Perceraian ialah
perihal (kejadian) bercerai (antara suami isteri). Perceraian bermaksud menamatkan hubungan perkahwinan sama ada dengan
pilihan suami atau dengan keputusan qadi. Perceraian dari segi bahasa bermaksud
berpisah. Dari segi istilah pula bermaksud keruntuhan hubungan perkahwinan dan
terputusnya hubungan suami isteri dengan bersebab.
JENIS-JENIS
PERCERAIAN
Dalam Undang-undang Keluarga Islam Kelantan jenis-jenis
perceraian dapat dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu Talak, Fasakh, Khuluk
atau Tebus Talak dan Lian.
Talak
Talak berasal
daripada perkataan Arab yang bermaksud melepaskan atau membuka ikatan. Talak dari segi syarak ialah melepaskan ikatan perkahwinan dengan perkataan yang
jelas atau kinayah (sindiran).
Jenjenis-jenis Talak
Talak dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu talak Raj’i
dan talak Ba’in.
a)
Talak raj’i
ialah Seorang suami yang menceraikankan isterinya dan masih boleh merujuk
kembali tanpa akad nikah atau acara pernikahan dengan syarat isterinya itu
masih berada dalam tempoh idah.
b)
Talak bai’in
dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu talak ba’in sughra dan talak
ba’in kubra. Talak ba’in sughra ialah talak yang jatuh serta
merta pada masa lafaz talak dilafazkan dan kesemua hak-hak isteri terputus
apabila dijatuhkan talak. Jika sekiranya suami ingin kembali bersama isterinya maka
perlulah suami menikahinya dengan mas kahwin yang baru.
Talak ba’in kubra
ialah talak tiga yang dilafazkan oleh suami yang mana semua perhubungan suami isteri
terputus setelah talak dijatuhkan. Suami tidak boleh merujuk dengan isterinya
melainkan bekas isterinya berkahwin dengan lelaki yang lain, bersetubuh dengan
suami barunya dan menceraikannya dan bekas suami pertamanya boleh berkahwin
dengan bekas isterinya setelah tempoh idah tamat.
FASAKH
Fasakh ialah
melepaskan ikatan perkahwinan antara suami dan isteri setelah diminta cerai
oleh isteri melalui pengadil (hakim). Fasakh hanya boleh dilakukan oleh pihak
yang berkuasa sahaja seperti hakim dan kadi apabila terdapat sebab tertentu
seperti kehilangan suami tanpa diketahui keadaannya sama ada hidup atau mati
ataupun salah seorang daripada suami atau isteri murtad dan sebagainya.
Syarat-syarat Fasakh
Menurut pendapat Mazhab Syafie syarat sah fasakh ada dua perkara
iaitu:-
- -Tidak sah fasakh nikah jika
dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.
- Keterangan atau bukti yang diberikan mestilah
disaksikan oleh dua orang lelaki atau pengakuan, bahawa kecacatan seperti mati
pucuk atau dengan cara berganti-ganti sumpah.
Perbezaan Fasakh Dengan Talak
Fasakh dengan talak adalah berbeza, Fasakh ialah
pembatalan akad daripada asas dan menghilangkan sifat halal yang menjadi kesan
ke atasnya, manakala talak pula ialah menamatkan akad dan sifat halal masih
kekal kecuali setelah talak ba’in (talak tiga). Fasakh berlaku sama ada
dengan sebab hal-hal mendatang ke atas akad yang menafikan perkahwinan atau
hal-hal yang berhubung kepada akad yang menyebabkan ia tidak lazim dari hukum
asal, manakala talak pula ialah talak tidak berlaku kecuali berdasarkan akad
yang sahih dan lazim. Selain itu, fasakh tidak mengurangkan bilangan talak yang
dimiliki oleh suami, manakala talak mengurangkan bilangan talak.
Kecacatan Yang Membolehkan Fasakh
Di antara kecacatan yang membolehkan fasakh ialah:
- Kecacatan yang berkaitan dengan
alat kelamin dan menghalang daripada berlakunya persetubuhan, contoh bagi
lelaki ialah terpotong zakar, mati pucuk atau tidak ada buah zakar,
manakala bagi perempuan ialah lubang farajnya tersumbat dengan daging
ataupun dengan tulang.
