JaUh PeRjaLaNAn LUas PeMaNdAnGaN

Rabu, 2 Mei 2012

PERCERAIAN DAN JENIS-JENISNYA

Perceraian ialah perihal (kejadian) bercerai (antara suami isteri). Perceraian bermaksud menamatkan hubungan perkahwinan sama ada dengan pilihan suami atau dengan keputusan qadi. Perceraian dari segi bahasa bermaksud berpisah. Dari segi istilah pula bermaksud keruntuhan hubungan perkahwinan dan terputusnya hubungan suami isteri dengan bersebab.



  JENIS-JENIS PERCERAIAN

Dalam Undang-undang Keluarga Islam Kelantan jenis-jenis perceraian dapat dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu Talak, Fasakh, Khuluk atau Tebus Talak dan Lian.


  Talak
Talak berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud melepaskan atau membuka ikatan. Talak dari segi syarak ialah melepaskan ikatan perkahwinan dengan perkataan yang jelas atau kinayah (sindiran).



 Jenjenis-jenis Talak


Talak dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu talak Raj’i dan talak Ba’in.
a)      Talak raj’i ialah Seorang suami yang menceraikankan isterinya dan masih boleh merujuk kembali tanpa akad nikah atau acara pernikahan dengan syarat isterinya itu masih berada dalam tempoh idah.
b)      Talak bai’in dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu talak ba’in sughra dan talak ba’in kubra. Talak ba’in sughra ialah talak yang jatuh serta merta pada masa lafaz talak dilafazkan dan kesemua hak-hak isteri terputus apabila dijatuhkan talak. Jika sekiranya suami ingin kembali bersama isterinya maka perlulah suami menikahinya dengan mas kahwin yang baru.
Talak ba’in kubra ialah talak tiga yang dilafazkan oleh suami yang mana semua perhubungan suami isteri terputus setelah talak dijatuhkan. Suami tidak boleh merujuk dengan isterinya melainkan bekas isterinya berkahwin dengan lelaki yang lain, bersetubuh dengan suami barunya dan menceraikannya dan bekas suami pertamanya boleh berkahwin dengan bekas isterinya setelah tempoh idah tamat.

FASAKH
Fasakh ialah melepaskan ikatan perkahwinan antara suami dan isteri setelah diminta cerai oleh isteri melalui pengadil (hakim). Fasakh hanya boleh dilakukan oleh pihak yang berkuasa sahaja seperti hakim dan kadi apabila terdapat sebab tertentu seperti kehilangan suami tanpa diketahui keadaannya sama ada hidup atau mati ataupun salah seorang daripada suami atau isteri murtad dan sebagainya.

Syarat-syarat Fasakh


Menurut pendapat Mazhab Syafie syarat sah fasakh ada dua perkara iaitu:-


  1. -Tidak sah fasakh nikah jika dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.
- Keterangan atau bukti yang diberikan mestilah disaksikan oleh dua orang lelaki atau pengakuan, bahawa kecacatan seperti mati pucuk atau dengan cara berganti-ganti sumpah.

Perbezaan Fasakh Dengan Talak
Fasakh dengan talak adalah berbeza, Fasakh ialah pembatalan akad daripada asas dan menghilangkan sifat halal yang menjadi kesan ke atasnya, manakala talak pula ialah menamatkan akad dan sifat halal masih kekal kecuali setelah talak ba’in (talak tiga). Fasakh berlaku sama ada dengan sebab hal-hal mendatang ke atas akad yang menafikan perkahwinan atau hal-hal yang berhubung kepada akad yang menyebabkan ia tidak lazim dari hukum asal, manakala talak pula ialah talak tidak berlaku kecuali berdasarkan akad yang sahih dan lazim. Selain itu, fasakh tidak mengurangkan bilangan talak yang dimiliki oleh suami, manakala talak mengurangkan bilangan talak.


