepada pasangan terlibat. Sebaliknya jika dibuktikan perkahwinan itu tidak sah, maka perintah ‘farak’ iaitu pengasingan antara suami isteri terlibat akan dikeluarkan. Pasangan ini hanya akan disatukan semula melalui akad nikah baru yang pasti kesahihannya. Secara teorinya, proses perkahwinan secara sindiket adalah hampir sama dengan proses perkahwinan biasa. Namun, terdapat perbezaan dari segi praktikalnya.

Di dalam perkahwinan biasa, pasangan pengantin yang perlu menyediakan wali dan saksi sebaliknya di dalam perkahwinan sindiket, kebiasaannya, wali dan saksi disediakan. Kos bayaran bagi kahwin sindiket juga tinggi iaitu mencapai RM 3000.00 berbanding dengan kahwin biasa yang hanya menelan belanja antara 1% hingga 5% daripadanya. Contohnya di Selangor, kos yang dikenakan ialah sekitar RM 150.00. Perkahwinan sindiket tidak melibatkan sebarang urusan dengan Jabatan Agama Islam sebaliknya perkahwinan biasa perlu didaftarkan di Unit Nikah, Cerai dan Rujuk, Jabatan Agama Islam atau Pejabat Agama Daerah.

= STATISTIK PENDAFTARAN KES PENGESAHAN NIKAH DI NEGERI SELANGOR DARI TAHUN 2007 HINGGA JUN 2010

BIL. TAHUN DAFTAR
1. 2007 76
2. 2008 101
3. 2009 133
4. JUN 2010 85

= CONTOH KES PERKAHWINAN LUAR NEGERI TANPA KEBENARAN

Di antara pemohon pertama dengan pasangannya selaku pemohon kedua. Kedua-duanya warganegara Malaysia. Pasangan telah bernikah di Wilayah Songkhla, Thailand pada 3 November 2002 dengan menggunakan wali hakim. Alasan yang diberikan oleh pihak lelaki ialah kerana isteri pertamanya tidaksetuju dan prosedur permohonan poligami adalah sukar sedangkan beliau amat memerlukan zuriat kerana sehingga kini beliau belum dikurniakan zuriat.

Di antara pemohon pertama dengan pasangannya selaku pemohon kedua. Kedua-duanya adalah warganegara Malaysia. Pasangan telah bernikah di Wilayah Narathiwat, Thailand pada 6 Ogos 2003 dengan menggunakan wali hakim. Alasan yang diberikan oleh pihak lelaki ialah beliau ada masalah dengan isteri pertama yang ingkar dengan arahan suami dan sentiasa keluar tanpa izin suami. Bagi pihak perempuan beliau tidak mendapat tentangan keluarga dan memandangkan beliau seorang janda yang telah bercerai mati dengan bekas suaminya.


= PENUTUP

Setelah dilihat dan dibincangkan dapatlah diketahui bahawa perkahwinan itu sesuatu yang baik dan halal serta ianya adalah satu ikatan yang murni. Akan tetapi yang menjadi masalah dalam perkahwinan ialah wujudnya perkahwinan tanpa kebenaran ataupun kahwin lari.

Perkara ini boleh menyebabkan berlaku keruntuhan moral dan rumahtangga yang dibina. Di antara faktor-faktor berlakunya perkara ini ialah pihak-pihak merasakan prosedur yang telah dibuat menyusahkan dan lambat ini kerana setiap permohonan yang dibuat memerlukan sokongan ataupun persetujuan daripada pihak-pihak berkaitan seperti ibubapa, isteri, pihak mahkamah dan lain-lain dan mereka merasakan perkara ini menyukarkan mereka berkahwin di negeri ini. Selain itu, faktor perkahwinan tidak mendapat restu dan keizinan daripada ahli keluarga. Malahan, perkahwinan biasa ataupun poligami tidak mendapat keizinan daripada wali dan juga isteri sedia ada. Faktor terlanjur kedua-dua pihak iaitu bakal suami dan isteri juga menjadi salah satu punca berlakunya perkahwinan tanpa kebenaran.