- Kecacatan yang tidak menghalang
daripada berlakunya persetubuhan tetapi terdapat penyakit yang menjijikan
atau merbahaya, yang boleh menyebabkan pasangan suami isteri tidak dapat
hidup bersama kecuali terpaksa menanggung kesusahan (kemudaratan) seperti
kusta, sopak dan gila.
Jika kecacatan yang disebut sebelum ini berlaku kepada
suami atau isteri selepas akad nikah sama ada selepas persetubuhan atau
sebelumnya. Kecacatan tersebut boleh menghalang persetubuhan seperti terpotong
kemaluan atau mati pucuk bagi suami atau lubang faraj isteri tertutup
disebabkan daging atau tulang yang tumbuh atau kecacatan tersebut tidak
menghalang daripada berlakunya persetubuhan seperti sopak, kusta dan gila,
pasangannya boleh memilih untuk menfasakhkan nikah.
Walaubagaimanapun, jika
suami mati pucuk selepas berlakunya persetubuhan ia dikecualikan daripada hukum
di atas kerana dalam masalah tersebut isteri hilang hak untuk memilih fasakh
kerana maksud nikah di pihak isteri iaitu mas kahwin dan persetubuhan telah
tercapai dan perkara tersebut telah pun sempurna sebelum berlakunya mati pucuk.
Selain itu, wali juga berhak menfasakhkan nikah jika didapati berlakunya
kecacatan pengantin lelaki sebelum berlakunya akad nikad. Hak ini ada pada wali
sama ada pengantin perempuan setuju fasakh ataupun tidak. Ini kerana wali akan
berasa malu dengan kecacatan tersebut.
Jika berlaku kecacatan selepas persetubuhan wali tidak
berhak menfasakhkan nikah. Ini kerana pada kebiasaanya perasaan malu tidak akan
menimpanya, ia berbeza dengan kecacatan yang berlaku sebelum akad nikah. Begitu
juga wali tidak mempunyai hak untuk menfasakhkan nikah disebabkan kecacatan
mati pucuk dan terpotong kemaluan yang berlaku sebaik sahaja berlaku akad. Ini
kerana mudarat itu hanya akan dihadapi oleh isteri sahaja dan dia meredainya,
pada kebiasaanya wali tidak akan mendapat malu.
Selain itu, pengantin lelaki atau perempuan tidak boleh
menfasakhkan sendiri perkahwinan mereka disebabkan berlakunya kecacatan yang
telah disebut di atas. Meraka mesti membawa perkara tersebut kepada kadi serta
meminta kadi menfasakhkan nikah tersebut dan jika terbukti berlakunya kecacatan
kadi mestilah menfasakhkan nikah tersebut.
Kesan Fasakh Di Sebabkan Kecacatan
Di antara kesan-kesan fasakh disebabkan kecacatan ialah jika fasakh
berlaku sebelum persetubuhan, mas kahwin tidak dikenakan dan tidak akan ada
bayaran mutaah untuk isteri. Ini kerana jika kecacatan itu berlaku
kepada suami, isteri yang akan meminta fasakh. Oleh sebab itu, dia tidak akan
mendapat apa-apa. Dan jika kecacatan itu berlaku kepada isteri, isteri tidak
akan mendapat apa-apa kerana perceraian itu berlaku disebabkan kecacatan yang
ada pada dirinya dan seolah-olah dia yang melakukan fasakh.
Jika
fasakh berlaku selepas persetubuhan dan kecacatan berlaku sebaik sahaja selesai
akad nikad ataupun berlaku di antara akad dan persetubuhan dan suami tidak
menyedarinya, maka isteri wajib mendapat mahar misil. Dan
jika menfasakhkan nikah dengan sebab berlaku kecacatan selepas persetubuhan, maka
isteri wajib mendapat semua mas kahwin yang telah disebutkan semasa akad nikah.
Ini kerana mas kahwin mesti dibayar dengan berlakunya persetubuhan sebelum
wujudnya sebab-sebab fasakh dan jika berlaku kecacatan selepas persetubuhan ia
tidak akan merubah hakikat tersebut.
KHULUK
Khuluk atau tebus talak ialah talak yang berlaku dengan keinginan
isteri dan kesungguhannya untuk bercerai. Khuluk disyariatkan bagi memenuhi
keperluan isteri maksudnya isteri menebus dirinya agar dibebaskan oleh suaminya
dengan cara mengembalikan mas kahwin yang telah meraka sepakati sebelum ini
kepada suaminya.
Khuluk
adalah salah satu bentuk talak kerana ia adalah perceraian yang berlaku dengan
adanya tebusan yang diberikan oleh isteri kepada suaminya.
Khuluk
disyariatkan adalah berpandukan ayat al-Qur’an yang bermaksudnya : oleh itu kalau kamu khuatir kedua-duanya tidak dapat menegakkan
aturan-aturan hukuman Allah, maka tidaklah mereka berdosa mengenai bayaran
(tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai
pengambilan suami akan bayaran tersebut).
Sabda Rasulullah s.a.w.:
عن ابن عباس رضى الله
عنهما: أن امرأة ثابت بن قيس جاءت الى رسول الله صلى الله عليه وسلم, فقالت : يا
رسول الله, إني ما أعيب في خلق ولا دين, ولكن أكره الكفر في الإسلام, فقال رسول
الله صلى الله عليه وسلم : أتردين عليه حديقته؟ قالت : نعم, فقال رسول الله صلى
الله عليه وسلم : اقبل الحديقة, وطلقها تطليقة.
Maksudnya:
Diriwayatkan dari Ibn Abbas Sesungguhnya isteri
Thabit bin Qais datang kepada Rasulullah s.a.w. dan berkata, “Wahai Rasulullah
s.a.w. sesungguhnya saya tidak mengaibkan akhlak dan agama (suami saya
Qais), tetapi saya tidak menyukainya dan tidak mahu hidup bersamanya
menyebabkan saya melakukan maksiat (atau kerana kebencian yang bersangatan akan
mendorongnya menzahirkan kekufuran supaya terfasakh perkahwinan),” maka
Rasulullah bersabda, “mahukah kamu kembalikan kepadanya kebun (yang dijadikan
maharmu).” kemudian Baginda bersabda (kepada suaminya), “terimalah kembali
kebun itu, dan cerailah dia satu talak.
Hukum Khuluk
Khuluk adalah diharuskan, khuluk tidak akan berlaku melainkan dengan
tebusan berbentuk harta yang diberikan oleh isteri kepada suaminya. Dan jika
harta tebusan diketahui dan disebut
semasa ketika lafaz khuluk’, tebusan yang disebut itulah yang wajib diberikan
oleh isteri kepada suaminya. Jika sekiranya tebusan tersebut tidak ditentukan
dengan tepat, khuluk tetap sah dan suami wajib mendapat mahar misil
daripada isterinya. Sekiranya suami menggunakan kalimah khuluk untuk tujuan
talak tanpa menyebut sebarang harta tebusan dan tidak terlintas dihatinya untuk
mendapatkan tebusan, ia adalah talak biasa yang menggunakan lafaz khuluk sebagai
kinayah (kiasan). Maksudnya lafaz tersebut dianggap sebagai talak kinayah
dan lafaz itu dijadikan talak raj’i.
Khuluk tidak
berlaku melainkan daripada isteri yang berakal dan matang. Isteri yang tidak
berakal atau kurang matang tidak layak membuat keputusan dan tidak mempunyai
kuasa untuk menguruskan sesuatu. Maka jika suami melafazkan khuluk ke atas
isterinya yang berkeadaan sedemikian, talak yang berlaku adalah talak raj’i
dan suami berhak mendapat tebusan khuluk. Dan jika suami melafazkan khuluk
terhadap isterinya, isteri berhak menguruskan dirinya sendiri dan suami tidak
ada hak ke atasnya. Selain itu suami tidak boleh merujuk kembali kepada
isterinya semasa idah kerana khuluk adalah seperti talak ba’in. Jika
mereka ingin hidup bersama semula ia mestilah mengadakan akad dan mas kahwin
yang baru dan isteri berhak membuat keputusan untuk kembali bersama atau tidak.
Isteri
yang dikhuluk tidak boleh dizihar atau diilla’ oleh bekas
suaminya sepanjang tempoh idah. Talak, zihar dan illa’ yang
dilafazkan oleh suami yang melafazkan khuluk tidak akan memberi sebarang kesan
ke atas bekas isteri kerana lafaz khuluk sudah menjadikan bukan isterinya,
keadaan ini berbeza dengan isteri yang talak secara raj’i ini kerana isteri
yang ditalak secara raj’i boleh ditalak semula untuk talak kedua atau zihar
oleh suaminya sepanjang tempoh idah dan ia mempunyai kesan-kesanya yang
tersendiri. Suami juga diharuskan malafazkan khuluk ketika isterinya berada
dalam keadaan haid ataupun dalam keadaan yang suci walaupun selepas menyetubuhinya.
Isteri tidak akan dikira menanggung kemudaratan dengan sebab khuluk ini kerana khuluk
berlaku atas keinginannya sendiri untuk bebas daripada ikatan perkahwinan.
Kemudaratan kepada isteri tidak berlaku dalam khuluk sebagaimana yang mungkin
berlaku disebabkan talak biasa yang merupakan keinginan suami.
Syarat-syarat Khuluk
Syarat-syarat khuluk ialah seperti berikut:-
- Perasaan benci timbul daripada
isteri, Khuluk hanya dibenarkan apabila isteri membenci suaminya atas
sebab-sebab tertentu dan menuntut perceraian. Sekiranya perasaan benci
lahir daripada suami, maka suami tidak boleh menebus talak daripada
isterinya, sebaliknya boleh terus melafazkan talak sekiranya bimbang
berlaku pergaduhan yang boleh mendatangkan keburukan.
- Isteri tidak dibenarkan menebus
talak kecuali berada dalam keadaan darurat seperti suami tidak mahu
menunaikan perintah Allah setelah disuruh ataupun isteri tidak dapat
menunaikan kewajipannya dengan baik terhadap suaminya.
- Suami tidak boleh menyakiti hati
isteri sehingga menyebabkan isteri terpaksa menebus talak daripadanya.
Sekiranya perkara sedemikian berlaku, suami tidak berhak mengambil apa-apa
pun daripada isteri sebagai tebusan kerana perbuatan suami itu dianggap
sebagai maksiat.
- Mengikut aturan-aturan khuluk seperti
berikut:-
a)
Harta yang
diambil suami sebagai tebusan digalakkan tidak melebihi mas kahwin yang
diberkanya kepada isteri.
b)
Wanita
yang dikhulukkan oleh suaminya mestilah menjalani tempoh idah selama satu kali
haid.
c)
Suami yang
menceraikan isteri dengan cara khuluk, tidak boleh merujuk kembali dengan
isterinya semasa tempoh idah dan suami boleh merujuk dengan isterinya dengan
cara akad yang baru.
Bapa boleh menebus talak bagi anak perempuannya
yang masih kecil sebagai gantian kepada anaknya yang masih belum matang.
LI’AN
Perkataan li’an asalnya daripada perkataan “لاعن” iaitu mengutuk. Dan diambil daripada perkataan “اللعن” iaitu kutukan.
L’ian menurut istilah fikah (hukum syarak) ialah sumpah
seorang suami apabila ia menuduh isterinya melakukan zina. Sumpah itu diucapkan
sebanyak empat kali, bahawa tuduhan itu benar dan pada sumpah yang kelima ia
meminta kutukan daripada Allah s.w.t. sekiranya ia berdusta.
Li’an dari segi bahasa ialah menghalau dan
menjauhkan. Manakala dari segi istilah ialah beberapa perkataan tertentu yang
digunakan sebagai hujah oleh orang yang terpaksa menuduh orang yang mencemarkan
tempat tidurnya dan memberi malu kepadanya sebagai berzina.
Dalil Pensyariatan Li’an
Li’an ada disebutkan dalam al-Qur’an berdasarkan
Firman Allah s.w.t.yang bermaksud:
Dan orang-orang yang menuduhi isterinya berzina, sedang mereka tidak
ada saksi-saksi (yang mengesah tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka
persaksian (yang sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah dia
bersumpah dengan nama Allah, empat kali bahawa sesungguhnya dia dari orang yang
benar. Dan sumpah yang kelima (hendaklah dia berkata) bahawa laknat Allah akan
menimpa dirinya jika dia daripada orang-orang yang berdusta.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
عن سهل بن سعد
الساعدى رضى الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: (أنا وكافل اليتيم
في الجنة هكذا). وأشار بالسبابة والوسطى, وفرج بينهما شيئا.
Maksudnya:
Diriwayatkan dari sahl bin Sa’ad Al-Sa’idi r.a.: Rasulullah pernah
bersabda: “aku dan orang yang memelihara anak yatim adalah seperti disyurga”.
Nabi s.a.w. memperlihatkan jari tengah dan telunjuknya lalu merenggangkannya.
Syarat-Syarat Sah Li’an
Untuk menjadikan li’an itu sah, mestilah mengikut
syarat-syarat berikut:-
Qazaf (suami menuduh isterinya
berzina) berlaku lebih dahulu daripada li’an.
- Li’an suami mendahului lian isteri.
- Kedua-dua suami isteri mesti
menyebut perkataan-perkataan li’an. Jika salah seorang menukar
lafaz penyaksian dengan lafaz lain seperti aku bersumpah atau dia
menukarkan perkataan laknat dengan perkataan murka atau sebaliknya, li’an
tersebut tidak sah. Ini kerana lafaz li’an diterangkan dengan
jelas dalam al-Qur’an al-Karim dan mesti digunakan semasa melakukan lian.
- Kelima-lima penyaksian (lafaz li’an
yang disebut sebanyak lima
kali) hendaklah dilakukan secara mualat dan berturut-turut. Oleh itu ia
tidak boleh dipisahkan oleh sebarang perkara yang dianggap uruf sebagai
pemisah.
- Hakim wajib memberikan nasihat dan
mengingatkan kedua-dua pasangan supaya tidak berbohong. Contonya berkata:
perhitungan sebenar kamu terserah kepada Allah. Salah seorang daripada
kamu adalah pembohong. Adakah sesiapa yang ingin bertaubat?
Sebab-sebab Berlaku Li’an
Li’an terjadi melalui dua sebab iaitu:-
- Suami menuduh isterinya melakukan
zina, tetapi suami tidak dapat mengemukakan empat orang saksi untuk
menguatkan tuduhannya.
Jika tuduhan itu nyata dan benar bahawa isterinya
melakukan zina, seperti suaminya melihat sendiri bahawa isterinya berzina
ataupun isterinya sendiri yang mengaku bahawa dia telah melakukan zina dan
pengakuannya diterima serta dibenarkan dengan keterangan-keterangan yang jelas berserta dengan bukti. Maka dalam
masalah ini sebaik-baiknya suami menceraikan isterinya tanpa li’an.
- Suami tidak mengakui atau menolak
anak yang dikandung isterinya. Contohnya suami mengaku belum pernah
menyetubuhi isterinya semenjak dari akad nikah atau isterinya melahirkan
anak sebelum sampai enam bulan dari persetubuhanmerek
Kesan-kesan Li’an
Kesan-kesan yang akan timbul apabila berlakunya li’an ialah:-
- Gugur had Qazaf daripada
suami. Had Qazaf itu akan dijatuhkan kepada isteri yang dili’an.
- Wajib had zina ke atas isteri yang
tidak meli’an suaminya. Jika isteri itu meli’an suaminya
maka gugurlah had zina tersebut daripada isteri.
- Bercerai di antara suami isteri
selama-lamanya sebagai talak ba’in.
- Tidak boleh dinasabkan anak yang
tidak diakui oleh suami yang meli’an isterinya kepada suami
tersebut, jika suami menolak anak itu pada li’annya.
Walaubagaimanapun anak itu tetap menjadi nasab kepada isteri yang dili’an.,
Tidak halal (haram selama-lamanya) bagi suami
yang meli’an isterinya berkahwin semula dengan isteri yang dili’annya
sekalipun isteri tersebut telah berkahwin dengan beberapa suami yang lain.
RUJUKAN
Hajah Noresah Bt.
Baharom, Kamus Dewan, Dewan Bahasa Dan Pustaka Kuala Lumpur, 2002.
Wahbah al-Zuhaili, Fiqh dan Perundangan
Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur, Jil.VІІ, 2001,