JaUh PeRjaLaNAn LUas PeMaNdAnGaN

Selasa, 13 Mac 2012

POLIGAMI

1.1 PENDAHULUAN

Isu poligami di lihat sebagai isu yang sering menimbulkan tanggapan negatif bagi sesetengah pihak di Malaysia terutamanya bagi kaum wanita. Ini kerana, mereka enggan berkongsi kasih dan dimadukan dengan memberi berbagai-bagai sebab dan alasan.
Sesungguhnya terdapat peruntukan-peruntukan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam negeri-negeri bagi memastikan keadilan ke atas kaum wanita serta memastikan konsep poligami yang telah disyariatkan itu tidak bertentangan dengan prinsip keadilan yang sebenarnya.
Oleh itu, lelaki Islam yang ingin berpoligami di Malaysia terikat dengan peruntukan-peruntukan yang terdapat dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam bagi negeri masing-masing sebelum mereka dibenarkan berpoligami.
Walau bagaimanapun, peruntukan yang ada ini dianggap remeh dan dipandang mudah bagi sesetengah pihak serta menganggap peruntukan yang ada ini menyalahi hukum Islam kerana menyekat kaum lelaki dari berpoligami sehingga mereka melanggar peruntukan-peruntukan yang sedia ada. Oleh itu, kajian ini dibuat bagi melihat faktor dan kesan poligami tanpa keizinan mahkamah serta memberi penerangan yang jelas bagi konsep poligami yang sebenarnya menurut Hukum Syarak.

 1.2 SEJARAH POLIGAMI

Poligami membawa maksud perkahwinan lebih daripada seorang isteri dalam sesuatu masa. Lawan istilah poligami ini ialah monogami, iaitu berkahwin dengan seorang isteri sahaja. Walau bagaimanapun, Drs Sidi Ghazalba berpendapat lawan poligami ialah poliandri, iaitu perkahwinan seorang perempuan dengan beberapa orang lelaki .
Amalan poligami telah mula dipraktikkan sebelum kedatangan Islam lagi iaitu sejak zaman Jahiliyyah, bahkan ia juga merupakan sebahagian amalan tradisi kehidupan masyarakat Rom, Yunani dan Yahudi yang dilakukan secara tidak teratur dan tanpa batas. Sesungguhnya amalan poligami ini menjadi kebanggaan dan ukuran yang menentukan ketinggian darjat dan kehormatan seseorang .
Kedatangan agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w telah merubah amalan poligami yang ada dengan menghadkan bilangan isteri yang boleh dikahwini iaitu tidak melebihi empat orang isteri sahaja dan tertakluk kepada syarat-syarat yang ketat. Di dalam Islam, Poligami hanyalah sebagai amalan yang dibenarkan dengan bersyarat dan bukanlah kebenaran secara mutlaq atau sebagai amalan yang wajib dilakukan .

  
1.3 PENSYARIATAN POLIGAMI DALAM ISLAM

Pensyariatan Poligami dalam Islam adalah berdasarkan al-Quran, ayat 3 Surah al-Nisa’ yang bermaksud :
“ Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka) maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenaan daripada perempuan-perempuan lain: dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.”
Ayat ini diturunkan selepas berlakunya Perang Uhud yang telah mengorbankan banyak orang Islam dan menyebabkan isteri mereka menjadi janda serta anak-anak  kehilangan kasih sayang seorang bapa. Ini menunjukkan bahawa poligami disyariatkan untuk memenuhi keperluan-keperluan individu dalam masyarakat dan sebagai jalan penyelesaian masalah masyarakat dalam keadaan-keadaan tertentu .
Berdasarkan ayat 3 Surah al-Nisa’ ini juga menunjukkan bahawa hukum poligami adalah harus jika tidak mendatangkan kemudaratan dan penganiayaan ke atas isteri yang dikahwini. Sekiranya suami tidak dapat berlaku adil dan akan memudaratkan isteri, maka mereka diarahkan beristeri hanya seorang sahaja. Di sini jelas menunjukkan bahawa keharusan berpoligami adalah berkait rapat dengan keadilan pihak suami dalam melaksanakan tanggungjawab dalam semua aspek rumah tangga. Keadilan di sini bukan sahaja berkaitan kemampuan suami dari segi kewangan untuk menyara lebih dari seorang isteri tetapi hendaklah berlaku adil dalam pelbagai aspek termasuk memberi bimbingan dan menjadi teman kepada isteri-isteri .

 Walau bagaimanapun, untuk berlaku adil dalam soal cinta dan kasih sayang adalah sukar kerana ia di luar kemampuan manusia sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Allah s.w.t dalam ayat 129 surah al-Nisa’ yang bermaksud :
“ Dan kamu sekali-kali tidak dapat berlaku adil antara isteri-isteri kamu walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian, kerana itu janganlah kamu terlalu cenderung dengan melampau-lampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awang-awangan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu) dan memelihara diri (daripada perbuatan zalim) maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa pihak suami boleh berlaku adil dari segi material, namun mustahil bagi suami untuk berlaku adil dari segi kasih sayang kepada isteri-isterinya. Rasulullah s.a.w sendiri sering berdoa supaya Allah s.w.t tidak mencelanya dalam soal penggiliran kerana beliau sendiri mengaku tidak dapat berlaku adil khususnya dalam soal kecenderungan hati terhadap mana-mana isteri.

  1.4 PERKEMBANGAN UNDANG-UNDANG POLIGAMI DI MALAYSIA

Semua negeri di Malaysia mempunyai peruntukan khusus tentang amalan poligami dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam masing-masing. Sebelum penyeragaman Akta dan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam negeri-negeri dilaksanakan, prosedur permohonan poligami di beberapa buah negeri didapati tidak seragam. 
Ketidakseragaman Akta atau Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam mengenai poligami di negeri-negeri telah disalahgunakan oleh golongan-golongan tertentu. Peruntukan mengenai izin atau tidak daripada isteri ada terkandung dalam Seksyen 23 Akta 303, Pulau Pinang 1985, Johor 1990, Negeri Sembilan 1984, Seksyen 17 dalam Undang-Undang Keluarga Islam Kedah 1979, Pahang, Selangor dan Melaka. Namun begitu, bagi Enakmen Keluarga Islam Negeri Kelantan, Terengganu dan Perak tidak memperuntukan bahawa pandangan isteri diperlukan untuk menentukan layak atau tidak seseorang suami itu berpoligami.
Syarat utama untuk berpoligami di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga di negeri Kelantan, Terengganu dan Perak hanyalah perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Qadi atau Hakim Syar’ie dan keputusan terletak pada kebijaksanaan Hakim sepenuhnya. Manakala syarat-syarat lain seperti kemampuan suami dari segi kewangan, keizinan atau pandangan isteri pertama sama ada patut atau perlu tentang perkahwinan yang dicadangkan dan suami boleh berlaku adil terhadap semua isteri adalah tidak diperuntukan dalam prosedur poligami di tiga buah negeri ini.
Penyeragaman Akta dan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam negeri-negeri berdasarkan Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan yang dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja pada bulan Mac 2001 telah membawa kepada beberapa pindaan penting dalam peruntukan undang-undang tentang poligami di kebanyakkan negeri di negara ini. Secara keseluruhannya, pindaan yang dibuat tertumpu pada penambahbaikan dari sudut prosedur permohonan poligami dan memberikan lebih perlindungan kepada isteri-isteri yang sedia ada. Pindaan ini dilihat sebagai usaha memperkemas undang-undang poligami sedia ada dan menjaga kebajikan semua pihak terutama kepada isteri-isteri dan anak-anak dari teraniaya.
  
1.5 PROSEDUR PERMOHONAN POLIGAMI MENURUT ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (NEGERI SELANGOR)

Sesungguhnya Hukum Syarak telah memberi kebenaran kepada lelaki Islam untuk berkahwin dengan empat orang isteri dalam satu-satu masa, namun terdapat peruntukan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor telah meletakkan beberapa syarat kepada lelaki sebelum mereka dibenarkan berpoligami.
Seksyen 23 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor memperuntukan :
“ Tiada seorang pun lelaki semasa wujudnya suatu perkahwinan boleh, kecuali dengan mendapat kebenaran terlebih dahulu secara bertulis daripada Mahkamah, membuat akad nikah perkahwinan yang lain dengan perempuan lain.”
Berdasarkan peruntukan di atas, lelaki yang ingin berpoligami hendaklah terlebih dahulu mendapat kebenaran bertulis daripada Hakim Syarie. Sekiranya kebenaran ini tidak diperolehi maka perkahwinan itu tidak boleh didaftarkan kecuali setelah Mahkamah memutuskan bahawa perkahwinan itu sah menurut Hukum Syarak. Perkara ini telah dinyatakan dalam Seksyen 23 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor iaitu :
“ Tiada Perkahwinan yang diakadnikahkan tanpa kebenaran di bawah (1) boleh didaftarkan di bawah Enakmen ini melainkan jika Mahkamah berpuas hati bahawa perkahwinan sedemikian adalah sah mengikut Hukum Syarak dan Mahkamah telah memerintah supaya perkahwinan itu di daftarkan tertakluk kepada seksyen 124.”   
Seksyen 4 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor juga telah menyatakan bahawa permohonan untuk mendapatkan kebenaran poligami hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah mengikut cara yang telah ditetapkan dan disertai dengan suatu iqrar.
Antara isi kandungan ikrar atau akuan ini ialah :
1)      Menyatakan alasan-alasan mengapa perkahwinan yang dicadangkan itu dikatakan patut dan perlu;
2)      Pendapatan pemohon pada masa itu;
3)      Butir-butir komitmennya dan kewajipan serta tanggungan kewangannya yang patut ditentukan;
4)      Bilangan orang tanggungannya termasuk orang yang akan menjadi tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan;
5)      Sama ada izin atau pandangan isteri atau isteri-isterinya sedia ada terhadap perkahwinan yang dicadangkan itu telah diperolehi atau tidak.
Manakala Seksyen 23 (5) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor menyatakan, apabila Mahkamah menerima permohonan kebenaran berpoligami, Mahkamah hendaklah memanggil pemohon, isteri atau isteri-isterinya sedia ada, wali kepada bakal isteri, dan mana-mana orang lain yang difikirkan oleh Mahkamah boleh memberi keterangan mengenai perkahwinan yang dicadangkan itu supaya hadir semasa permohonan itu didengar. Pendengaran permohonan diadakan secara tertutup 
Berdasarkan Seksyen 23 (5) (a) (b) (c) dan (d) Mahkamah perlu berpuas hati terhadap empat perkara sebelum memberi kebenaran berpoligami iaitu :
(a)    bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut dan perlu, memandang kepada, antara lain, hal-hal seperti kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi perintah untuk pemulihan hak-hak persetubuhan, atau gila di pihak isteri atau isteri-isteri yang sedia;
(b)   bahawa pemohon mempunyai kemampuan yang membolehkan dia menanggung, sebagaimana dikehendaki Hukum Syarak, semua isteri dan orang tanggungannya, termasuk orang yang akan menjadi orang-orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu;
(c)    bahawa pemohon akan berupaya memberi layanan yang adil kepada semua isterinya menurut Hukum Syarak; dan
(d)   bahawa perkahwinan yang dicadangkan tidak akan menyebabkan darar syari’e kepada isteri atau isteri-isteri sedia ada.
  
Dalam memenuhi perkara pertama dan kedua, pihak suami perlu mengemukakan bukti bertulis seperti laporan perubatan tentang ketidakupayaan isteri serta penyata gaji yang menunjukkan beliau layak dari segi kewangan untuk menanggung kesemua isteri dan anak-anak. Perkara ketiga dan keempat memerlukan keterangan pihak suami sendiri atau dikemukakan dua saksi lelaki untuk mengesahkan keupayaan pihak suami untuk memberikan layanan yang adil dan saksama kepada semua isteri.
Beban pembuktian syarat-syarat permohonan poligami ini adalah terletak pada suami dan dia perlu membuktikannya bukan sekadar secara lisan di hadapan Hakim tetapi juga seperti yang telah dinyatakan, disokong dengan dokumen bertulis dan saksi-saksi yang dapat mengesahkan kedudukan dan keterangannya.
Berdasarkan kes Aishah binti Abdul Rauf lwn Wan Mohd Yusof bin Wan Othman yang mana Jawatankuasa Rayuan telah membenarkan rayuan si isteri dan kebenaran yang diberikan oleh Mahkamah Syariah diketepikan. Jawatankuasa Rayuan tidak berpuas hati sama ada keperluan-keperluan dalam perenggan (a), (c), dan (d) telah dibuktikan. Menurutnya keempat-empat keperluan ini sama penting dan hendaklah dibuktikan secara berasingan. Pemohon juga tidak memberi apa-apa alasan mengapa dia patut berpoligami dan dengan itu gagal memenuhi syarat dalam perenggan (a). Menurut Jawatankuasa jika satu syarat tidak dipenuhi, ini mencukupi untuk menolak permohonan. Jawatankuasa Rayuan juga mendapati bahawa Hakim gagal memberi penjelasan atas keterangan pemohon yang mana beliau telah berpuas hati bahawa pemohon berupaya berlaku adil. Jawatankuasa Rayuan telah memutuskan bahawa keempat-empat syarat itu tidak bertentangan dengan al-Quran kerana ia mempastikan keadilan dalam berpoligami yang dituntut sebagai wajib oleh al-Quran.
Seterusnya berdasarkan Seksyen 23 (6) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor telah memperuntukan supaya satu salinan permohonan dan akuan berkanun yang telah dinyatakan di atas hendaklah diserahkan bersama dengan saman kepada tiap-tiap isteri sedia ada. Sebagaimana yang kita ketahui, bahawa sebelum ini seorang isteri tidak akan mengetahui bahawa suaminya telah berkahwin untuk kali kedua atau seterusnya. Namun melalui peruntukan yang ada sekarang membolehkan mereka mengetahui niat suami untuk berkahwin lagi melalui saman dan permohonan yang diserahkan kepada mereka. Akhir sekali, jika terdapat mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan apa-apa keputusan Mahkamah maka rayuan boleh dibuat ke atas keputusan itu.

1.6 POLIGAMI TANPA KEBENARAN MAHKAMAH

Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam bagi setiap negeri di Malaysia telah memperuntukan peraturan yang mesti dipatuhi bagi setiap suami yang ingin berpoligami. Peruntukan ini diwujudkan bagi menghindari agar kemudahan berpoligami yang diharuskan oleh Islam tidak disalahgunakan dan agar tujuan, syarat dan tanggungjawab poligami dipenuhi.  
 Walaupun begitu, masih terdapat kaum lelaki Islam di Malaysia ini melanggar peruntukan yang sedia ada walaupun sedia maklum akan peruntukan yang ada ini dengan berpoligami tanpa mendapatkan kebenaran Mahkamah.
Poligami tanpa kebenaran Mahkamah ini bermaksud ialah seorang lelaki yang telah mempunyai isteri telah berkahwin dengan perempuan lain tanpa mendapatkan keizinan secara bertulis dari Mahkamah bagi membenarkan dia berkahwin seorang lagi.
Berdasarkan Sekyen 23 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor telah menyatakan bahawa poligami yang dilakukan tanpa kebenaran Mahkamah tidak boleh didaftarkan melainkan Mahkamah berpuas hati bahawa perkahwinan sedemikian sah mengikut Hukum Syarak dan pendaftaran perkahwinan tertakluk di bawah Seksyen 124.
Seksyen 124 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor telah menyatakan bahawa :
“Jika seseorang lelaki berkahwin lagi di mana-mana jua pun dalam masa perkahwinannya yang sedia ada masih berterusan tanpa kebenaran secara bertulis terlebih dahulu daripada Mahkamah maka dia adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.”
Berdasarkan peruntukan di atas menunjukkan poligami tanpa kebenaran Mahkamah adalah merupakan satu kesalahan dan mematuhi peraturan-peraturan untuk permohonan kebenaran poligami adalah satu perkara yang penting bagi menjamin keadilan dapat dilaksanakan serta kebajikan semua isteri akan terpelihara.

1.7 PROSEDUR PENDAFTARAN NIKAH POLIGAMI

Peraturan ketat yang terdapat dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam berkaitan poligami telah menyebabkan pihak suami mengambil jalan mudah untuk berkahwin dengan perempuan lain iaitu dengan bernikah di negara lain tanpa kebenaran Mahkamah Syariah. Negara yang sering menjadi tumpuan untuk melaksanakan tujuan mereka ini ialah di Thailand dan Indonesia.
Seksyen 23 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor memperuntukkan perkahwinan poligami tanpa kebenaran Mahkamah tidak boleh didaftarkan melainkan setelah Mahkamah berpuas hati bahawa perkahwinan itu sah mengikut Hukum Syarak.
Prosedur pendaftaran poligami tanpa kebenaran mahkamah di Negeri Selangor dimulakan dengan pihak-pihak membuat laporan berkaitan perkahwinan tersebut di Pejabat Agama Islam di mana sepatutnya perkahwinan itu berlaku. Siasatan akan dibuat oleh Pejabat Agama Islam dan kes tersebut akan di panjangkan ke bahagian pendakwaan untuk proses pendakwaan. Pendakwa pula akan membawa kes tersebut kepada Hakim Syar’ie untuk disahkan.
Prosedur selanjutnya Hakim Syarie akan memanggil pasangan berkenaan dengan dua orang saksi bagi mengukuhkan ketarangan pasangan tersebut. Di peringkat ini, mahkamah akan menetapkan sama ada perkahwinan sebagai sah atau terbatal. Setelah penentuan kesahan perkahwinan, kes akan dibawa semula ke unit pendakwaan. Pendakwa akan menjalankan siasatan dan meneruskan pendakwaan ke atas pasangan tersebut atas pertuduhan berpoligami tanpa kebenaran. Jika sabit kesalahan, pasangan akan dikenakan penalti. Setelah selesai pendakwaan, pihak-pihak hendaklah menfailkan permohonan pendaftaran nikah di Mahkamah Tinggi Syariah.
  
Seksyen 23 (9) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor perlulah dipatuhi, iaitu peraturan pendaftaran perkahwinan itu mestilah sama dengan mana-mana perkahwinan yang didaftarkan di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga negeri-negeri. Ini bermakna sebelum Mahkamah mengesahkan dan mendaftarkan perkahwinan poligami yang dilaksanakan di luar negara maka Seksyen 23 (4) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor perlulah dipatuhi terlebih dahulu iaitu dengan memanggil isteri yang sedia ada dan isteri yang baru dikahwini untuk hadir. Secara tidak langsung ia dapat mengelakkan suami daripada menyembunyikan perkahwinan yang baru itu dari isteri yang sedia ada dan membolehkan remedi-remedi yang diperuntukkan di bawah Seksyen 23 (10) seperti pembayaran nafkah dan pembahagian harta sepencarian dapat dilaksanakan.


 1.8 FAKTOR POLIGAMI TANPA KEBENARAN MAHKAMAH

Peruntukan-peruntukan yang terdapat dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam negeri-negeri berkaitan dengan permohonan poligami adalah merupakan prosedur yang perlu diikuti oleh sesiapa sahaja yang ingin berkahwin lebih dari satu. Peruntukan ini bertujuan untuk memastikan bahawa poligami tidak dilakukan dengan sewenang-wenangnya, namun peruntukan ini belum berjaya mencapai matlamat sepenuhnya kerana masih ada golongan suami yang melanggar peruntukan yang ada ini dengan berpoligami tanpa izin mahkamah.
Antara  faktor berlakunya perkahwinan poligami tanpa kebenaran ialah :
a.       a. Prosedur permohonan poligami yang ketat
Peraturan yang terdapat dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam negeri-negeri sering kali dilihat sebagai sesuatu yang rumit dan membebankan bagi sesetengah suami. Ini kerana, mereka menganggap proses poligami akan memakan masa dan amat merumitkan. Dengan sebab ini, mereka mengambil jalan mudah dengan bernikah di negara lain tanpa kebenaran Mahkamah Syariah.
Sesungguhnya undang-undang yang ada ini bukanlah untuk menyusahkan mana-mana pihak tetapi undang-undang yang ada ini adalah merupakan undang-undang pentadbiran yang bertujuan untuk mentadbir proses poligami agar teratur, licin dan menepati tujuan dan syarat berpoligami. Orang yang diberikan amanah untuk memberi kata putus di dalam perkara ini adalah Hakim yang memang merupakan orang yang berwibawa di dalam perkara ini. Bagi pihak yang tidak berpuas hati terhadap keputusan Hakim masih berpeluang membuat rayuan ke Mahkamah yang lebih tinggi. Proses ini sebenarnya bertujuan memastikan yang keputusan Mahkamah walaupun di dalam perkara poligami ini adalah merupakan keputusan yang adil dan matang serta jauh dari dari dorongan perasaan atau keinginan nafsu kerana adanya sistem rayuan terhadap keputusan Mahkamah.
  
 b.      Dakwaan bahawa peruntukan yang ada bertentangan dengan Hukum Syarak
Terdapat juga sesetengah pihak berpendapat bahawa peruntukan yang ada ini bertentangan dengan Hukum Syarak yang menghalalkan poligami. Undang-undang yang ada menyekat suami dari berkahwin lebih dari satu sedangkan ianya telah dihalalkan oleh Islam. Ini menyebabkan pihak suami menganggap bahawa mereka boleh melakukan poligami tanpa keizinan dari pihak Mahkamah.
Pendapat ini kurang tepat kerana tujuan undang-undang tadi diwujudkan adalah bukan untuk menyekat dan mengharamkan poligami, tetapi ianya bertujuan untuk memastikan yang ianya tidak disalahgunakan yang akhirnya mendatangkan kezaliman kepada isteri-isteri dan anak-anak, memudaratkan hidup mereka dan merosakkan pendidikan dan psikologi anak-anak mereka.
Peruntukan yang ada ini juga adalah bagi memastikan keadilan kepada isteri sebagaimana yang telah dinyatakan dalam Surah al-Nisa’ ayat 3 yang menyatakan dengan jelas jika suami tidak dapat berlaku adil dan memudaratkan isteri maka mereka diarahkan beristeri hanya seorang sahaja. Maka peruntukan yang terdapat dalam enakmen negeri-negeri ini tidak bertentangan dengan Hukum Syarak kerana peruntukan yang ada ini adalah bagi memastikan keadilan bagi pihak isteri.
c.       Tidak mendapat kebenaran isteri 
Antara faktor yang menyebabkan pihak suami berpoligami tanpa izin mahkamah adalah kerana tidak mendapat keizinan isteri atau isteri-isteri sedia ada. Berdasarkan Seksyen 24 (4) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor ada menyatakan mengenai keizinan dan pandangan daripada isteri-isteri yang sedia ada terhadap perkahwinan yang dicadangkan itu.
Persoalan keizinan isteri pertama ini telah menjadi isu hangat pada suatu ketika dahulu terutamanya apabila negeri Perlis melonggarkan syarat berpoligami di negeri itu termasuklah membenarkan poligami tanpa perlu merujuk kepada pandangan isteri pertama. Kelonggaran ini telah mendapat bantahan pihak NGO wanita kerana langkah itu menghina kaum wanita. Menurut Mufti Perlis, tujuan utama kelonggaran syarat berpoligami itu adalah untuk menghentikan amalan rakyat Malaysia lari berkahwin di negeri lain terutamanya di Selatan Thailand.

Menurut Hukum Syarak, syarat yang memerlukan izin isteri yang pertama untuk berpoligami adalah tidak mutlak. Walaupun begitu, masalah ini telah diselesaikan dengan adanya peruntukan lain dalam Akta dan Enakmen Undang-Undang Keluarga negeri-negeri yang menghendaki Mahkamah memanggil pemohon dan isteri atau isteri-isteri sedia ada hadir ke Mahkamah untuk memberikan keterangan secara tertutup tentang perkahwinan yang dicadangkan apabila permohonan berpoligami diterima oleh Mahkamah. Secara tidak langsung, permohonan pihak suami masih tertakluk pada pandangan isteri dalam menentukan sama ada pemohon layak berpoligami atau sebaliknya. Di sini menunjukkan kepentingan dan keperluan pihak isteri untuk hadir ke Mahkamah dalam menentukan suami benar-benar layak atau tidak untuk berpoligami.
Walaupun suami mendapat keizinan isteri yang sedia ada untuk berpoligami namun Mahkamah tetap mengambil kira faktor kelayakan suami untuk berkahwin lagi. Ini kerana terdapat kes yang mana Mahkamah menolak permohonan poligami walaupun telah mendapat keizinan isteri pertama kerana suami gagal membuktikan bahawa dia berkemampuan untuk beristeri lebih dari seorang. Sesungguhnya keizinan dari pihak isteri bukanlah terus membolehkan pihak suami berpoligami tetapi ianya sebagai syarat untuk mendapatkan keterangan isteri dan membantu Mahkamah dalam memutuskan pihak suami layak atau tidak berpoligami.
d.      Permohonan poligami ditolak
Faktor berlakunya poligami tanpa izin Mahkamah juga ialah disebabkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran bertulis dari mahkamah untuk berpoligami telah ditolak kerana Mahkamah dapati bahawa pemohon tidak layak dan tidak mampu untuk beristeri seorang lagi. Ini menyebabkan mereka mengambil jalan mudah dengan berkahwin di negara lain tanpa kebenaran Mahkamah Syariah.
     
 1.9 KESAN POLIGAMI TANPA KEBENARAN MAHKAMAH

Poligami tanpa kebenaran Mahkamah akan mengakibatkan beberapa kesan antaranya ialah :
a.       Kesan dari sudut undang-undang
Mengikut peruntukan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor di bawah Seksyen 124 menyatakan dengan jelas bahawa suami yang berpoligami tanpa mendapat kebenaran bertulis dari mahkamah maka dianggap telah melakukan kesalahan dan boleh dikenakan penalti iaitu denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara.
      Suami yang berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah juga mestilah memulangkan dengan serta-merta semua jumlah mas kahwin dan pemberian kepada isteri yang sedia ada sekiranya masih belum dijelaskan semasa akad nikah dan jika suami gagal berbuat demikian, jumlah tersebut boleh dituntut sebagai hutang oleh isteri sedia ada. Mungkin pada masa ini jarang berlaku mas kahwin dan pemberian yang tidak dijelaskan semasa majlis akad nikah. Walau bagaimanapun, sekiranya berlaku ia tetap dianggap hutang terutama mas kahwin kerana mengikut Hukum Syarak, wajib bagi seorang suami untuk membayarnya dan merupakan hak eksklusif seorang isteri yang tidak boleh diambil oleh suami.
b.      Kesan kepada institusi keluarga
Poligami tanpa kebenaran Mahkamah ini biasanya dilakukan tanpa pengetahuan isteri sedia ada atau anak-anak. Oleh itu, tanggungjawab dan hak yang sepatutnya dilaksanakan tidak dapat disempurnakan sebaik mungkin kerana suami dan isteri kedua terpaksa hidup dalam buruan. Pasangan ini tidak dapat untuk memupuk kasih sayang dalam keadaan biasa kerana takut perkahwinan mereka diketahui oleh isteri pertama.
        Kesan berpoligami secara rahsia ini juga boleh menyumbang kepada kadar perceraian kerana isteri rasa ditipu dan dikhianati oleh suami sendiri. Ini mungkin juga disebabkan oleh sikap suami yang mula mengabaikan tanggungjawabnya selepas beristeri baru.

c.       Kesan kepada pasangan
Poligami yang dilakukan tanpa kebenaran Mahkamah biasanya akan mendatangkan kesan yang rumit terutamanya jika berlakunya perceraian kerana perkahwinan ini tidak memenuhi peruntukan Akta dan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam negeri-negeri.
 Perkahwinan tanpa kebenaran ini tidak semestinya tidak sah kerana ia mungkin telah memenuhi kehendak rukun dan syarat-syarat Hukum Syarak. Walau bagaimanapun sekiranya perkahwinan itu didapati tidak sah, maka pasangan akan difaraqkan (dipisahkan) dan akan dikenakan penalti. Selain itu, isteri juga tidak dapat menuntut sebarang hak dalam perkahwinan seperti tuntutan nafkah isteri dan anak-anak, hak penjagaan, tuntutan harta pusaka sekiranya suami meninggal dunia dan sebagainya. Pihak perempuan juga tidak boleh memohon pembubaran perkahwinan kerana perkahwinan memang tidak wujud dari awal lagi.
d.      
Kesan kepada anak-anak
Sah atau tidak perkahwinan poligami tanpa kebenaran Mahkamah perlu ditentukan terlebih dahulu sebelum perkahwinan itu boleh didaftarkan di bawah Akta atau Enakmen yang berkuatkuasa. Penentuan kesahan perkahwinan ini akan menimbulkan isu berkenaan kedudukan anak-anak yang lahir hasil daripada perhubungan itu.  Jika perkahwinan poligami tanpa kebenaran ini diputuskan oleh Mahkamah sebagai tidak sah, anak-anak yang dilahirkan adalah dianggap anak luar nikah yang mana status hubungannya dengan “bapa” tidak wujud sama sekali. Akibatnya, anak-anak ini akan menghadapi pelbagai masalah di masa hadapan.


2.1 JADUAL  PENDAFTARAN KES PENGESAHAN NIKAH POLIGAMI DAN PERMOHONAN KEBENARAN POLIGAMI DI NEGERI SELANGOR PADA TAHUN 2009

BIL
KOD KES
JENIS KES
DAFTAR

1

011

Permohonan kebenaran poligami

115

2

012

Pendaftaran nikah poligami

103


Jadual di atas ini adalah laporan tahunan yang kami terima daripada Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam berkenaan dengan kes pendaftaran nikah poligami dan kes permohonan kebenaran poligami. Jadual ini menunjukkan bahawa jumlah kes permohonan kebenaran poligami dan pendaftaran nikah poligami pada tahun 2009 adalah hampir sama.
Pada tahun 2009 ini, kes permohonan kebenaran poligami telah didaftarkan sebanyak 115 kes manakala kes pendaftaran nikah poligami pula sebanyak 103 kes. Beza antara kedua-dua kes ini hanyalah sebanyak 12 kes sahaja. Maka daripada perbandingan ini kami dapati bahawa peruntukan di bawah Seksyen 124 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor masih kurang berkesan dalam mengurangkan kes berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah. Secara keseluruhannya, penalti yang dikenakan oleh Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor  adalah masih rendah dan mudah dibayar oleh pihak suami berbanding dengan kesan yang terpaksa ditanggung oleh isteri pertama jika suami tidak dapat berlaku adil.  Oleh itu, dicadangkan agar penalti yang dikenakan ke atas pihak suami ini dikaji semula agar lebih relevan dan dapat memberi pengajaran yang lebih berkesan kepada pihak suami. 



2.2 CONTOH KES POLIGAMI TANPA KEBENARAN MAHKAMAH DI MAHKAMAH TINGGI SYARIAH SHAH ALAM

Kes Pertama    : Satari bin Amat dan Khatijah binti Jumari lwn Rohana binti Bohari
Fakta Kes    :  Pemohon 1 dan 2 telah memohon kepada Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam untuk mendapatkan perintah pengesahan daftar nikah poligami. Mereka telah bernikah pada 14 Januari 2002 di Gopeng Perak Darul Ridzuan. Hasil perkahwinan itu mereka telah dikurniakan dua orang anak perempuan iaitu Nur Aleya Natasha dan Nur Aleya Syawalina..
Pada 19 November 2007, Pemohon 1 telah membuat laporan berkaitan pernikahan tersebut di Pejabat Agama Islam, Klang Selangor dan hasil siasatan mendapati pernikahan tersebut sah mengikut Hukum Syara. Satu salinan laporan dari Pejabat Agama Islam Selangor Daerah Klang dilampirkan sebagai ekshibit dalam permohonan.
Isu yang dipertikaikan dalam kes ini ialah adakah status pernikahan Pemohon 1 dan 2 di Gopeng adalah sah mengikut Hukum Syarak? Sighah Ijab dan Qabul adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Pemohon 1 dan 2 dengan mas kahwin RM 5000.00 serta dua orang saksi lelaki yang tidak dikenali. Namun wujud masalah berkaitan wali, ini kerana di dalam afidavit Pemohon 2 menyatakan wali adalah bapanya tetapi ketika memberi keterangan wali adalah abangnya iaitu Razali bin Jumari. Pemohon 2 menyatakan bahawa semasa pernikahan bapanya tidak hadir dan mewakilkan kepada abangnya. Tetapi semasa pernikahan abangnya juga tidak hadir dan jurunikah iaitu Tuan Haji Mustapha bin Jaafar bercakap dengan abangnya melalui telefon. Jurunikah telah menikahkan Pemohon 1 dan 2 melalui kuasa wakil atau izin yang diberi oleh bapa Pemohon 2 kepada abang kandung pemohon 2. Di sini wujud juga isu di mana jurunikah telah tamat tempoh Qadi dan tiada bidangkuasa.
 Keputusan  : Kes dibicara dan diputuskan bahawa pernikahan antara Pemohon 1 dan Pemohon 2 di Gopeng adalah tidak sah dan batal kerana Wali Hakim menikahkan tidak ada tauliah sebagai Jurunikah dan tidak mendapat kuasa untuk menikahkan daripada wali bapa Pemohon 2.


Kes kedua : Mohd Johar bin Rashid dan Sutih binti Hasanuddin lwn Subiah binti Mat Noor
Fakta kes   : Pemohon 1 dan 2 telah berkahwin pada 12 Julai 2007 di rumah Imam Jurunikah di Kecamatan Medan Selayang, Kabupaten Medan, Sumatera Utara, Indonesia. Pernikahan tersebut telah diwalikan oleh wali nasab iaitu bapa kandung Pemohon 2 iaitu Hasanuddin dan disaksikan oleh Zulfakar dan Yandi Zulkal.
Pemohon 2 adalah warganegara Indonesia dan mengakui bahawa dia seorang janda yang telah bercerai dengan suami terdahulu iaitu Mohd Nur bin Abdul Talib pada 27 September 2005. Satu salinan surat Pengesahan Cerai telah dikeluarkan oleh Panitera Pengadilan Agama Kisaran, Indonesia. Pemohon 2 telah mendapatkan kesahihan surat pengesahan dari Department Agama Kantor Urusan Agama Kecamatan Medan Selayang Indonesia iaitu tempat di mana urusan pernikahan beliau dengan Pemohon 1 dijalankan.
Pada 24 Julai 2007 Pemohon 1 telah membuat laporan pernikahan di PAIS Klang dan hasil siasatan pernikahan tersebut adalah sah mengikut Hukum Syarak. Pemohon 1 telah disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 124 kerana semasa perkahwinan kedua itu dilangsungkan Pemohon 1 adalah suami kepada Responden iaitu Subiah binti Mat Noor. Hasil perkahwinan Pemohon 1 dan Responden dikurniakan 4 orang anak manakala hasil perkahwinan Pemohon 1 dan 2 dikurniakan seorang anak.
Keputusan :  Mahkamah memutuskan bahawa pernikahan yang dilangsungkan oleh Pemohon 1 dan Pemohon 2 pada 12 Julai 2007 adalah sah dan menepati Hukum Syarak. Mahkamah memerintahkan bahawa pernikahan tersebut didaftarkan  di Pejabat Agama Islam Selangor di Shah Alam.  
  
Berdasarkan kedua-dua kes yang dinyatakan ini dapat disimpulkan bahawa perkahwinan poligami tanpa kebenaran ini akan melalui proses penyiasatan yang terperinci di Mahkamah Syariah bagi memastikan bahawa perkahwinan yang berlaku itu sah mengikut Hukum Syarak seterusnya barulah perkahwinan itu boleh didaftarkan di pejabat agama. Kes pertama menunjukkan implikasi yang amat besar sehingga perkahwinan yang telah berlangsung dalam tempoh lima tahun itu terpaksa difaraqkan kerana Mahkamah memutuskan perkahwinan itu tidak sah dan terbatal. Ini menunjukkan bertapa pentingnya untuk mendapatkan kebenaran dari Mahkamah untuk berpoligami kerana untuk menghindari dari berlakunya perkahwinan yang tidak sah. Kesan yang paling besar apabila perkahwinan itu difaraqkan adalah kepada status anak yang dilahirkan dari perkahwinan itu yang boleh dipersoalkan.

2.3 PENUTUP

Islam membenarkan poligami tetapi tertakluk dengan syarat-syarat tertentu bagi memastikan konsep keadilan selaras dengan al-Quran. Sesungguhnya keharusan poligami adalah untuk menyelesaikan masalah sosial dalam masyarakat dan bukanlah untuk sebaliknya.Walaupun begitu, keharusan berpoligami ini telah di salah gunakan oleh sesetengah pihak suami yang menyebabkan kezaliman serta penganiayaan kepada pihak isteri.

Pihak  kerajaan telah membuat satu peruntukan undang-undang yang menetapkan syarat-syarat yang ketat untuk berpoligami. Syarat-syarat yang diperuntukan dalam undang-undang ini bukanlah bertujuan untuk mengharamkan poligami kerana mengharamkannya bertentang dengan Hukum Syarak. Namun ia dijadikan satu mekanisme untuk mengawal kaum lelaki daripada menyalahgunakan keharusan berpoligami sesuka hati mereka.

Kesimpulannya, sebagai masyarakat kita hendaklah mematuhi peraturan poligami yang terdapat dalam peruntukan undang-undang. Kepatuhan ini bukan sahaja dikhususkan kepada kaum lelaki sahaja tetapi juga kepada kaum wanita. Ini kerana perkahwinan poligami tanpa kebenaran ini tidak akan berlaku jika tidak mendapat persetujuan dari kedua-dua pihak yang terlibat. Sesungguhnya kaum wanita yang akan menanggung akibat yang paling banyak jika berkahwin tanpa kebenaran Mahkamah, bukan sahaja ke atas diri mereka tetapi juga ke atas anak-anak mereka yang tidak berdosa jika perkahwinan mereka diputuskan terbatal dan tidak sah.   







2.4 RUJUKAN

Abdul Jalil bin Mohd Hassan. 1993. Perkahwinan dalam Islam (Berdasarkan kepada Dalil, Hukum, Hikmat dan Panduan Kebahagiaan). A.S Noordeen: Kuala Lumpur.
Ahmad Ibrahim et al. 1998. Al-Ahkam (Undang-Undang Keluarga dan Pentadbiran Harta Wakaf). Dewan Bahasa dan Pustaka : Kuala Lumpur.
Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor). 2003.
Mimi Kamariah Majid. 1992. Undang-Undang Keluarga di Malaysia. Malayan Law Journal Sdn Bhd : Kuala Lumpur.
Najibah Mohd Zin et al. 2007. Undang-Undang Keluarga (Islam). Dewan Bahasa dan Pustaka : Kuala Lumpur.
Rozi Bainon. 1999. Wanita : Penghapusan Diskriminasi dari Perspektif Islam dan Undang-Undang Malaysia. Dewan Bahasa dan Pustaka : Kuala Lumpur.






PERKAHWINAN SINDIKET

PENDAHULUAN

Pernikahan secara sah mengikut rukun dan hukum Islam diletakkan dalam agama Islam setaraf mendirikan sebuah masjid. Hari ini pernikahan antara pasangan lelaki dan wanita secara amalinya terikat dengan peraturan kariah sebelah wanita. Mengikut prosedur kariah, bakal pengantin perempuan bagi kebanyakan negeri, pihak pengantin lelaki perlu menyerahkan surat akuan sumpah mengaku sama ada bujang atau surat kebenaran untuk berpoligami bagi yang sudah.berkahwin.

            Namun bagi pasangan yang berkahwin di sempadan dan nikah sindiket perkara ini sering diabaikan. Ini yang menimbulkan masalah di kemudian hari kerana urusan pendaftaran anak-anak dan pembahagian harta tertakluk kepada pendaftaran nikah kahwin mengikut enakmen setiap.negeri.

            Nikah sindiket yang berlaku dalam masyarakat kita bukan perkara baru. Ia berlaku sejak peraturan tegas supaya setiap perkahwinan didaftarkan dan setiap bakal pengantin perlu mengikuti kursus anjuran pihak berkuasa agama setiap negeri. Perkahwinan sebagai suatu perkara suci perlu dilakukan mengikut undang-undang dan sikap mengikut undang-undang logik perlu diubah kerana ia menimbulkan masalah kepada waris dan bukan kepada pasangan pengantin.itu.sendiri.

              Prosedur ini perlu dipenuhi bagi memberi kemudahan kepada anak-anak yang bakal lahir daripada sebuah perkahwinan mendapat pengiktirafan warga negara. Tindakan pasangan yang menggunakan sindiket akan mendedahkan diri mereka dengan tindakan mahkamah syariah dan mahkamah jenayah jika perbuatan yang tidak diredai undang-undang ini dilakukan.
  
              Rukun nikah menetapkan agar wali dijemput untuk menikahkan pasangan bertujuan menghindar daripada fitnah dan dosa terhadap kedua ibu bapa kerana membelakangkan mereka. Zaman ini kerana cinta, ramai anak muda lebih suka kahwin lari di sempadan ataupun melarikan diri dalam lingkungan 2 marhalah jauh dari kampung halaman mereka. Ada juga yang tidak mendaftarkan pernikahan sampai ajal menjemput mereka.
             Apabila urusan harta ingin dilaksanakan, pengesahan nikah yang belum dibuat akan menimbulkan masalah kepada waris hingga urusan mengambil kuasa terbantut dan terbengkalai. Walaupun mengikut syarak pernikahan di sempadan sah ia tetap akan menimbulkan masalah jika ia tidak didaftarkan oleh pasangan terbabit. Setiap peraturan bukanlah untuk menyusahkan tetapi untuk memberi kemudahan dan kebajikan kepada pasangan.
  

 MAKSUD PERKAHWINAN SINDIKET

Nikah atau kahwin sindiket bermaksud perkahwinan yang dijalankan di kawasan sempadan Thailand atau di mana-mana kawasan lain di Malaysia oleh satu kumpulan atau orang perseorangan yang tidak mendapat kebenaran menjalankan upacara pernikahan daripada pihak berkuasa kerajaan. Kebiasaannya, kumpulan atau orang perseorangan ini akan menyediakan segala kemudahan untuk pasangan melangsungkan perkahwinan termasuk menyediakan saksi dan wali untuk pihak perempuan.
Masalah akan timbul kerana perkahwinan ini adalah diragui kesahihannya dan tidak dapat didaftarkan kerana surat perakuan nikah yang dikeluarkan adalah palsu. Sebagai contoh, perkahwinan dijalankan di sempadan Kedah/ Thailand tetapi sijil perakuan yang dikeluarkan ialah sijil negeri Perak. 
Secara teorinya, proses perkahwinan secara sindiket adalah hampir sama dengan proses perkahwinan biasa. Namun, terdapat perbezaan dari segi praktikalnya. Di dalam perkahwinan biasa, pasangan pengantin yang perlu menyediakan wali dan saksi sebaliknya di dalam perkahwinan sindiket, kebiasaannya, wali dan saksi disediakan. Kos bayaran bagi kahwin sindiket juga tinggi iaitu mencapai RM 3000.00 berbanding dengan kahwin biasa yang hanya menelan belanja antara 1% hingga 5% daripadanya.


 FAKTOR PERKAHWINAN SINDIKET 

Faktor utama berlakunya perkahwinan di luar negera tanpa kebenaran ialah keengganan wali menikahkan anak perempuan mereka disebabkan oleh wali telah mempunyai calon menantu pilihan mereka sendiri, pilihan anak mereka tidak sekufu dari segi keturunan, pangkat, agama, budaya, pihak lelaki telah beristeri, pihak perempuan sendiri bawah umur dan lain-lain).
Selain itu, poligami juga merupakan antara faktor utama yang banyak menyumbang kepada berlakunya perkahwinan yang menggunakan khidmat sindiket. Kebiasaannya perkara ini berlaku kerana proses poligami yang rumit dan memakan masa dan disebabkan oleh ingin menyembunyikan perkahwinan tersebut daripada isteri yang sedia ada. 
Terdapat pasangan yang terdesak berkahwin di Thailand serta menggunakan khidmat sindiket untuk menutup malu setelah hamil luar nikah dan untuk mengelakkan diketahui pihak keluarga juga merupakan antara faktor yang menyumbang kepada berlakunya nikah sindiket.
 Dalam pada itu, belanja kahwin yang tinggi juga merupakan antara penyebab pasangan memilih untuk menggunakan khidmat sindiket. Ada antara pihak lelaki yang tidak berupaya untuk menyediakan hantaran dan perbelanjaan kenduri yang tinggi seperti yang diminta oleh pihak keluarga perempuan. 
Kurang kefahaman agama tentang persoalan rukun perkahwinan dan perkara-perkara berkaitan dengannya seperti masalah perwalian juga merupakan antara faktor penyebab. Penggunaan wali raja atau wali hakim di luar negeri atau di mana-mana tempat tanpa kebenaran pihak berkuasa atau sebab wali tidak bersetuju dan tidak mengizinkan perkahwinan, lantas pasangan menggunakan alasan wali berada lebih daripada 2 marhalah atau 60 batu atau 96 kilometer dari tempat berlangsungnya pernikahan tidak boleh diterima sewenang-wenangnya

. Hal ini wujud kerana pasangan tersebut sendiri yang melarikan diri daripada wali dan bukannya wali yang ghaib. Masalah wali tidak memberi persetujuan boleh diselesaikan melalui permohonan perkahwinan menggunakan wali raja atau wali hakim di daerah masing-masing .     

HUKUM PERKAHWINAN SINDIKET

Islam merupakan agama yang sempurna dan lengkap dari segenap aspek. Dalam pembinaan institusi kekeluargaan, Islam mempunyai peraturan dan tatacara yang tersendiri dalam memelihara kualiti sesebuah rumah tangga yang dibina dalam suasana harmoni dan diredhai ALLAH S.W.T . Dalam disiplin perundangan Islam, aspek kekeluargaan dikelompokkan dalam bidang ilmu tersendiri. Ketentuan dalam istilah perundangan Islam dikenali sebagai fiqh usrah      ( Fiqh Kekeluargaan ) Justeru itu, bagi pasangan yang bakal berkahwin, mereka perlu mematuhi hukum – hakam yang diperundangkan oleh syara’ dan sebagai tambahan, mereka juga perlu mengikut undang-undang kekeluargaan yang telah ditetapkan dalam enakmen negeri masing- masing. Undang- undang kekeluargaan yang digubal boleh diterima pakai selagimana tidak berlaku kontradiksi dengan syara’.
Menyentuh mengenai persoalan perkahwinan sindiket ini, masalah ini mempunyai kesan yang tertentu dari sudut syara’ serta undang-undang. Dari sudut syara’ persoalannya adalah sama ada perkahwinan tersebut diiktiraf ataupun tidak oleh perundangan Islam. Oleh yang demikian, isu ini perlu diperincikan berdasarkan tafsiran teks perundangan Islam kerana ia mempunyai perkaitan dalam bab wali yang disentuh dalam kitab fiqh. Wali merupakan satu elemen penting dalam rukun nikah seperti yang termaktub dalam kitab Sahih al-Bukhari dalam bab من قال لا نكاح الا بالوالي
Umumnya pandangan majoriti ulama’ berkenaan dengan masalah ini menegaskan bahawa seseorang perempuan tidak dibenarkan berkahwin melainkan mendapat keizinan walinya. Pandangan ini disokong oleh sarjana juris Islam seperti  Imam Syafi’e dan Imam Malik bahawa wali merupakan satu keperluan dalam perkahwinan.
Imam Abu Hanifah pula mempunyai pandangan tersendiri dalam bab perwalian yang mana, menurut Imam Abu Hanifah, seorang wanita yang mukallaf boleh mengahwinkan dirinya sendiri tanpa perlu kepada keizinan wali. Meskipun begitu, aliran mazhab Hanafi berpendapat keizinan wali masih lagi diperlukan bagi kes perempuan yang masih kecil dan perempuan gila. Keterangan daripada Imam Abu Hanifah menunjukkan sesuatu perkahwinan sama ada terdiri daripada anak dara ataupun janda dibenarkan walaupun tanpa disertai wali.
Secara prinsipnya, kepentingan wali dalam perkahwinan dijelaskan oleh Al-Quran yang bermaksud:
  dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu), lalu habis masa idah mereka ' maka janganlah kamu (Wahai wali-wali nikah) menahan mereka daripada berkahwin semula Dengan (bekas) suami mereka, apabila mereka (lelaki dan perempuan itu) bersetuju sesama sendiri Dengan cara Yang baik (yang dibenarkan oleh Syarak). Demikianlah diberi ingatan dan pengajaran Dengan itu kepada sesiapa di antara kamu Yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik bagi kamu dan lebih suci. dan (ingatlah), Allah mengetahui (akan apa jua Yang baik untuk kamu) sedang kamu tidak mengetahuinya>
Surah al-Baqarah : 232
Dalil ini diperkuatkan lagi dengan  hadith Rasulullah S.A.W yang bermaksud :
“ setiap wanita yang berkahwin tanpa kebenaran walinya, maka nikahnya itu tidah sah ( sebanyak tiga kali ) dan jika wanita itu disetubuhi, maka wanita itu berhak mendapat mas kahwin dan jika selepas penyempurnaan perkahwinan, kedua-dua berselisih faham, maka Sultan atau Raja menjadi wali bagi wanita yang tidak mempunyai wali lain”
Sunan Abu Daud
Berdasarkan dalil di atas, wali merupakan satu keperluan dalam perkahwinan. Rasionalnya, peranan wali dalam perkahwinan seorang wanita bukanlah untuk menunjukkan bahawa wali sama ada bapa atau penjaga atau pemerintah mempunyai kuasa eksekutif yang tidak boleh dikompromi. Menurut artikel Rozi Zainun, “ Wanita, penghapusan diskriminasi dari perspektif Islam dan Undang-Undang Malaysia”, kepentingan wali dalam perkahwinan adalah untuk melindungi keperluan dan hak dalam institusi masyarakat. Di samping itu, ia juga bertujuan untuk memastikan tidak berlaku penganiyaan terhadap perempuan yang bakal dikahwini.
Konsep wali diperkenalkan oleh syara’ bukanlah bertujuan untuk menafikan hak-hak wanita dalam kebebasan memilih pasangan. Namun begitu, kebebasan yang diberikan kepada wanita bukanlah bersifat eksklusif sehingga menafikan kepentingan wali.
Dalam kes tertentu, bidang kuasa perwalian akrab boleh berpindah kepada wali hakim. Contohnya apabila wali asal ghaib, wali enggan mengahwinkan anaknya tanpa sebab munasabah atau wali berada jauh pada jarak 60 batu ( dua marhalah ). Kebiasaannya, pasangan yang berkahwin secara sindiket menggunakan alasan wali nasab perempuan berada jauh dari tempat berlangsungnya akad nikah. Sebagai contoh, kebanyakan pasangan kahwin sindiket melangsungkan akad nikah di luar Negara seperti di Thailand. Bagi kes yang melibatkan kengganan wali, maka keperluan perkahwinan tersebut hendaklah diperiksa. Antaranya wali mujbir memenuhi syarat – syarat yang telah ditetapkan oleh syara’. Meskipun begitu, sekiranya pernikahan tersebut tidak mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh syara’, maka pernikahan tersebut tidak sah. 

  
IMPLIKASI KAHWIN SINDIKET DARI ASPEK PERUNDANGAN

Perkahwinan  Tanpa Kebenaran
Pendaftaran sesuatu perkahwinan  adalah suatu perkara yang penting. Keperluan kepada pendaftaran perkahwinan pada hari ini merupakan suatu maslahah kepada pasangan yang berhasrat untuk berkahwin. Ini adalah untuk kebaikan kepada pasangan yang bakal berkahwin apabila timbul perkara –perkara berbangkit dalam urusan rumah tangga pada masa hadapan. Pendaftaran perkahwinan tidak terhad kepada pendaftaran dalam negeri sahaja tetapi undang-undang menghendaki  perkahwinan yang berlaku diluar Malaysia perlu didaftarkan.
Perkara ini yang dinyatakan dalam seksyen 31, Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984. Termasuk juga bagi kes perkahwinan yang berlaku luar negeri mengikut hukum syarak tetapi tidak melalui  kedutaan Malaysia. Perkahwinan tersebut hendaklah didaftarkan dalam tempoh enam bulan selepas tarikh perkahwinan dihadapan pendaftar yang terdekat  seperti yang termaktub dalam seksyen 31, Enakmen Undang-Undang  Keluarga Islam Negeri Sembilan dan seksyen 31 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984. Meskipun begitu, perkahwinan yang tidak didaftarkan  sah disisi syarak sekiranya pasangan tersebut tidak melanggar syarat-syarat yang telah ditetapkan.
Dalam istilah undang-undang tidak ada peruntukan khusus berkaitan ‘ kahwin sindiket’. Istilah ‘kahwin sindiket’ hanyalah  merupakan sebutan dikalangan masyarakat . Dari aspek perundangan, kesalahan  kahwin sindiket diperuntukkan dibawah bab perkahwinan tanpa kebenaran. Kes ini akan berlaku apabila seseorang berkahwin didaerah atau di negeri lain tanpa dahulu memohon kebenaran untuk  berkahwin diluar daerah. Tafsiran ini juga termasuk dengan ‘kahwin lari’.

 Sebagai contoh, seksyen 9, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kedah 1979, memperuntukkan perkahwinan tanpa kebenaran adalah:
“Tiada suatu pernikahan boleh dinikahkan melainkan suatu perakuan untuk pernikahan itu yang dikeluarkan oleh Pendaftar , suatu kebenaran   pernikahan itu dibawah seksyen 13 atau suatu kebenaran bertulis dari  mahkamah dibawah seksyen 17 telah diserahkan kepada orang yang akan menjalankan pernikahan itu’.
Perkahwinan seperti ini boleh ditafsirkan sebagai perkahwinan yang tidak mendapat restu wali pengantin perempuan  dan perkahwinan yang diakad nikahkan oleh wali tahkim tanpa mendapat izin dari wali dan Pendaftar Nikah yang dilantik. Umumnya , semua negeri mempunyai Enakmen-enakmen Undang-Undang keluarga Islam tersendiri dan khusus yang menyentuh tentang prosedur perkahwinan yang mana menetapkan proses ini hendaklah mengikut prosedur yang telah ditetapkan. Menurut undang-undang pernikahan boleh diakadkan oleh, wali dihadapan pendaftar,wakil wali dihadapan dan dengan kebenaran Pendaftar, dan pendaftar sebagai wakil wali serta wali Am atau raja atau Hakim, namun hanya memberi kuasa apabila perempuan itu tidak mempunyai wali nasab. Begitu juga dengan kes dimana wali enggan mengahwinkan anak perempuannya, mahkamah berbidangkuasa  untuk memberi kebenaran  kepada wali raja atau hakim selepas satu perbicaraan dijalankan.
Bagi  pasangan yang mengambil  jalan mudah untuk  berkahwin , mereka akan melangsungkan perkahwinan diluar negara Malaysia seperti di Thailand. Hal yang demikian berlaku kerana amalan di Malaysia, perkahwinan berwalikan sultan perlu melalui satu proses siasatan oleh hakim. Sebaliknya, Thailand tidak mempraktikkan amalan tersebut dan memberikan kebebasan  kepada  kepada pihak yang bertanggungjawab bebas untuk mengakad nikah pasangan tersebut  dengan kuasa wali raja. Oleh kerana polisi yang tidak rigid dilaksanakan di negara Thailand memudahkan pasangan-pasangan melangsungkan perkahwinan di sempadan bagi mengelak peraturan-peraturan yang terdapat dalam undang-undang  keluarga Islam di Malaysia.


Implikasi lain yang timbul dari perkahwinan sindiket adalah hal ini akan menyebabkan Sijil Perakuan Perkahwinan yang dikeluarkan oleh negara luat tidak diterima dan diiktiraf oleh undang-undang keluarga Islam. Sebagai contoh, Enakmen keluarga Islam Negeri Kedah 1979 tidak menerima sijil perakuan perkahwinan  luar negara sekiranya tidak mematuhi syarat  dan peruntukan yang telah ditetapkan. Amalan yang telah dijalankan  dilaksanakan di Kedah  adalah dengan menjalankan penyiasatan  maklumat-maklumat berkaitan  seperti wali, tempat perkahwinan, mas kahwin, saksi dan maklumat tambahan lain. Sekiranya pasangan tersebut disabitkan bersalah  maka panelti seperti denda atau penjara akan  dikenakan.proses pengesahan  dan pendaftaran perkahwinan boleh dikenakan selepas pasangan tersebut dikenakan hukuman.
            Begitu juga amalan yang berlaku di Wilayah Persekutuan, perkahwinan yang dijalankan  tanpa kebenaran kebenaran Pendaftar Nikah akan dikenakan hukuman. Peruntukan ini berdasarkan  seksyen  19 Akta Undang- Undang  Keluarga  Islam Wilayah  Persekutuan  1984 yang yang memperuntukkan kesalahan yang boleh didenda  tidak melebihi  ringgit Malaysia  satu ribu dan penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya  sekali.
Umumnya, kes-kes perkahwinan yang dilangsungkan di Selatan Thailand boleh diklasifikasi kepada beberapa  kategori. Mahkamah akan menentukan bentuk-bentuk hukuman  berdasarkan  fakta kes yang berlaku sama ada perkahwinan  tersebut boleh didaftar atau tidak  diperintah mufaraqah atau dibatalkan perkahwinan.
Sebagai contoh, kes luar negeri yang tidak boleh didaftarkan boleh dilihat dari kes Morad  bin Shafie & Haslinda binti Shafie  lawan Majlis Agama Islam Negeri Kedah( kes Mal No.22l98). Dalam kes ini, pihak plaintif dikenali sebagai  Haslinda binti Shafie telah berkahwin dengan Morad bin Shafie  di Songkla, Thailand berwalikan  adik kandung iaitu Khairun bin Shafie . Perkahwinan ini diakadkan oleh  Hj. Abd. Manaf bin Mohamad. Mahkamah mendapati perkahwinan secara wali tahkim adalah salah kerana bapa kepada plaintif masih ada. Mahkamah memutuskan  perkahwinan yang diakadnikah oleh wali tahkim adalah tidak sah. Alasan yang dikemukan adalah, juru nikah tersebut tidak dilantik  dan tidak mempunyai tauliah daripada Majlis Agama Islam Selatan Thailand.
Implikasi dari perkahwinan tersebut mengakibatkan perkahwinan tersebut tidak boleh didaftarkan  dan dikenakan hukuman. Sekiranya disabitkan hukuman di Mahkamah  boleh memisahkan pasangan terbabit secara mufaraqah dan mahkamah mempunyai kuasa untuk mencadangkan supaya diakad nikahkan semula.


Poligami Tanpa Kebenaran

Berdasarkan peruntukan undang-undang keluarga Islam, perkahwinan poligami tidak boleh dilakukan tanpa terlebih dahulu perlu mendapat kebenaran daripada mahkamah. Pasangan yang melanggar peraturan  yang ditetapkan akan dikenakan denda mengikut budi bicara mahkamah. Sebagai contoh, amalan di Perak dan Terengganu, mereka yang berpoligami  tanpa kebenaran Hakim Syar’ie boleh dikenakan penalti tidak lebih daripada ringgit Malaysia satu ribu atau penjara tidak lebih dari enam bulan atau kombinasi hukuman tersebut.
Oleh kerana pemohon yang berhasrat berpoligami perlu mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan menyebabkan sebahagiannya tidak layak untuk berpoligami. Jalan penyelesaiannya adalah dengan nikah sindiket. Dengan cara ini, pihak yang terbabit  dapat merahsiakan perkahwinan daripada pengetahuan isteri pertama dan untuk mengelakkan prosedur undang-undang yang sedia ada. Masalah-masalah yang dihadapi ini menyebabkan segelintir pasangan yang ingin berpoligami mengambil keputusan  untuk berkahwin diluar  negara walaupun mengetahui ia bertentang dengan undang-undang. 


 REALITI PERKAHWINAN SINDIKET DI MALAYSIA
Selain lelaki yang ingin berpoligami, pasangan muda juga antara yang banyak melangsungkan pernikahan di Selatan Thai. Rata-ratanya berpendapat jika perkahwinan itu berlaku sekarang, mereka tidak akan pilih untuk berkahwin di Siam. Dan faktor mereka memilih jalan mudah ialah kerana waktu itu mereka  jahil dan tidak banyak pengetahuan tentang hukum perkahwinan dan terus ambil jalan mudah dengan berkahwin di sana dan ambil ringan soal pengesahan perkahwinan dari sudut undang-undang.Kebanyakan mereka yang terlibat dengan perkahwinan sindiket mengakui kelewatan mereka dalam membuat pendaftaran perkahwinan di Malaysia, dan setelah bertahun-tahun berlalu, barulah mereka tampil untuk mendaftarkan perkahwinan. Bayangkan, selama tempoh itu, masyarakat  sekeliling mengenali mereka sebagai pasangan suami isteri namun ia belum sah di sisi undang-undang.
Perkahwinan di Selatan Thailand bukan perkara asing. Banyak pasangan termasuk golongan elit Malaysia yang berkahwin di negara itu. Bahkan, media melaporkan baru-baru ini sepanjang tempoh Januari hingga Mei lalu, terdapat 1,321 permohonan rakyat Malaysia untuk berkahwin di situ. Menurut Pejabat Konsulat Malaysia di Selatan Thailand, daripada jumlah itu, pasangan Malaysia yang berkahwin sesama negara ialah 999 permohonan, pasangan Malaysia-Thailand (186), Malaysia-Indonesia (19), Malaysia-Pakistan (18), Malaysia-Bangladesh (dua permohonan).Statistik turut menunjukkan ada trend peningkatan perkahwinan rakyat Malaysia di negara sempadan itu.
Bermula dengan 73 permohonan pengesahan pernikahan pada tahun 2001, diikuti 67 (2002), 98 (2003), 55 (2004) dan melonjak dengan lebih tinggi pada 2006 dengan 845, 1,944 (2007), 2,342 (2008) dan 2,172 (2009).Pernah media melaporkan pada tahun 2005, sekurang-kurangnya 10 orang kenamaan berstatus Tan Sri dan Datuk bernikah di Selatan Thai sejak tahun 2003. Dianggarkan kira-kira 100 pasangan Malaysia bernikah setiap bulan di Thailand, iaitu paling tinggi berbanding pasangan negara jiran lain.

 Antara punca ramai memilih untuk berkahwin di Siam juga kerana pasangan tidak perlu membawa wali, sijil kebenaran berkahwin daripada Jabatan Agama Islam, sijil kursus kahwin, sijil mengenai status kesihatan sama ada bebas HIV atau AIDS dan wang hantaran.Memandangkan ia dilihat sebagai jalan penyelesaian untuk 'kahwin rahsia', pasangan yang biasanya memilih berkahwin di Selatan Thai ialah lelaki yang ingin berkahwin lain dan pasangan yang hubungan mereka mendapat tentangan keluarga.
Seorang wanita yang pernah didakwa bersuami dua, Shanum Shaari menunjukan dokumen sah mengenai perceraiannya serta surat nikah di Selatan Thai pada tahun 2006. Tertanya-tanya juga kita adakah pasangan ini bernikah di Selatan Thai dengan pergi begitu sahaja atau ada orang tengah yang mengaturkannya. Hasil pemantauan di Internet, Jurnal mendapati terdapat banyak ejen yang menawarkan pakej perkahwinan di wilayah-wilayah Selatan Thai seperti di Songkhla, Narathiwat, Yala dan Pattani. Tawaran yang diberikan bermacam-macam. Ada yang menyediakan pengangkutan, menyediakan khidmat membeli-belah selepas bernikah, memastikan mendapatkan surat nikah daripada majlis agama dan Konsulat Malaysia dalam masa sehari dan macam-macam lagi. Rata-ratanya menawarkan pakej perkahwinan di antara RM1,000 hingga RM3,000.
Seorang ejen yang menawarkan pakej di Yala menerusi Perak mengakui dirinya memang rapat dengan Majlis Agama Islam di wilayah itu. Dia memberitahu, kebanyakan pasangan yang menggunakan khidmatnya ialah pelajar dan anak-anak muda yang ingin berkahwin tetapi dihalang keluarga. Hanya 30 peratus yang bertujuan poligami. Baginya yang sedia tahu ramai yang memandang serong kerjayanya sebagai ejen tetapi tetap dilakukan kerana ingin membantu mereka yang dalam kesusahan sekaligus mahu maksiat dielakkan. Memandangkan zaman sekarang terdedah kepada pelbagai cabaran dan anasir negatif yang tersendiri.

 Manakala seorang wanita yang lain pula menguruskan perkahwinan di Songkhla menjanjikan akad nikah hanya di pejabat agama wilayah itu. Untuk memastikan akad nikah yang dilaksanakan itu benar-benar diyakini dan dilakukan oleh jurunikah yang ditauliahkan majlis agama wilayah, ditawarkan akad nikah di pejabat agama sahaja. Dengan menawarkan pakej pada harga hanya RM1,700, baginya Songkhla merupakan tempat terbaik kerana Konsulat Malaysia juga berada di Songkhla. Pada hal yang sama, bagi pihaknya, dia meminta pasangan agar memilih ejen yang betul agar tidak tertipu.
Memang tidak dapat dinafikan sekarang terdapat terlalu banyak ejen sindiket. Macam-macam tawaran yang diberikan. Ada yang menawarkan bayaran yang melampau sehingga RM13,000. Ada yang menggunakan jurunikah palsu. Terdapat juga kes dimana seorang lelaki telah mempunyai seorang isteri namun telah terlanjur dengan seorang wanita. Kerana ingin bertanggungjawab atas keterlanjurannya itu, dia telah menyatakan hasratnya untuk berkahwin lagi namun dihalang oleh isteri, ibu dan bapanya. Dia akhirnya terdesak untuk berkahwin dengan wanita itu di Selatan Thai demi untuk bertanggungjawab atas keterlanjurannya. Dimaklumkan juga jurunikah-jurunikah di Thailand boleh mengeluarkan surat nikah, tetapi sijil nikah yang diperlukan untuk pengesahan Konsulat Malaysia ialah daripada majlis agama wilayah berkenaan.
Dalam satu kes yang lain seorang wanita yang berkahwin di Ampang, Selangor tetapi telah memperoleh sijil nikah dari Thailand dan tidak mengetahui yang ia nikah sindiket sehinggalah apabila jurunikah lesap dan surat nikah yang dijanjikan tidak diterima.Mereka langsung tidak ada surat nikah. Bimbang anak dalam kandungan ini sukar untuk mendapat sijil kelahiran, kami cuba mendapatkan sijil nikah dari Thailand menggunakan seorang ejen perkahwinan di sana dengan bayaran RM1,500. Hal ini mencetuskan persoalan adakah sesetengah perkahwinan yang didakwa dilakukan di Selatan Thai walaupun lengkap dengan dokumen nikah dari sana sebenarnya satu penipuan? 


KESIMPULAN
Perkahwinan menurut Islam merupakan  penyatuan dua jiwa insan yang diikat dengan syarat-syarat yang ditentukan oleh syara’. Oleh yang demikian  fenomena kahwin sindiket yang berlaku sudah tentulah bertentangan dengan falsafah kekeluargaan. Malah, ia juga bertentangan dengan kebudayaan masyarakat Melayu yang mengutamakan nilai-nilai murni dalam imstitusi kekeluargaan. Masyarakat Melayu memandang   jelek sekiranya  fenomena ini berlaku dalam sesebuah keluarga. Rumahtangga dalam Islam merupakan sebuah komponen penting dalam masyarakat seterusnya menunjukkan masyarakat pula berperanan dalam pembentukan sesebuah keluarga. Oleh yang demikian perkahwinan yang tidak menghormati masyarakat  seperti kahwin sindiket  jelas bertentangan dengan masyarakat yang  juga merupakan satu perkara yang keji dari nilai masyarakat. Justeru itu, peruntukan undang-undang kekeluargaan yang menghukum pasangan kahwin sindiket ini adalah bertujuan menjaga kepentingan dan kesejahteraan masyarakat. 












RUJUKAN
Al-Quran
Akta Undang-Undang Keluarga Islam(Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984. 2009.
Anon. Kahwin lari: satu kajian menurut perundangan. 2005. Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia: Perlis.
Najibah Mohd Zin et al. 2007. Undang-undang Keluarga (Islam). Dewan Bahasa Dan Pustaka:Kuala Lumpur.
Penyulawa.2004.http://www.tokeikedai.net.my/v8/index.php?name=News&file=article&sid=2845.