Malahan, dengan adanya perkahwinan tanpa kebenaran akan mewujudkan kesan-kesan kepada pihak-pihak. Di antara kesan-kesan yang wujud ialah pihak-pihak yang melakukan kesalahan ini akan dikenakan tindakan undang-undang kerana telah melanggar peruntukan yang ditetapkan di dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri-negeri, anak yang dilahirkan tidak dapat didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN.) dan sekiranya berlaku kematian suami, perkara ini akan menimbulkan masalah pada isteri kedua dari segi pembahagian harta pusaka, status anak dan juga status isteri tersebut. Malahan akan menimbulkan masalah rumahtangga di kemudian hari serta ianya boleh menimbulkan keraguan terhadap perkahwinan tersebut samada pernikahan yang dijalankan sah ataupun tidak.

= RUJUKAN

Amir Husin & Siti Safawati Binti Mohd Sharif. 2006. Jurnal Syariah.

Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor).2003.

Mohd Nasran Mohamad et.al. 2008. Perkahwinan Luar Negara Tanpa Kebenaran Di Selatan Thailand. FPI UKM.

Mustofa al-Khin, Mustafa al-Bugho & Ali Asy-Syarbaji. 2005. Kitab Fikah Mazhab Syafie. Jld 4. Pustaka Salam Sdn. Bhd : Kuala Lumpur.

Najibah Mohd Zin et al. 2007. Undang-undang Keluarga (Islam). Dewan Bahasa Dan Pustaka:Kuala Lumpur.

Temubual. Masroha Duki.2010. Pegawai Penyelidik Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam Selangor.

8 ulasan:

  1. Salam Cik/Puan, bolehkah saya mendapatkan kontek email anda, saya punya sedikit kemuskilan tentang hal berkaitan nikah di luar negara tanpa kebenaran.

    Email saya, burhanuddin.tsabat@gmail.com
    Ribuan terima kasih.

    BalasPadam
  2. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  3. Salam Cik/Puan, bolehkah emailkan kepada saya tentang prosedur bagi pernikahan poligami tanpa izin mahkamah di negeri kelantan.. terima kasih

    email saya : bantal_wangi95@yahoo.com

    BalasPadam
  4. Assalam.
    Penulisan mengenai nikah poligami luar negara tanpa kebenaran sering menyatakan hukuman denda
    1. Tanpa kebenaran RM1000x2
    2. Poligami tanpa kebenaran RM1000
    3. Daftar selpas 6 bulan RM1000

    walhal sebenarnya itu cuma peruntukan undang2.

    realiti nya pengalaman rakan2 yg pernah lalui, didenda cuma RM600-900 shj utk semua kesalahan. dan bukannya sampai RM4000.

    BalasPadam
  5. rata rata kahwin di luar negara hanya di thailand.bagaimana kalau berkahwin di indonesia? adakah pendaftaran nikah di malaysia juga sama? cyh sy rakyat malaysia berkahwin dgn rakyat mesir di indonesia. adakah sama?

    BalasPadam
  6. Sy nk kawin di indonesia apa yg harus sy laku kn atau apa borang yg harus sy sedia kn mohon beri keterangan kepada sy di no 0168265027

    BalasPadam
  7. Assalamualaikum. adik saya berkahwin di indonesia. dan anak telah lahir di indonesia. Sekarang, adik saya ingin bawa anak dan isteri tinggal di malaysia.. bagaimana caranya.. sijil nikah dikeluarkan di indonesia.. mohon pencerahan untuk membantu permasalahan ini. Semoga sentiasa diberi keberkatan.

    BalasPadam
  8. Assalamualaikum. adik saya berkahwin di indonesia. dan anak telah lahir di indonesia. Sekarang, adik saya ingin bawa anak dan isteri tinggal di malaysia.. bagaimana caranya.. sijil nikah dikeluarkan di indonesia.. mohon pencerahan untuk membantu permasalahan ini. Semoga sentiasa diberi keberkatan.

    BalasPadam