Kecacatan Yang Membolehkan Fasakh

Di antara kecacatan yang membolehkan fasakh ialah:

  1. Kecacatan yang berkaitan dengan alat kelamin dan menghalang daripada berlakunya persetubuhan, contoh bagi lelaki ialah terpotong zakar, mati pucuk atau tidak ada buah zakar, manakala bagi perempuan ialah lubang farajnya tersumbat dengan daging ataupun dengan tulang. 
  2. Kecacatan yang tidak menghalang daripada berlakunya persetubuhan tetapi terdapat penyakit yang menjijikan atau merbahaya, yang boleh menyebabkan pasangan suami isteri tidak dapat hidup bersama kecuali terpaksa menanggung kesusahan (kemudaratan) seperti kusta, sopak dan gila. 
Jika kecacatan yang disebut sebelum ini berlaku kepada suami atau isteri selepas akad nikah sama ada selepas persetubuhan atau sebelumnya. Kecacatan tersebut boleh menghalang persetubuhan seperti terpotong kemaluan atau mati pucuk bagi suami atau lubang faraj isteri tertutup disebabkan daging atau tulang yang tumbuh atau kecacatan tersebut tidak menghalang daripada berlakunya persetubuhan seperti sopak, kusta dan gila, pasangannya boleh memilih untuk menfasakhkan nikah.
 Walaubagaimanapun, jika suami mati pucuk selepas berlakunya persetubuhan ia dikecualikan daripada hukum di atas kerana dalam masalah tersebut isteri hilang hak untuk memilih fasakh kerana maksud nikah di pihak isteri iaitu mas kahwin dan persetubuhan telah tercapai dan perkara tersebut telah pun sempurna sebelum berlakunya mati pucuk. Selain itu, wali juga berhak menfasakhkan nikah jika didapati berlakunya kecacatan pengantin lelaki sebelum berlakunya akad nikad. Hak ini ada pada wali sama ada pengantin perempuan setuju fasakh ataupun tidak. Ini kerana wali akan berasa malu dengan kecacatan tersebut.

Jika berlaku kecacatan selepas persetubuhan wali tidak berhak menfasakhkan nikah. Ini kerana pada kebiasaanya perasaan malu tidak akan menimpanya, ia berbeza dengan kecacatan yang berlaku sebelum akad nikah. Begitu juga wali tidak mempunyai hak untuk menfasakhkan nikah disebabkan kecacatan mati pucuk dan terpotong kemaluan yang berlaku sebaik sahaja berlaku akad. Ini kerana mudarat itu hanya akan dihadapi oleh isteri sahaja dan dia meredainya, pada kebiasaanya wali tidak akan mendapat malu.

Selain itu, pengantin lelaki atau perempuan tidak boleh menfasakhkan sendiri perkahwinan mereka disebabkan berlakunya kecacatan yang telah disebut di atas. Meraka mesti membawa perkara tersebut kepada kadi serta meminta kadi menfasakhkan nikah tersebut dan jika terbukti berlakunya kecacatan kadi mestilah menfasakhkan nikah tersebut.

Kesan Fasakh Di Sebabkan Kecacatan

    Di antara kesan-kesan fasakh disebabkan kecacatan ialah jika fasakh berlaku sebelum persetubuhan, mas kahwin tidak dikenakan dan tidak akan ada bayaran mutaah untuk isteri. Ini kerana jika kecacatan itu berlaku kepada suami, isteri yang akan meminta fasakh. Oleh sebab itu, dia tidak akan mendapat apa-apa. Dan jika kecacatan itu berlaku kepada isteri, isteri tidak akan mendapat apa-apa kerana perceraian itu berlaku disebabkan kecacatan yang ada pada dirinya dan seolah-olah dia yang melakukan fasakh.

   Jika fasakh berlaku selepas persetubuhan dan kecacatan berlaku sebaik sahaja selesai akad nikad ataupun berlaku di antara akad dan persetubuhan dan suami tidak menyedarinya,  maka  isteri wajib mendapat mahar misil. Dan jika menfasakhkan nikah dengan sebab berlaku kecacatan selepas persetubuhan, maka isteri wajib mendapat semua mas kahwin yang telah disebutkan semasa akad nikah. Ini kerana mas kahwin mesti dibayar dengan berlakunya persetubuhan sebelum wujudnya sebab-sebab fasakh dan jika berlaku kecacatan selepas persetubuhan ia tidak akan merubah hakikat tersebut.



KHULUK


Khuluk atau tebus talak ialah talak yang berlaku dengan keinginan isteri dan kesungguhannya untuk bercerai. Khuluk disyariatkan bagi memenuhi keperluan isteri maksudnya isteri menebus dirinya agar dibebaskan oleh suaminya dengan cara mengembalikan mas kahwin yang telah meraka sepakati sebelum ini kepada suaminya.


Khuluk adalah salah satu bentuk talak kerana ia adalah perceraian yang berlaku dengan adanya tebusan yang diberikan oleh isteri kepada suaminya.


Khuluk disyariatkan adalah berpandukan ayat al-Qur’an yang bermaksudnya : oleh itu kalau kamu khuatir kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukuman Allah, maka tidaklah mereka berdosa mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran tersebut).



Sabda Rasulullah s.a.w.:

عن ابن عباس رضى الله عنهما: أن امرأة ثابت بن قيس جاءت الى رسول الله صلى الله عليه وسلم, فقالت : يا رسول الله, إني ما أعيب في خلق ولا دين, ولكن أكره الكفر في الإسلام, فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم : أتردين عليه حديقته؟ قالت : نعم, فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم : اقبل الحديقة, وطلقها تطليقة.

Maksudnya:
Diriwayatkan dari Ibn Abbas Sesungguhnya isteri Thabit bin Qais datang kepada Rasulullah s.a.w. dan berkata, “Wahai Rasulullah s.a.w. sesungguhnya saya tidak mengaibkan akhlak dan agama (suami saya Qais), tetapi saya tidak menyukainya dan tidak mahu hidup bersamanya menyebabkan saya melakukan maksiat (atau kerana kebencian yang bersangatan akan mendorongnya menzahirkan kekufuran supaya terfasakh perkahwinan),” maka Rasulullah bersabda, “mahukah kamu kembalikan kepadanya kebun (yang dijadikan maharmu).” kemudian Baginda bersabda (kepada suaminya), “terimalah kembali kebun itu, dan cerailah dia satu talak.

Hukum Khuluk

Khuluk adalah diharuskan, khuluk tidak akan berlaku melainkan dengan tebusan berbentuk harta yang diberikan oleh isteri kepada suaminya. Dan jika harta tebusan  diketahui dan disebut semasa ketika lafaz khuluk’, tebusan yang disebut itulah yang wajib diberikan oleh isteri kepada suaminya. Jika sekiranya tebusan tersebut tidak ditentukan dengan tepat, khuluk tetap sah dan suami wajib mendapat mahar misil daripada isterinya. Sekiranya suami menggunakan kalimah khuluk untuk tujuan talak tanpa menyebut sebarang harta tebusan dan tidak terlintas dihatinya untuk mendapatkan tebusan, ia adalah talak biasa yang menggunakan lafaz khuluk sebagai kinayah (kiasan). Maksudnya lafaz tersebut dianggap sebagai talak kinayah dan lafaz itu dijadikan talak raj’i.

  Khuluk tidak berlaku melainkan daripada isteri yang berakal dan matang. Isteri yang tidak berakal atau kurang matang tidak layak membuat keputusan dan tidak mempunyai kuasa untuk menguruskan sesuatu. Maka jika suami melafazkan khuluk ke atas isterinya yang berkeadaan sedemikian, talak yang berlaku adalah talak raj’i dan suami berhak mendapat tebusan khuluk. Dan jika suami melafazkan khuluk terhadap isterinya, isteri berhak menguruskan dirinya sendiri dan suami tidak ada hak ke atasnya. Selain itu suami tidak boleh merujuk kembali kepada isterinya semasa idah kerana khuluk adalah seperti talak ba’in. Jika mereka ingin hidup bersama semula ia mestilah mengadakan akad dan mas kahwin yang baru dan isteri berhak membuat keputusan untuk kembali bersama atau tidak.

 Isteri yang dikhuluk tidak boleh dizihar atau diilla’ oleh bekas suaminya sepanjang tempoh idah. Talak, zihar dan illa’ yang dilafazkan oleh suami yang melafazkan khuluk tidak akan memberi sebarang kesan ke atas bekas isteri kerana lafaz khuluk sudah menjadikan bukan isterinya, keadaan ini berbeza dengan isteri yang talak secara raj’i ini kerana isteri yang ditalak secara raj’i boleh ditalak semula untuk talak kedua atau zihar oleh suaminya sepanjang tempoh idah dan ia mempunyai kesan-kesanya yang tersendiri. Suami juga diharuskan malafazkan khuluk ketika isterinya berada dalam keadaan haid ataupun dalam keadaan yang suci walaupun selepas menyetubuhinya. Isteri tidak akan dikira menanggung kemudaratan dengan sebab khuluk ini kerana khuluk berlaku atas keinginannya sendiri untuk bebas daripada ikatan perkahwinan. Kemudaratan kepada isteri tidak berlaku dalam khuluk sebagaimana yang mungkin berlaku disebabkan talak biasa yang merupakan keinginan suami.

Syarat-syarat Khuluk

Syarat-syarat khuluk ialah seperti berikut:-
  1. Perasaan benci timbul daripada isteri, Khuluk hanya dibenarkan apabila isteri membenci suaminya atas sebab-sebab tertentu dan menuntut perceraian. Sekiranya perasaan benci lahir daripada suami, maka suami tidak boleh menebus talak daripada isterinya, sebaliknya boleh terus melafazkan talak sekiranya bimbang berlaku pergaduhan yang boleh mendatangkan keburukan.
  2. Isteri tidak dibenarkan menebus talak kecuali berada dalam keadaan darurat seperti suami tidak mahu menunaikan perintah Allah setelah disuruh ataupun isteri tidak dapat menunaikan kewajipannya dengan baik terhadap suaminya.
  3. Suami tidak boleh menyakiti hati isteri sehingga menyebabkan isteri terpaksa menebus talak daripadanya. Sekiranya perkara sedemikian berlaku, suami tidak berhak mengambil apa-apa pun daripada isteri sebagai tebusan kerana perbuatan suami itu dianggap sebagai maksiat.
  4. Mengikut aturan-aturan khuluk seperti berikut:-
a)      Harta yang diambil suami sebagai tebusan digalakkan tidak melebihi mas kahwin yang diberkanya kepada isteri.
b)      Wanita yang dikhulukkan oleh suaminya mestilah menjalani tempoh idah selama satu kali haid.
c)      Suami yang menceraikan isteri dengan cara khuluk, tidak boleh merujuk kembali dengan isterinya semasa tempoh idah dan suami boleh merujuk dengan isterinya dengan cara akad yang baru.
Bapa boleh menebus talak bagi anak perempuannya yang masih kecil sebagai gantian kepada anaknya yang masih belum matang.

LI’AN

Perkataan li’an asalnya daripada perkataan “لاعن” iaitu mengutuk. Dan diambil daripada perkataan “اللعن” iaitu kutukan.

L’ian menurut istilah fikah (hukum syarak) ialah sumpah seorang suami apabila ia menuduh isterinya melakukan zina. Sumpah itu diucapkan sebanyak empat kali, bahawa tuduhan itu benar dan pada sumpah yang kelima ia meminta kutukan daripada Allah s.w.t. sekiranya ia berdusta.
Li’an dari segi bahasa ialah menghalau dan menjauhkan. Manakala dari segi istilah ialah beberapa perkataan tertentu yang digunakan sebagai hujah oleh orang yang terpaksa menuduh orang yang mencemarkan tempat tidurnya dan memberi malu kepadanya sebagai berzina.

Dalil Pensyariatan Li’an

Li’an ada disebutkan dalam al-Qur’an berdasarkan 
Firman Allah s.w.t.yang bermaksud:
Dan orang-orang yang menuduhi isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesah tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (yang sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, empat kali bahawa sesungguhnya dia dari orang yang benar. Dan sumpah yang kelima (hendaklah dia berkata) bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika dia daripada orang-orang yang berdusta.
 Sabda Rasulullah s.a.w.:
عن سهل بن سعد الساعدى رضى الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: (أنا وكافل اليتيم في الجنة هكذا). وأشار بالسبابة والوسطى, وفرج بينهما شيئا.
Maksudnya:
Diriwayatkan dari sahl bin Sa’ad Al-Sa’idi r.a.: Rasulullah pernah bersabda: “aku dan orang yang memelihara anak yatim adalah seperti disyurga”. Nabi s.a.w. memperlihatkan jari tengah dan telunjuknya lalu merenggangkannya.

Syarat-Syarat Sah Li’an
 Untuk menjadikan li’an itu sah, mestilah mengikut syarat-syarat berikut:-
 Qazaf (suami menuduh isterinya berzina) berlaku lebih dahulu daripada li’an.
  1. Li’an suami mendahului lian isteri.
  2. Kedua-dua suami isteri mesti menyebut perkataan-perkataan li’an. Jika salah seorang menukar lafaz penyaksian dengan lafaz lain seperti aku bersumpah atau dia menukarkan perkataan laknat dengan perkataan murka atau sebaliknya, li’an tersebut tidak sah. Ini kerana lafaz li’an diterangkan dengan jelas dalam al-Qur’an al-Karim dan mesti digunakan semasa melakukan lian.
  3. Kelima-lima penyaksian (lafaz li’an yang disebut sebanyak lima kali) hendaklah dilakukan secara mualat dan berturut-turut. Oleh itu ia tidak boleh dipisahkan oleh sebarang perkara yang dianggap uruf sebagai pemisah.
  4. Hakim wajib memberikan nasihat dan mengingatkan kedua-dua pasangan supaya tidak berbohong. Contonya berkata: perhitungan sebenar kamu terserah kepada Allah. Salah seorang daripada kamu adalah pembohong. Adakah sesiapa yang ingin bertaubat?

  Sebab-sebab Berlaku Li’an
 Li’an terjadi melalui dua sebab iaitu:-
  1. Suami menuduh isterinya melakukan zina, tetapi suami tidak dapat mengemukakan empat orang saksi untuk menguatkan tuduhannya.
Jika tuduhan itu nyata dan benar bahawa isterinya melakukan zina, seperti suaminya melihat sendiri bahawa isterinya berzina ataupun isterinya sendiri yang mengaku bahawa dia telah melakukan zina dan pengakuannya diterima serta dibenarkan dengan keterangan-keterangan  yang jelas berserta dengan bukti. Maka dalam masalah ini sebaik-baiknya suami menceraikan isterinya tanpa li’an.
  1. Suami tidak mengakui atau menolak anak yang dikandung isterinya. Contohnya suami mengaku belum pernah menyetubuhi isterinya semenjak dari akad nikah atau isterinya melahirkan anak sebelum sampai enam bulan dari persetubuhanmerek                                                     
      Kesan-kesan Li’an
 Kesan-kesan yang akan timbul apabila berlakunya li’an ialah:-
  1. Gugur had Qazaf daripada suami. Had Qazaf itu akan dijatuhkan kepada isteri yang dili’an.
  2. Wajib had zina ke atas isteri yang tidak meli’an suaminya. Jika isteri itu meli’an suaminya maka gugurlah had zina tersebut daripada isteri.
  3. Bercerai di antara suami isteri selama-lamanya sebagai talak ba’in.
  4. Tidak boleh dinasabkan anak yang tidak diakui oleh suami yang meli’an isterinya kepada suami tersebut, jika suami menolak anak itu pada li’annya. Walaubagaimanapun anak itu tetap menjadi nasab kepada isteri yang dili’an.,
Tidak halal (haram selama-lamanya) bagi suami yang meli’an isterinya berkahwin semula dengan isteri yang dili’annya sekalipun isteri tersebut telah berkahwin dengan beberapa suami yang lain.


RUJUKAN
Hajah Noresah Bt. Baharom, Kamus Dewan, Dewan Bahasa Dan Pustaka Kuala Lumpur, 2002.

Wahbah al-Zuhaili, Fiqh dan Perundangan Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur, Jil.VІІ, 2001, 
Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kelantan, 2002.
Dr. Muhammad Firdaus, Ensiklopedia Asas Fardhu Ain, Crescent News (KL) Sdn Bhd, 2005.
Muhammad Ibrahim Al-Hafnawi, At-Tolaq, Al-Maktabah Iman.
Mimi Kamariah Majid, Undang-undang Keluarga Islam Di Malaysia, Butterworths Asia, 1992. 
Mustofa al-Khin, Dr. Mustofa al-Bugho & Ali Asy-Syarbaji, Kitab Fikah Mazhab Syafie, Pustaka Salam Sdn. Bhd, Disember 2005, Jil. 4> 
Haji Said Haji Ibrahim, 400 Soal Jawab Nikah Kahwin, Media Hasda, 1994.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan