JaUh PeRjaLaNAn LUas PeMaNdAnGaN

Selasa, 6 November 2012

PERKEMBANGAN PENGENDALIAN IBADAH JEMAAH HAJI DARI MALAYSIA

Dalam kajian ini, tidak dapat dinyatakan atau ditentukan dengan tepat bilakah bermulanya orang Islam di Malaysia menunaikan ibadah haji dan siapakah orang yang menguruskan bakal-bakal haji. Ini kerana, kajian berkenaan dengan perkara ini, belum ada dalam mana-mana catatan atau simpanan. Sejarawan dan sarjana berselisih pendapat mengenai kedatangan Islam ke semenanjung Tanah Melayu. Berdasarkan tarikh yang boleh dipercayai, pada kurun keempat belas atau lebih awal, penduduk Tanah Melayu telah pergi menunaikan fardu haji di Makkah. Akan tetapi, perkara ini tidak boleh dijelaskan dengan tepat atau terperinci, kerana tidak dapat diketahui tarikh yang tepat dan siapakah orang yang pertama telah menunaikan fardu haji.

          Sebagai seorang Islam, kita semua patut bersyukur dan berterima kasih kepada Munsyi Abdullah bin Abdul Kadir, iaitu seorang tokoh pengarang tanah air kurun ke 19, yang telah mencatat dan menulis tentang pelayarannya ke Tanah Suci Makkah untuk menunaikan haji pada zaman dahulu. Perkara ini, boleh dianggap sebagai catatan pertama yang ditulis oleh C.Snouck Hurgronje iaitu seorang ilmuan Belanda yang telah pergi ke Makkah dalam tahun 1884 (setahun setengah berada di Makkah dan setengah tahun berada di Jeddah) dan Liwa Ibrahim Rifa’at Basya Amirul Haj Mesir tahun 1901,1902 dan 1908Masihi yang menulis secara terperinci dalam bukunya yang bertajuk : Mir’atul Haramain awl al- Rihlatul Hijaziah wal Hajju Wa Mashairuhu ad-Diniyyah. 
          Selain itu, pada kurun ke 19, berdasarkan catatan Munsyi Abdullah bin Abdul Kadir, beliau telah berlayar ke Makkah dari Singapura dengan kapal Syeikh Abdul Karim iaitu kapal Subulus Salam pada 29 Jamadil Awal 1273 iaitu tarikh masihi 1854.Manakala, artikel yang ditulis oleh Tuan Abdul Majid bin Zainuddin, pesuruhjaya haji yang pertama ke Tanah Suci Makkah, catatan tentang pelayaran Sultan Zainal Abidin ΙΙΙ iaitu Sultan Terengganu yang kesebelas. Pelayaran ini bermula pada kurun ke 20 (pada tahun 1332/1913M).
        Baginda telah berangkat ke Makkah dengan diiringi lima belas orang pengiring termasuk Dato’ Seri Amar Diraja (Haji Ngah Muhammad bin Yusuf), Tengku Abdullah (Tengku Seri Wak Raja), Tengku Hassan (Tengku Pekerma), Tengku Embong, Tengku Putra, Tengku Ibrahim, dan Encik Abdul Rahim bin Endut. Keberangkatan baginda ke Tanah Suci adalah dirahsiakan kerana baginda tidak mahu diketahui oleh orang lain tentang keinginannya ingin ke Tanah Suci Makkah dan apa yang diketahui umum ialah tentang baginda akan berangkat ke Singapura. Sultan Zainal Abidin ΙΙΙ, telah sampai di Jeddah pada 7 Zulhijjah (28/12/1913) dan terus berangkat ke Makkah pada malam itu juga dengan menaiki Baghal dan tiba di Makkah pada 9 Zulhijjah. Pada 9 Zulhijjah, baginda telah berangkat ke Arafah dari Makkah. Semasa berada diTanah Suci, baginda dan rombongannya berada dibawah urusan Tuan Syeikh Nik Mat Kecik Fatani (Muhammad bin Ismail) dan anaknya yang bernama Syeikh Abdullah.
          Manakala, berdasarkan catatan, Jaafar bin Jusoh al-Haj dalam bukunya PPKN, beliau telah menceritakan tentang pemergian beliau ke Tanah Suci pada tahun 1355-1936/1937 bersama dengan empat orang rakannya yang terdiri daripada Pegawai Kerajaan Negeri Johor,  yang mana mereka semua telah mendapat tajaan daripada Kerajaan Negeri Johor dengan jasa baik daripada Yang Berhormat Encik Onn bin Jaafar.

           Beliau dan rakannya telah menaiki kapal Cyclops dan berlepas dari Singapura pada 19 Sya’ban 1355 dan singgah di pelabuhan Port Swettenham di Kuala Selangor untuk mengisi muatan dan telah berlepas menuju ke Colombo (Sri Lanka) dengan membawa jemaah haji seramai 1240 (790 daripada Singapura dan 450 dari Pulau Pinang). Kapal ini, kemudiannya singgah Ceylon pada 11 November dan tiba di Cameron pada 20 November dan berlayar ke Jeddah selama 20 hari. Kemudian, berlayar pulang dengan menaiki kapal Mentor pada 7 Mac. 
          Manakala, Laksamana Hang Tuah telah diberi suatu tempat oleh Malik R.s.t.l. di Makkah ketika beliau dan rombongannya singgah untuk menunaikan ibadat haji ketika dalam perjalanan menuju ke Rom (Turki). Semasa berada di Madinah selama dua belas hari, beliau dan rombongannya telah berada dibawah jagaan syeikh Jamaluddin. Selain itu, Malik R.s.t.l. dan syeikh Jamaluddin adalah merupakan syeikh yang berfungsi untuk membantu dan memudahkan Laksamana Hang Tuah dan rombongannya dalam melaksanakan ibadat haji mereka ketika berada di sana.
          Manakala, keadaan di dalam kapal pada masa dahulu amat menyedihkan ini kerana, bakal haji terpaksa duduk secara beramai-ramai dan berkongsi tempat tidur. Sebelum berangkat, bakal-bakal haji akan dinasihatkan supaya bersabar semasa berada dalam kapal dan juga semasa dalam perjalanan ke Tanah Suci. Bakal haji akan ditempatkan berdasarkan petak-petak di dalam kapal dan dibahagikan secara kumpulan. Di dalam kapal, telah dibahagikan mengikut kelas iaitu kelas pertama dan kelas kedua. Bayaran yang dibuat oleh jemaah haji kelas pertama dan kedua adalah berbeza iaitu bagi kelas pertama ialah sebanyak $626.70. manakala, kelas kedua sebanyak $ 686.70. Malahan, keadaan di dalam kelas pertama dan kedua tidak jauh bezanya kerana kedua-duanya adalah tempat yang sangat sempit dan terpaksa berhimpit-himpit di dalamnya.
Manakala, berdasarkan temubual dan yang telah dibuat di Pejabat Lembaga Tabung Haji di Kota Bharu Kelantan dan Pejabat Utama Lembaga Tabung Haji Kuala Lumpur, pada masa dahulu, pendaftan haji dilakukan di Pejabat Tanah Negeri-negeri di Malaysia sebelum adanya Tabung Haji. Pada era 80an, pendaftaran yang dibuat pada masa atau tahun itu, semua bakal haji boleh menunaikan haji pada tahun itu juga. Akan tetapi selepas adanya Tabung Haji, pendaftaran yang dibuat pada tahun itu, tidak membolehkan bakal haji menunaikan fardu haji pada tahun itu juga.
           Selain itu, sebelum adanya penerbangan Malaysia Sistem Airline (MAS) dari Malaysia ke Makkah, bakal haji pergi menunaikan ibadah haji dengan kapal laut. Berdasarkan cacatan sejarah, sistem pengangkutan yang digunakan jemaah haji Negara ini bermula dengan penggunaan kapal barang dan kargo dan berubah selepas Persekutuan Tanah Melayu 1948 dengan peningkatan sistem pengangkutan kepada yang lebih selesa apabila menggunakan kapal penumpang berkelas satu, dua dan tiga serta menggunakan laluan udara adalah selepas merdeka.  Di antara kapal laut yang pernah membawa jemaah haji ke Tanah Suci ialah seperti kapal Haji Anking, kapal Haji Malaysia baru, kapal Haji Kuala Lumpur dan  kapal laut Malaysia Raya dan akan diuruskan oleh syeikh yang datang dari Tanah Suci Makkah. Terdapat dua tempat yang menyediakan perkhidmatan kapal laut ini iaitu di Pulau Pinang dan juga di Singapura. Bagi bakal haji yang dekat dengan Pulau Pinang, akan menaiki kapal laut dari Pulau Pinang, manakala, bagi bakal haji yang dekat dengan Singapura, akan menaiki kapal di Singapura. 

        Malahan, setiap tahun iaitu sebelum musim haji, Syeikh-syeikh di Tanah Arab akan mewakilkan Pegawai Jabatan Pengawal dan Pesuruhjaya Haji. Manakala, pegawai-pegawai Daerah di setiap buah negeri di Malaysia akan membantu mereka  dan terdapat dua orang yang membantu mengelolakan hal ehwal pelayaran naik haji ke Tanah Suci yang dipanggil Syeikh Haji. Meraka ialah ketua besar Yang Mulia Tuan Sayed Ibrahim al-Sagof di Singapura dan ketua nombor duanya Yang Mulia Tuan Sayed Ahmad Al-Mashhor di Pulau Pinang.
       Walaubagaimanapun, selain daripada kakitangan pejabat terdapat beberapa orang di Singapura dan Pulau Pinang yang telah dipertanggungjawabkan mencari dan mendapatkan orang-orang yang ingin mengerjakan haji dan orang ini tidak digelar sebagai Syeikh, akan tetapi digelar sebagai broker haji mengikut pendaftaran mereka dengan kerajaan. Mereka ini akan dibayar komisyen di atas tiap-tiap seorang bakal haji yang di bawa oleh mereka dan setiap broker akan dibayar sebanyak $ 22.00 untuk setiap seorang bakal haji sebagai belanja seperti sewa rumah, api, air, kayu api serta bayaran untuk pengangkutan barang-barang mereka daripada rumah-rumah jemaah ke kapal laut.
    Di antara tanggungjawab-tanggungjawab Syeikh atau mutawwif haji terhadap jemaah haji di Tanah air ialah:                   
a) Mengurus pendaftaran haji di pejabat daerah.
b)      Mengguruskan passport haji, tiket kapal laut dan tarikh berangkat ke Tanah Suci.
c)    c)  Menghantar terus jemaah haji sama ada ke Pejabat Tanah di Pulau Pinang atau Pejabat Pesuruhjaya Haji di Singapura.
d)     d)Memastikan adanya ruang yang selesa dalam kapal untuk setiap jemaah haji.
 e)      Menghantar jemaah haji terus ke kapal-kapal haji (Singapura atau Pulau Pinang atau ke Pelabuhan Klang, Kuching dan lain-lain).
 f)       Menghantar barang-barang jemaah haji terus ke kapal haji. Semua bayaran yang dikenakan ke atas barang-barang yang berat, yang dibawa oleh jemaah haji akan diuruskan juga.
        Kesemua tugas yang dijalankan oleh oleh syeikh akan dibayar oleh pihak syarikat yang mengendalikan kapal haji berdasarkan komisyen yang berpatutan. Selain itu, kebiasaanya syeikh-syeikh di Pulau Pinang dan Singapura, akan menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan tambahan selain apa yang telah ditetapkan itu. Apa yang paling penting ialah mereka menyediakan tempat tinggal kepada bakal-bakal haji yang datang dari Singapura dan Pulau Pinang ketika sedang menunggu hari perjalanan untuk berlayar dengan kapal-kapal haji dan pada masa itu, bakal-bakal haji perlu menunggu selama seminggu atau kadang-kadang sepuluh hari bakal haji perlu menunggu, akan tetapi pada masa kini (dahulu) bakal haji perlu menunggu selama sehari dua sahaja.
      Manakala, di antara tanggungjawab-tanggungjawab Syeikh atau mutawwif haji terhadap jemaah haji semasa berada di Makkah ialah :
 a)      Menyediakan kenaikan dan membawa jemaah-jemaah haji dari pengkalan kapal di Jeddah ke tempat persinggahan di ‘Madinatul Hujaj.’ Serta menguruskan dan menyelesaikan segala pemeriksaan passport dan yang paling penting urusan dengan pihak kastam diselesaikan.
 b)      Menyediakan tempat-tempat tinggal semasa berada di Jeddah sebelum berangkat ke Madinah atau Makkah (sekarang tempat tinggal bagi jemaah haji telah disediakan oleh pihak kerajaan iaitu di Madinatul Hujjaj).
 c)      Menguruskan segala hal yang berkaitan dengan passport dan pertukaran wang dan lain-lain perkara yang penting semasa berada di Jeddah.
 d)     Menyediakan kenaikan untuk membawa pergi dan balik jemaah haji ke Madinah atau Makkah.
 e)      Menentukan Syeikh-syeikh haji atau mutawwif Madinah untuk setiap jemaah termasuk menyediakan tempat tinggal semasa berada di Madinah dan tempat-tempat ziarah dan lain-lain.
 f)       Menyediakan dan menunjukkan tempat tinggal di Makkah serta memberi nasihat kepada jemaah haji tentang kebajikan dan keselamatan mereka.
 g)      Menyediakan kenderaan ke tempat Wukuf di Arafah dan kenderaan untuk pulang ke Muzdalifah, Mina dan Makkah.
 h)      Menyediakan makan dan minum empat kali sehari setiap hari, bermula dari pertama di Arafah sehingga kembali ke Makkah serta selama tiga hari Tasyrik di Mina dan bayaran tidak akan ditambah kerana bayaran untuk makan dan minum sepanjang berada disana telah dibayar sebanyak 274SR riyal untuk setiap seorang kepada Syeikhnya.
 i)        Menyediakan kenderaan dan membawa jemaah haji ke Jeddah untuk belayar ke negeri masing-masing.
 j)        Menyediakan tempat tinggal di Makkah sebelum berangkat ke Jeddah dan di Jeddah sebelum menaiki kapal untuk belayar pulang.
 k)      Menyediakan kenderaan dan menghantar jemaah haji ke kapal setelah semua urusan yang berkaitan dengan passport dan barang-barang yang dibawa oleh mereka.
             Pada tahun 1982, wang naik haji ialah sebanyak RM 4,500 seorang dan setiap tahun akan meningkat sebanyak RM 500. Perjalanan dengan kapal laut memakan masa selama 6 bulan iaitu satu (1) bulan perjalanan pergi dan satu (1) bulan perjalanan balik, manakala, empat (4) bulan berada di Tanah Suci Makkah. Selain itu, tempat tinggal di Tanah Suci akan diuruskan oleh Syeikh yang membawa bakal haji itu. Kebiasaanya, syeikh-syeikh akan menyewakan rumah untuk bakal haji dan ada juga yang tinggal di rumah syeikh itu sendiri.

         Barang-barang keperluan yang biasa dibawa oleh jemaah haji semasa berada di atas kapal ataupun semasa berada di Tanah Suci ialah seperti beras, ikan masin, telur masin, ikan bilis dan lain-lain barangan atau makanan yang boleh disimpan lama. Barang makanan ini akan di simpan di sebuah kotak khas yang dinamakan tong sara untuk menyimpan bekalan makanan yang di bawa oleh jemaah haji. Selain daripada makanan, jemaah haji juga membawa peralatan untuk memasak seperti periuk, pinggan mangkuk, gelas dan lain-lain.
        Selain itu, sebelum bakal haji bertolak ke Tanah Suci, bakal haji akan mendapatkan passport haji dengan harga RM15 daripada pihak pengurusan jemaah haji pada masa itu dan passport haji hanya sah pada musim haji sahaja. Jika ada jemaah haji yang ada lebih dari masa yang telah telah ditetapkan, maka, akan dianggap sebagai pendatang ataupun tinggal tanpa kebenaran di Tanah Suci. Malahan, jika berlaku kematian semasa dalam perjalanan ke Tanah Suci, jenazah akan di kafankan dan akan dikebumikan di dalam laut dengan cara mengikat pemberat pada badan jenazah serta menenggelamkan jenazah ke dalam laut dan sekiranya berlaku kematian semasa berada di Tanah Suci, jenazah akan dikebumikan di Tanah Suci.



Rujukan

1.Mohd, Saleh,1986, Haji Di Semenanjung Malaysia Sejarah Dan Perkembangannya Sejak Tahun 1300-1405H (1886-1985M).
2.Anon,1993, Sejarah Perkembangan Tabung Haji Malaysia 30 Tahun
3.Hajjah Wan Mah Wan Sulaiman, 2010. Temu Bual, 15 Desember
4.Hajjah Jamilah Hashim, 2011. Temu Bual, 19 Januari
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan