JaUh PeRjaLaNAn LUas PeMaNdAnGaN

Ahad, 31 Oktober 2010

Prosedur Perkahwinan Luar Negara (Tanpa Kebenaran) Di Negeri Selangor

= PENDAHULUAN

Institusi kekeluargaan bermula dengan terbentuknya sesebuah perkahwinan. Perkahwinan menurut undang-undang Islam ialah satu kontrak sivil dan merupakan satu ibadah. Perkahwinan boleh diadakan tanpa apa-apa istiadat atau prosedur tertentu. Malahan, ianya tidak memerlukan upacara khas ataupun pegawai tertentu. Islam tidak pernah mensyaratkan supaya perkahwinan itu direkodkan dan didaftarkan sama ada secara rasmi ataupun tidak, malahan tidak disyaratkan untuk ditulis. Sesuatu akad perkahwinan dianggap sah dan mengikat sekiranya telah memenuhi segala rukun dan syarat yang ditetapkan oleh hukum syarak.

Atas dasar inilah, Islam tidak melarang perkahwinan dijalankan di mana-mana jua dan dalam keadaan apa sekalipun, asalkan segala rukun dan syarat telah dipenuhi. Malahan, atas kemudahan inilah, ada segelintir pasangan yang telah mengambil kesempatan untuk kahwin lari. Oleh itu, undang-undang keluarga Islam negeri-negeri di Malaysia telah memperuntukan beberapa sekatan dalam perlaksanaan perkahwinan bagi menjamin supaya tidak berlakunya sebarang penyelewengan dalam perkara ini. Peruntukan ini, telah disediakan dalam bentuk prosedur perkahwinan. Di antara perkara-perkara yang terkandung dalam prosedur ini ialah permohonan berkahwin, penetapan umur minimum, penentuan status perkahwinan, perkahwinan dihadapan pendaftar perkahwinan bertauliah, penentuan tempat perkahwinan, permohonan berpoligami dan pendaftaran perkahwinan. Kedua-dua prosedur dan pendaftaran perkahwinan adalah untuk kemaslahatan dan kesejahteraan sosial. Walaupun, peraturan yang telah ditetapkan ini adalah tidak menjadi syarat sahnya sesuatu perkahwinan, namun, perlanggarannya menyalahi undang-undang yang telah ditetapkan.


= DEFINISI PERKAHWINAN

Perkahwinan atau nikah dari segi bahasa ialah bersatu atau berkumpul.
Manakala, dari syarak ialah satu akad yang menghalalkan istimta’ (bersetubuh atau berseronok-seronok) di antara suami isteri dengan cara yang dibenarkan oleh syarak. Menurut Imam Abu Zuhrah perkahwinan sebagai suatu aqad yang menghalalkan pergaulan antara suami isteri dengan jalan-jalan yang telah ditetapkan.

= DEFINISI PERKAHWINAN TANPA KEBENARAN

Perkahwinan tanpa kebenaran atau kahwin lari bermaksud perkahwinan yang biasanya diakadkan oleh wali Hakim di negeri lain dan tidak mengikut Enakmen atau Akta Undang-Undang Keluarga Islam serta perkahwinan ini tidak direstui oleh wali pengantin perempuan. Perkahwinan ini juga tidak mendapat kebenaran Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk mukim yang berkenaan. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, kahwin lari didefinisikan sebagai perkahwinan (pernikahan) pasangan lelaki dan wanita (biasanya suka sama suka) yang dilakukan di tempat lain tanpa disaksikan atau direstui keluarga.

Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa perkahwinan tanpa kebenaran atau kahwin lari ini mesti mempunyai unsur-unsur berikut:

a)Tidak mengikut Enakmen atau Akta Undang-Undang Keluarga Islam.
b)Tanpa mendapat kebenaran bertulis dari Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk mukim terbabit.

= PROSEDUR PERKAHWINAN

Di Malaysia, prosedur perkahwinan boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu prosedur perkahwinan dalam negeri dan prosedur perkahwinan di luar negeri. Seksyen 16 (1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003, menjelaskan bahawa “apabila dikehendaki untuk mengakadnikahkan sesuatu perkahwinan yang dicadangkan itu hendaklah memohon dalam borang yang ditetapkan untuk kebenaran berkahwin kepada pendaftar bagi kariah masjid dimana pihak perempuan itu bermastautin”. Sebelum prosedur ini diikuti (bagi perkahwinan biasa dalam negeri), bakal pengantin diwajibkan mengikuti kursus pra perkahwinan Islam yang dikenali sebagai Modul Bersepadu Kursus Pra Perkahwinan Islam. Ketetapan ini telah dilaksanakan di atas persetujuan Majlis Persidangan Ketua-ketua Jabatan Agama Islam bagi setiap negeri supaya kursus perkahwinan diselaraskan dengan melaksanakan modul untuk semua bakal pengantin.

Kursus perkawinan ini telah dilaksanakan bermula tahun 1994. Kursus ini adalah bertujuan untuk memastikan bakal pengantin mempunyai asas agama dan ilmu yang berkaitan dengan alam perkahwinan dan alam rumahtangga. Kursus ini telah dijalankan selama dua hari dan para peserta akan diberikan sijil dan akan dilampirkan bersama-sama dengan borong permohonan perkahwinan masing-masing.

= PROSEDUR PERKAHWINAN LUAR NEGERI

Perkahwinan diluar negeri adalah perkahwinan yang telah dilaksanakan oleh rakyat negeri masing-masing diluar negeri. Akta dan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor seksyen 16, yang sedia ada bukanlah bertujuan untuk menyekat atau menghalang ataupun untuk mengalakkan perkahwinan diluar negeri. Akan tetapi, ianya bertujuan untuk memberi perlindungan yang sewajarnya kepada seseorang itu. Walaubagaimanapun, sesuatu perkahwinan itu mestilah mengikut hukum syarak dan peruntukan undang-undang yang telah termaktub dan diiktiraf di negara ini. Prosedur perkahwinan luar negeri boleh dibahagikan kepada empat iaitu perkahwinan luar negeri di kedutaan, perkahwinan luar negeri selain di kedutaan, perkahwinan luar negari dengan kebenaran dan perkahwinan luar negeri tanpa kebenaran.

Dalam kertas kerja ini, akan dibincangkan tentang perkahwinan luar negeri tanpa kebenaran iaitu perkahwinan mana-mana orang yang bermukim atau bermastautin di mana-mana negeri di Malaysia yang ingin berkahwin diluar negeri tanpa kebenaran pendaftar nikah, cerai dan rujuk (NCR) di daerahnya terlebih dahulu. Biasanya perkara ini dilakukan oleh orang-orang yang bermasalah dengan perkahwinan yang bakal dilangsungkan di negeri meraka. Permasalahan ini biasanya wujud di sebabkan tidak mendapat persetujuan isteri pertama untuk berpoligami ataupun tidak mendapat keizinan daripada wali-wali atas sebab-sebab tertentu.

Di Malaysia, kerajaan telah membuat perjanjian bersama (memorandum of understanding) dengan kerajaan Thailand, mengiktiraf jurunikah yang bertauliah di lima daerah di selatan Thailand iaitu di Narathiwat, Pattani, Satun, Songkhla dan Yala untuk membantu mereka yang menghadapi masalah seperti ini. Jika, seseorang yang bermastautin atau bermukim dalam negeri ini telah berkahwin di luar negeri dengan sah mengikut hukum syarak, orang itu hendaklah dalam masa enam bulan selepas tarikh perkahwinan, hendaklah hadir di hadapan pendaftar NCR yang berhanpiran di luar negeri untuk mendaftarkan perkahwinan tersebut.

Sekiranya NCR di luar negeri yang dilantik tidak ada atau sebelum tamat tempoh enam bulan pihak yang terlibat telah kembali ke negeri mereka. Maka, pihak yang terlibat hendaklah mendaftarkan perkahwinan mereka kepada pendaftar NCR negeri masing-masing. Untuk mendaftar perkahwinan tersebut, mereka hendaklah mengemukakannya kepada pendaftar NCR apa-apa keterangan sama ada secara lisan atau bertulis, yang mana boleh memuaskan hati pendaftar NCR bahawa perkahwinan itu telah dilaksanakan mengikut hukum syarak. Jika sekiranya, pendaftar NCR berpuas hati dengan keterangan yang dikemukakan oleh pihak yang terlibat dan setelah mendapatkan pengesahan daripada pihak yang melantik jurunikah dan yang mengeluarkan sijil nikah tersebut, maka ia boleh mendaftarkan perkahwinan itu dan begitulah sebaliknya.

Menjadi satu kesalahan bagi sesiapa yang bermastautin atau bermukim di negara ini melangsungkan perkahwinan dengan sengaja di luar negeri tanpa mendapat kebenaran pendaftaran NCR terlebih dahulu. Jika sekiranya, perkahwinan yang dijalankan itu bukan poligami, pihak yang terlibat itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1000.00 atau enam bukan penjara atau kedua-duanya sekali. Selepas membayar denda, barulah perkahwinan itu boleh didaftarkan di bawah enakmen undang-undang yang di peruntukan.

Pada masa kini, mana-mana perkahwinan tanpa kebenaran yang hendak didaftarkan di bawah Akta atau Enakmen Undang-undang Keluarga Islam negeri-negeri hendaklah disahkan terlebih dahulu. Perkahwinan tanpa kebenaran ini, merujuk kepada perkahwinan yang berlaku di luar Malaysia dan kebanyakkannya berlaku di Thailand. Perkara ini berlaku, oleh kerana ramai pasangan yang mengambil kesempatan untuk kahwin lari di sana untuk mengatasis masalah yang mereka hadapi. Kebiasaanya, perkahwinan ini dilakukan melalui wali hakim atau wali raja yang mana tidak dapat dipastikan sama ada wali tersebut bertauliah ataupun tidak. Malahan, kesempatan ini juga telah di ambil kesempatan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menikahkan pasangan tersebut dengan tujuan komersial ataupun lebih di kenali sebagai “kahwin sindiket”. Pihak-pihak ini telah meletakkan bayaran yang agak tinggi dan tidak menghiraukan sama ada perkahwinan yang mereka sediakan itu memenuhi kehendak hukum syarak ataupun tidak. Apa yang penting bagi mereka ialah pasangan yang terdesak dapat kahwinkan dan mereka pula mendapat wang.

Disebabkan perkara ini berleluasa, maka satu ketetapan telah diambil iaitu mana-mana orang yang bermastautin atau bermukim di negeri ini yang berkahwin di luar negeri tanpa kebenaran, maka perkahwinan tersebut hendaklah dibuat pengesahan di mahkamah terlebih dahulu, sebelum di daftarkan. Malahan, setelah mahkamah mendapati perkahwinan itu adalah sah dan pasangan dikenakan penalti, barulah perkahwinan tersebut akan didaftarkan. Dan sekiranya perkahwinan tersebut didapati tidak memenuhi hukum syarak, pasangan tersebut akan difaraqkan (dipisahkan) dan penalti akan di kenakan.

= PROSEDUR PENDAFTARAN PERKAHWINAN LUAR NEGERI TANPA KEBENARAN

Prosedur pendaftaran perkahwinan luar negeri tanpa kebenaran di Negeri Selangor adalah bermula dengan pihak-pihak hendaklah melaporkan perkahwinan tersebut di Pejabat Agama Islam di mana sepatutnya perkahwinan tersebut berlaku. Siasatan akan dibuat oleh Pejabat Agama Islam dan kes tersebut akan dipanjangkan ke bahagian pendakwaan untuk proses pendakwaan. Proses pendakwaan akan dibuat di Mahkamah Rendah Syariah di mana sepatutnya perkahwinan tersebut dijalankan. Seksyen 20(1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 “Sesuatu perkahwinan hendaklah dijalankan di mana pihak perempuan bermastautin, tetapi Pendaftar atau Hakim Syarie yang memberi kebenaran berkahwin di bawah seksyen 17 atau 18 boleh memberi kebenaran untuk perkahwinan itu diakadnikahkan di tempat lain, sama ada dalam Negeri Selangor atau dalam mana-mana Negeri”.
Setelah selesai pendakwaan, pihak-pihak hendaklah memfailkan permohonan pendaftaran nikah di Mahkamah Tinggi Syariah sekiranya permohonan tersebut untuk pihak yang berpoligami dan di Mahkamah Rendah Syariah untuk pihak yang masih bujang. Mahkamah akan membicarakan kes tersebut dan akan mengesahkan serta memerintahkan kes tersebut didaftarkan di Pejabat Agama Islam. Pihak-pihak perlu ke Pejabat Agama Islam untuk mendaftarkan perkahwinan tersebut dan surat nikah akan dikeluarkan.

= SEBAB-SEBAB PENDAFTARAN PERKAHWINAN LUAR NEGERI TANPA KEBENARAN

Perkahwinan luar negeri tanpa kebenaran di Negeri Selangor perlu di daftarkan kerana telah peruntukkan oleh Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 berdasarkan seksyen 25, setiap perkahwinan hendaklah didaftarkan. Selain itu, tujuan pendaftaran ini diwujudkan adalah untuk mengetahui status perkahwinan tersebut sah ataupun tidak dan juga untuk rekod pihak Jabatan Agama Islam berkaitan jumlah perkahwinan di Negeri Selangor. Serta tujuan pendaftaran tersebut direkodkan adalah untuk mengelakkan timbulnya masalah nasab anak, masalah harta pusaka, masalah perceraian di belakang hari.

a.Urusan tuntutan hak

Hak-hak semasa perkahwinan, seperti tuntutan nafkah isteri, mahar yang tertunggak, nafkah anak-anak, penentuan nasab anak, tempat tinggal serta tuntutan selepas berlaku perceraian, sepeti tuntutan nafkah ‘iddah, nafkah anak-anak, mut’ah, harta sepencarian, dan hak penjagaan anak dan lain-lain tidak akan terlaksana melainkan sesuatu perkahwinan itu dibuktikan sah dan didaftarkan. Ini termasuklah juga untuk mendapatkan hak sekiranya berlaku sebagai contoh pembahagian harta melalui faraid, pencen si mati dan perkara lain yang bersangkutan, tidak boleh dituntut. Oleh itu, bagi setiap urusan yang berkaitan, permohonan di mahkamah yang melibatkan pihak suami dan isteri hendaklah disertakan sijil nikah yang dikeluarkan oleh negeri masing-masing. Penyertaan dokumen sijil nikah ini adalah satu kemestian. Sekiranya tidak permohonan itu akan ditolak oleh Pendaftar mahkamah sebelum didengar dan dibicarakan oleh hakim.

b.Urusan pembubaran perkahwinan

Mana-mana pasasangan yang hendak memohon pembubaran perkahwinan sama ada melalui talak atau khulu’ atau taklik atau li’an atau fasakh, hendaklah pernikahan mereka didaftarkan terlebih dahulu di bawah Akta atau Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam negeri masing-masing. Ini bermakna, perkahwinan yang tidak didaftarkan di bawah undang-undang keluarga yang sedia ada, akan menyebabkan permohonan mereka untuk membubarkan perkahwinan akan ditolak oleh mahkamah.

c.Pasangan boleh dituduh di bawah kesalahan berkhalwat

Jika pasangan gagal menunjukkan bukti bahawa mereka telah berkahwin, maka pasangan berkenaan boleh dihukum melakukan kesalahan jenayah syariah khalwat di bawah seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995.

= FAKTOR BERLAKUNYA PERKAHWINAN LUAR NEGERI TANPA KEBENARAN

Di antara punca berlakunya perkahwinan luar negeri tanpa kebenaran ialah:

a.Wali

Faktor utama berlakunya perkahwinan di luar negera tanpa kebenaran ialah keengganan wali menikahkan perempuan di bawah jagaannya dengan lelaki pilihan mereka. Antara sebab keengganan wali ialah wali telah mempunyai calon menantu pilihan mereka sendiri, pilihan anak mereka tidak sekufu dari segi keturunan, pangkat, agama, budaya, pihak lelaki telah beristeri, pihak perempuan sendiri bawah umur dan lain-lain.

b.Poligami

Sebilangan besar pasangan yang bernikah di luar negeri adalah disebabkan pernikahan tersebut adalah penikahan poligami, sama ada pihak perempuan dalam proses pernikahan itu menjdai isteri kedua, ketiga atau keempat. Oleh kerana, permohonan di Negeri Selangor khususnya dan di Malaysia amnya dimestikan mendapat kebenaran Mahkamah Syariah. Terdapat pasangan yang mengambil jalan mudah dengan melakukan pernikahan mereka di luar negeri. Alas an yang mereka berikan ialah mendapat tentangan daripada isteriyang sedia ada, tidak mahu isteri yang sedia ada mengetahuinya ataupun untuk mengelakkan daripada diketahui oleh pihak-pihak tertentu seperti majikan, ahli keluarga atau pihak berkuasa agama tempatan.

c.Hamil di luar perkahwinan

Terdapat pasangan yang terdesak berkahwin di Thailand untuk menutup malu ataupun setelah pihak lelaki dipaksa atau diugut oleh pihak keluarga masing-masing supaya bertanggungjawab setelah pihak perempuan telah hamil di luar perkahwinan.

d.Masalah khalwat

Bagi mengelakkan pasangan disabitkan dengan kesalahan jenayah khalwat, pasangan yang terlibat akan berkahwin di Thailand untuk mendapatkan sijil nikah sebagai bukti dan pembelaan di mahkamah bahawa mereka telah berkahwin semasa ditangkap.

e.Lebih cepat dan mudah

Perkahwinan cara ini lebih cepat dan mudah kerana tidak perlu melalui proses temu duga atau menjalani krusus pra-perkahwinan terlebih dahulu. Kebiasaannya, setiap pasangan dari Malaysia yang berkahwin di Thailand bukan sahaja prosedurnya mudah, bahkan hanya dengan bayaran sebanyak RM300 sahaja merka dapat menyempurnakan perkahwinan mereka termasuklah khidmat juru nikah, saksi dan urusan pendaftaran bagi pengeluaran sijil ikah yang sah.

f.Belanja kahwin yang tinggi

Tidak dinafikan belanja kahwin yang tinggi juga merupakan pemangkin peningkatan jumlah perkahwinan luar negara tanpa kebenaran. Ada antara pihak lelaki yang tidak berupaya untuk menyediakan hantaran dan perbelanjaan kenduri yang tinggi seperti yang diminta oleh piahak keluarga perempuan. Dengan melangsungkan perkahwinan di Thailand, mereka hanya perlu membayar mas kahwin dan upah kahwin yang murah dan tidak perlu memberikan hantaran yang kebiasaannya di luar kemampuan pihak lelaki.

g.Adanya sindiket kahwin luar negara tanpa kebenaran

Kehadiran sindiket yang menyediakan khidmat jurunikah dan saksi-saksi nikah juga memudahkan pasangan yang bermasalah untuk berkahwin lari. Pasangan yang ingin kahwin hanya perlu menghubungi pihak-pihak tertentu yang berada di sempadan Malaysia dan mereka akan membawa pasangan berjumpa dengan imam dan saksi-saksi nikah yang sedia menikahkan perkahwinan mereka pada bila-bila masa sahaja. Dengan kewujudan sindeket seperti ini, perkahwinan luar negara tanpa kebenaran boleh dilakukan dengan mudah kerana pasangan tersebut tidak perlu lagi mencari jurunikah dan saksi-saksi nikah. Ada juga sindiket yang memberi kemudahan (dengan bayaran yang lebih sedikit) kepada pasangan untuk berkahwin dengan membawa jurunikah dan saksi-saksi dari Thailand ke Malaysia untuk menikahkan mereka dan memberikan sijil nikah Thailand. Hal ini memudahkan lagi kepada pasangan bermasalah kerana tidak perlu lagi ke sempadan yang akan melibatkan penggunaan pasport atau pas perjalanan. Akibatnya, timbullah isu sijil kahwin palsu yang tidak diiktiraf oleh Majlis Agama Islam selatan Thailand dan kerajaan Malaysia, kerana pasangan tersebut dinikahkan oleh mereka yang tidak bertauliah. Hal ini hanya disedari apabila pasangan ingin mendaftar semula perkahwinan mereka.

h.Kurang kefahaman agama dan peruntukan undang-undang sedia ada

Kurang kefahaman agama tentang persoalan rukun perkahwinan dan perkara-perkara berkaitan dengannya seperti masalah perwalian, merupakan faktor penyebab berlakunya perkahwinan luar negara. Penggunaan wali raja atau wali hakim di luar negeri atau di mana-mana tempat tanpa kebenaran pihak berkuasa atau sebab wali tidak bersetuju dan tidak mengizinkan perkahwinan, lantas pasangan menggunakan alasan wali berada lebih daripada 2 marhalah atau 60 batu atau 96 kilometer dari tempat berlangsungnya pernikahan tidak boleh diterima sewenang-wenangnya. Hal ini wujud kerana pasangan tersebut sendiri yang melarikan diri daripada wali dan bukannya wali yang ghaib. Masalah wali tidak memberi persetujuan boleh diselesaikan melalui permohonan perkahwinan menggunakan wali raja atau wali hakim di daerah masing-masing.

i.Kewarganegaraan

Pada masa kini, terdapat ramai warganegara asing yang datang ke Malaysia ataupun warganegara Malaysia ke luar negeri, sama ada kerana melancong, belajar, bekerja dan menjalankan urusan perniagaan. Keadaan ini secara tidak langsung mendorong hubungan peribadi antara warganegara asing dengan penduduk tempatan. Dan hasil daripada hubungan tersebut, terdapat sebilangan daripada mereka melangsungkan akad nikah di luar negeri tanpa kebenaran pihak berkuasa agama negeri atas pelbagai alas an seperti sedang berada di negeri berkenaan dan tidak sempat balik ke Malaysia, memerlukan kos yang tinggi untuk berulang alik dan juga disebabkan pernikahan dengan warganegara asing tersebut merupakan pernikahan poligami.

= IMPLIKASI PERKAHWINAN LUAR NEGARA TANPA KEBENARAN

Perkahwinan luar negara tanpa izin pada keseluruhannya memberi implikasi yang buruk daripada yang baik. Implikasi ini boleh dilihat seperti yang berikut:

a.Terhadap pasangan

Tidak dinafikan perkahwinan luar negara tanpa kebenaran memberi implikasi yang amat besar terhadap pasangan baik dari segi undang-undang mahupun sosial. Ia akan lebih ketara jika perkahwinan itu dilanda krisis rumah tangga atau lebih rumit lagi jika berlaku perceraian kerana perkahwinan tersebut tidak memenuhi peruntukan bawah Akta dan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor. Pada umumnya, perkahwinan luar tanpa kebenaran tidaklah semestinya tidak sah kerana ia mungkin telah memenuhi kehendak rukun dan syarat-syarat di bawah hukum syara’. Pasangan dianggap sebagai telah melanggar peruntukan dan prosedur yang sedia ada dan akan dikenakan penalti yang ditetapkan.

Sekiranya pasangan ingin mendaftar semula perkahwinan, mereka perlu melalui prosedur pengesahan perkahwinan terlebih dahulu. Pertama sekali, pasangan terbabit hendaklah memohon pendaftaran semula perkahwinan melalui penyelia agama di Pejabat Agama Islam Daerah. Penyelia kemudiannya akan membawa kes ke Unit Pendakwaan. Pendakwa pula akan membawa kes tersebut kepada Hakim Syari’e untuk disahkan. Setelah itu, Hakim Syari’e akan meminta pasangan mengisi borang bagi pendaftaran pernikahan luar negeri. Prosedur selanjutnya ialah Hakim Syari’e akan memanggil pasangan berkenaan dan dua orang saksi bagi mengukuhkan keterangan pasangan terbabit. Di peringkat ini, setelah mendengar segala keterangan, mahkamah akan menetapkan sama ada perkahwinan sebagai sah atau terbatal. Setelah penentuan kesahan perkahwinan, kes akan dibawa semula ke unit pendakwaan. Pendakwa akan menjalankan siasatan dan meneruskan pendakwaan ke atas pasangan tersebut atas pertuduhan berkahwin luar negeri tanpa kebenaran. Jika sabait kesalahan, pasangan akan dikenakan penalti. Akhir sekali, mahkamah akan memerintahkan supaya perkahwinan itu didaftarkan bawah Akta atau Enakmen yang berkuat kuasa.

Akan tetapi sekiranya perkahwinan itu didapati tidak sah, pasangan akan difaraqkan (dipisahkan) dan akan dikenakan penalti. Selain tidak dapat menuntut sebarang hak dalam perkahwinan seperti tuntutan nafkah isteri dan anak-anak, hak penjagaan, tuntutan pusaka sekiranya suami meninggal atau sebagainya, pihak perempuan juga tidak boleh memohon pembubaran perkahwinan kerana perkahwinan memang tidak wujud dari awal lagi. Kedudukan anak-anak yang lahir hasil daripada perhubungan ini juga boleh dipersoalkan kesahannya. Sekiranya terbukti perkahwinan tidak sah,anak-anak yang lahir dianggap anak luar nikah yang mana status hubungannya dengan “bapa” tidak wujud sama sekali. Akibatnya, anak-anak akan menghadapi masalah pada masa akan datang.

b.Terhadap keluarga

Perkahwinan antara lain adalah untuk mengeratkan dan menambahkan ahli keluarga dan juga mengikat hubungan di antara dua buah keluarga. Perkahwinan tanpa izin yang berlaku pada lazimnya adalah akibat tidak mendapat restu dan keizinan kedua-dua keluarga terutamanya keizinan wali pihak perempuan. Akibatnya, hubungan antara pasangan tersebut dengan ahli keluarga mereka akan terjejas bahkan terputus langsung kerana tindakan yang diambil oleh pasangan tersebut telah membelakangi kedua-dua orang tua mereka dan mengaibkan mereka di mata masyarakat.

Bagi mereka yang mengamalkan poligami tanpa pengetahuan pihak isteri sedia ada atau anak-anak pula, tanggungjawab dan hak sepatutnya dilaksanakan dan diberikan tidak dapat disempurnakan sebaik mungkin kerana suami dan terutamanya isteri yang kedua atau seterusnya terpaksa hidup seolah-olah dalam buruan. Pasangan ini tidak berupaya memupuk kasih sayang dalam keadaan biasa kerana takut perkahwinan mereka diketahui umum terutamanya isteri yang pertama. Kesan berpoligami secara rahsia ini sedikit sebanyak menyumbangkan kepada kadar perceraian kerana isteri terasa ditipu dan dikhianati oleh suami sendiri. Tambahan pula apabila suami mula mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai seorang suami dan bapa. Justeru, ada antara isteri yang memohon perceraian bagi mengatasi kekusutan yang sedia ada.

c.Terhadap anak

Sekiranya perkahwinan tersebut mempunyai anak, dan anak yang dilahirkan tidak dapat didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Dan ini akan menyukarkan setiap proses yang akan di lalui oleh anak itu kelak seperti hendak membuat pengenalan diri, pendaftaran sekolah dan lain-lain.

d.Terhadap masyarakat

Implikasi perkahwinan tanpa izin terhadap masyarakat ialah ia memberi tindak balas daripada masyarakat sekeliling bahawa Akta dan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam yang diperuntukan di Malaysia sedikit sebanyak menyusahkan pasangan untuk berkahwin dalam negara. Salah faham ini telah menyebabkan segelintir orang membuat rumusan bahawa undang-undang keluarga Islam yang dikuatkuasakan mengongkong kebebasan mereka untuk berkahwin sedangkan Islam itu memudahkan umatnya. Realitinya, undang-undang keluarga yang ada adalah untuk mengemas kini dan memudahkan perkara yang berkaitan dengan urusan nikah, cerai dan rujuk masyarakat Islam di Malaysia.

Ketidakprihatinan masyarakat terhadap Akta dan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam yang dikuatkuasakan di seluruh negeri di Malaysia menyebabkan mereka menganggap permasalahan wali ‘adal tidak dapat diselesaikan mengikut prosedur yang sedia ada dan begitu juga denganh masalah poligami. Masyarakat beranggapan prosedur poligami menyusahkan dan menghalang mereka berpoligami sedangkan Islam mengharuskannya. Sebenarnya, prosedur poligami yang ada adalah bagi memastikan semua pihak yang terlibat sama ada suami, isteri atau isteri-isteri dan bakal isteri dapat melaksanakan tanggungjawab dan mendapat hak masing-masing dan keadilan dapat dilaksanakan sebaik mungkin. Permasalahan yang timbul ialah apabila pihak lelaki yang tidak berkemampuan dan pada masa yang sama tidak mahu melukakan hati isteri atau isteri-isteri yang sedia ada memohon kebenaran untuk berpoligami, yang mana sudah pasti akan ditolak oleh pihak mahkamah. Justeru, jalan yang paling mudah adalah dengan melangsungkan perkahwinan di luar negara tanpa kebenaran.

e. Dari segi undang-undang

pihak-pihak yang melakukan kesalahan ini akan dikenakan tindakan undang-undang kerana telah melanggar peruntukan yang ditetapkan :

di bawah seksyen 40. (1) Seseorang yang dengan diketahuinya mengakadnikahkan atau berbuat sesuatu yang berupa sebagai mengakadnikahkan atau menjalankan upacara sesuatu perkahwinan.

(a)tanpa ada kebenaran berkahwin sebagaimana dikehendaki oleh seksyen 19; atau

(b)dihadapan selaian daripada sekurang-kurangnya dua orang saksi yang boleh dipercayai, di samping orang yang mengakadnikah perkahwinan itu,
adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum dengan denda tidak lebih daripada satu ribu ringgit atau dengan penjara tidak lebih daripada enam bulan atau dengan kedua-duanya denda dan penjara itu.

(2)Seseorang yang berkahwin atau berbuat sesuatu yang berupa sebagai akadnikah atau yang menjalani sesuatu cara akadnikah dengan sesiapa jua berlawanan dengan mana-mana peruntukan Bahagian II adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum dengan denda tidak lebih daripada satu ribu ringgit atau dengan penjara tidak lebih daripada enam bulan atau dengan kedua-duanya denda dan penjara itu.

Dalam hal ini, terdapat dua kesan yang berbeza berkaitan dengan kahwin luar negeri tanpa kebenaran ini iaitu yang pertama ialah sekiranya perkahwinan itu melibatkan wali yang sah maka perkahwinan tersebut adalah dianggap sebagai sah di sisi syarak. Perkahwinan ini hendaklah didaftarkan di Unit Nikah, Cerai dan Rujuk di pejabat agama yang berdekatan. Kegagalan melakukan pendaftaran ini boleh menyebabkan implikasi yang lebih buruk pada masa hadapan terutamanya jika berlaku perceraian. Sebagai contoh, isteri tidak berhak menuntut sebarang hak daripada suaminya kerana tiada rekod pendaftaran perkahwinan antara mereka.

Kedua pula ialah sekiranya perkahwinan itu dijalankan menggunakan wali yang diragui sah maka perkahwinan tersebut juga diragui kesahihannya. Apabila keadaan ini berlaku maka akan timbul masalah untuk mendaftarkan perkahwinan itu. Satu siasatan terperinci terpaksa dijalankan oleh pihak berkuasa bagi mendapatkan kepastian sama ada perkahwinan tersebut sah atau tidak. Jika didapati perkahwinan itu sah, maka pendaftaran akan dijalankan dan denda akan dikenakan kepada pasangan terlibat. Sebaliknya jika dibuktikan perkahwinan itu tidak sah, maka perintah ‘farak’ iaitu pengasingan antara suami isteri terlibat akan dikeluarkan. Pasangan ini hanya akan disatukan semula melalui akad nikah baru yang pasti kesahihannya. Secara teorinya, proses perkahwinan secara sindiket adalah hampir sama dengan proses perkahwinan biasa. Namun, terdapat perbezaan dari segi praktikalnya.

Di dalam perkahwinan biasa, pasangan pengantin yang perlu menyediakan wali dan saksi sebaliknya di dalam perkahwinan sindiket, kebiasaannya, wali dan saksi disediakan. Kos bayaran bagi kahwin sindiket juga tinggi iaitu mencapai RM 3000.00 berbanding dengan kahwin biasa yang hanya menelan belanja antara 1% hingga 5% daripadanya. Contohnya di Selangor, kos yang dikenakan ialah sekitar RM 150.00. Perkahwinan sindiket tidak melibatkan sebarang urusan dengan Jabatan Agama Islam sebaliknya perkahwinan biasa perlu didaftarkan di Unit Nikah, Cerai dan Rujuk, Jabatan Agama Islam atau Pejabat Agama Daerah.

= STATISTIK PENDAFTARAN KES PENGESAHAN NIKAH DI NEGERI SELANGOR DARI TAHUN 2007 HINGGA JUN 2010

BIL. TAHUN DAFTAR
1. 2007 76
2. 2008 101
3. 2009 133
4. JUN 2010 85

= CONTOH KES PERKAHWINAN LUAR NEGERI TANPA KEBENARAN

Di antara pemohon pertama dengan pasangannya selaku pemohon kedua. Kedua-duanya warganegara Malaysia. Pasangan telah bernikah di Wilayah Songkhla, Thailand pada 3 November 2002 dengan menggunakan wali hakim. Alasan yang diberikan oleh pihak lelaki ialah kerana isteri pertamanya tidaksetuju dan prosedur permohonan poligami adalah sukar sedangkan beliau amat memerlukan zuriat kerana sehingga kini beliau belum dikurniakan zuriat.

Di antara pemohon pertama dengan pasangannya selaku pemohon kedua. Kedua-duanya adalah warganegara Malaysia. Pasangan telah bernikah di Wilayah Narathiwat, Thailand pada 6 Ogos 2003 dengan menggunakan wali hakim. Alasan yang diberikan oleh pihak lelaki ialah beliau ada masalah dengan isteri pertama yang ingkar dengan arahan suami dan sentiasa keluar tanpa izin suami. Bagi pihak perempuan beliau tidak mendapat tentangan keluarga dan memandangkan beliau seorang janda yang telah bercerai mati dengan bekas suaminya.


= PENUTUP

Setelah dilihat dan dibincangkan dapatlah diketahui bahawa perkahwinan itu sesuatu yang baik dan halal serta ianya adalah satu ikatan yang murni. Akan tetapi yang menjadi masalah dalam perkahwinan ialah wujudnya perkahwinan tanpa kebenaran ataupun kahwin lari.

Perkara ini boleh menyebabkan berlaku keruntuhan moral dan rumahtangga yang dibina. Di antara faktor-faktor berlakunya perkara ini ialah pihak-pihak merasakan prosedur yang telah dibuat menyusahkan dan lambat ini kerana setiap permohonan yang dibuat memerlukan sokongan ataupun persetujuan daripada pihak-pihak berkaitan seperti ibubapa, isteri, pihak mahkamah dan lain-lain dan mereka merasakan perkara ini menyukarkan mereka berkahwin di negeri ini. Selain itu, faktor perkahwinan tidak mendapat restu dan keizinan daripada ahli keluarga. Malahan, perkahwinan biasa ataupun poligami tidak mendapat keizinan daripada wali dan juga isteri sedia ada. Faktor terlanjur kedua-dua pihak iaitu bakal suami dan isteri juga menjadi salah satu punca berlakunya perkahwinan tanpa kebenaran.

Malahan, dengan adanya perkahwinan tanpa kebenaran akan mewujudkan kesan-kesan kepada pihak-pihak. Di antara kesan-kesan yang wujud ialah pihak-pihak yang melakukan kesalahan ini akan dikenakan tindakan undang-undang kerana telah melanggar peruntukan yang ditetapkan di dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri-negeri, anak yang dilahirkan tidak dapat didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN.) dan sekiranya berlaku kematian suami, perkara ini akan menimbulkan masalah pada isteri kedua dari segi pembahagian harta pusaka, status anak dan juga status isteri tersebut. Malahan akan menimbulkan masalah rumahtangga di kemudian hari serta ianya boleh menimbulkan keraguan terhadap perkahwinan tersebut samada pernikahan yang dijalankan sah ataupun tidak.

= RUJUKAN

Amir Husin & Siti Safawati Binti Mohd Sharif. 2006. Jurnal Syariah.

Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor).2003.

Mohd Nasran Mohamad et.al. 2008. Perkahwinan Luar Negara Tanpa Kebenaran Di Selatan Thailand. FPI UKM.

Mustofa al-Khin, Mustafa al-Bugho & Ali Asy-Syarbaji. 2005. Kitab Fikah Mazhab Syafie. Jld 4. Pustaka Salam Sdn. Bhd : Kuala Lumpur.

Najibah Mohd Zin et al. 2007. Undang-undang Keluarga (Islam). Dewan Bahasa Dan Pustaka:Kuala Lumpur.

Temubual. Masroha Duki.2010. Pegawai Penyelidik Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam Selangor.

Selasa, 26 Oktober 2010

Alam Rumahtangga | iluvislam.com + discover the beauty of islam

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci bersih), maka kedua ibu bapanyalah (yang akan membentuk anak-anak itu) menjadi Yahudi, Nasrani atau pun Majusi".


Setiap orang mempunyai pandangan tersendiri tentang institusi perkahwinan.

Hal ini sudah semestinya mempunyai perkaitan rapat dengan istilah kekeluargaan.

Deskripsi perkahwinan secara umumnya adalah berkenaan penyatuan antara dua jiwa dalam meneruskan kehidupan yang berperanan untuk melahirkan pewaris di masa hadapan.

Dewasa ini, sering kedengaran tentang isu keruntuhan rumahtangga sama ada ia melibatkan golongan dikenali (public figure) mahupun di kalangan masyarakat setempat di sekeliling kita.

Perkataan 'kahwin' merujuk kepada ikatan atau pertalian keluarga yang dijalinkan melalui upacara tertentu dengan melibatkan dua pihak keluarga.

Namun pemahaman tentang institusi kekeluargaan itu sendiri tidak diambil berat menyebabkan pertelingkahan sehingga terputusnya jalinan atau pertalian keluarga.

Pelbagai ragam dapat kita lihat.

Secara umumnya perkahwinan bermakna pasangan suami dan isteri yang tinggal bersama-sama di bawah satu bumbung dan bersedia untuk berkongsi segala suka-duka yang bakal ditempuhi dalam meneruskan kehidupan.

Namun yang demikian, ada juga pasangan yang sudah berkahwin itu tidak dapat bersama atas masalah-masalah tertentu.

Perihal perkahwinan ini sebenarnya menuntut kita untuk mendalami serta memahami tentang kesungguhan dan kesediaan dalam membina sebuah institusi kekeluargaan.

Pengetahuan dari segi agama dan kemasyarakatan adalah amat penting sebelum sesebuah institusi perkahwinan itu dapat diteruskan dengan berkesan.

Persediaan dari segi rohaniah dan lahiriah adalah perkara asas yang perlu dititikberatkan sebelum seseorang individu itu memulakan institusi keluarga.

Persediaan rohaniah bermaksud pengetahuan tentang hukum-hakam dalam rumahtangga.

Seharusnya setiap individu itu perlu mengetahui dan memahami segenap perkara yang dituntut dan yang ditegah bagi memastikan institusi perkahwinan yang dibina itu terus teguh.

Jika pegangan agama itu kuat, insya-Allah institusi perkahwinan juga akan lebih utuh dan secara tidak langsung mentaliti tentang istilah sebenar dalam membina institusi perkahwinan juga akan lebih difahami.

Berbicara tentang kesediaan dari aspek lahiriah, kecergasan fizikal adalah perkara yang perlu diutamakan.

Kecergasan dari segi fizikal secara umumnya dapat menjamin dari segi kewangan.

Dalam institusi perkahwinan, isu berkaitan kewangan juga adalah suatu perkara yang menjadi faktor dalam aspek pengukuhan.

Dengan kewangan yang kukuh sesebuah institusi kekeluargaan yang dibina itu juga bakal menemui kebahagiaan.

Namun harus diingat, dalam memenuhi tuntutan ini, kita harus peka akan sumber pencarian kita itu diperoleh dari sumber yang benar dan halal.

Jangan terlalu leka dalam pencarian duniawi sehingga melupai hal-hal yang membawa keberkatan.

Mari kita renungi bersama.

Dalam membina sesebuah institusi keluarga yang diredhai, kita harus sedar bahawa kita sebenarnya menjalankan serta menunaikan satu kewajipan berupa amanah daripada Yang Maha Esa.

Pembentukan sesebuah institusi keluarga itu akan terus berkesinambungan dari generasi ke generasi.

Pendidikan tentang membina keluarga yang bahagia harus ditekankan dalam diri anak-anak yang bakal mewarisi perjalan kehidupan ini.

Di sini dapat kita lihat bahawa peranan ibubapa itu amat penting dalam mendidik zuriat kurniaan Ilahi agar mementingkan keutuhan dalam sesebuah institusi kekeluargaan.

Sekian.

"Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah S.W.T. telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka, maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah orang yang taat (kepada Allah S.W.T. dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suaminya tiada bersamanya, dengan pemeliharaan Allah dan pertolongannya..." - Surah An-Nisa' ayat 34

Syurga bagi isteri itu terletak di bawah telapak kaki suami.

"Tanpa Keberanian, Mimpi Takkan Bermakna".

"Masa depan yang cerah berdasarkan pada masa lalu yang telah dilupakan. Kamu tidak dapat melangkah dengan baik dalam kehidupan kamu sampai kamu melupakan kegagalan kamu dan rasa sakit hati."

Tips Bangun Subuh | iluvislam.com + discover the beauty of islam

Ramai di kalangan kita yang mengalami kesukaran untuk bangun awal pagi dan mendirikan solat Subuh di awal waktu.

Masalah ini terjadi atas beberapa sebab; antaranya ia telah menjadi tabiat, tidur lewat dan perasaan malas.

Berikut adalah beberapa panduan atau tips yang boleh dicuba oleh kita bagi mengatasi masalah ini :

1. Tidur awal; sekitar 10 atau 11 malam supaya tidur anda mencukupi.

2. Ambil wuduk sebelum tidur.

3. Tanam azam di dalam diri untuk bangun awal.

4. Baca surah Al-Mulk, tiga Qul dan doa sebelum tidur.

5. Pasangkan niat; 'Aku nak bangun pukul sekian kerana Allah.'

6. Maafkan semua orang sebelum tidur.

7. Elakkan makan makanan berat sebelum tidur.

8. Elak diri dari melakukan maksiat sebelum tidur.

9. Gunakan jam loceng atau alarm di telefon bimbit untuk membantu anda. Pastikan ia berkualiti.

10. Minta tolong orang lain seperti ibu atau rakan untuk mengejutkan anda. Mungkin minta mereka simbahkan air atau urut ibu jari anda sekiranya masih sukar untuk bangun!

Panduan di atas memerlukan sedikit latihan. Namun insyaAllah, Allah pasti tolong kita sekiranya kita MAHU.

www.iluvislam.com

Isnin, 25 Oktober 2010

IJTIHAD

PENDAHULUAN

Segala puji bagi Allah SWT dan Selawat serta salam ke atas junjungan besar kita iaitu Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat serta seluruh umat Islam. Bersyukur juga ke hadrat Ilahi kerana dengan izinNya dapat kami menyediakan kertas kerja ini yang membincangkan tentang ijtihad.

Ijtihad merupakan salah satu cara perolehan hukum Syarak dan ia merupakan nadi kepada persoalan fiqh khususnya persoalan yang tiada di dalam nas. Ijtihad adalah elemen yang sangat penting dalam persoalan fiqh kerana dari semasa ke semasa, persoalan berkaitan fiqh sentiasa berkembang dengan pertambahan bilangan manusia ditambah pula dengan kehidupan masyarakat yang semakin moden pada masa kini.

Oleh itu, ijtihad amat diperlukan pada masa kini kerana munculnya pelbagai masalah dan persoalan- persoalan yang baru yang tiada dalam nas dan tidak berlaku pada zaman Rasulullah SAW. Perkembangan fiqh membuka ruang kepada ijtihad dan memerlukan para mufti bagi mengeluarkan fatwa kepada masyarakat dalam permasalahan yang berkaitan dengan perkara- perkara baru.
Justeru itu, perbincangan tentang ijtihad amat penting kerana setiap hari masyarakat akan bertanya permasalahan baru yang mereka tidak tahu kepada mufti atau Majlis Fatwa. Oleh itu, kami bincangkan persolan ijtihad di dalam kertas kerja ini.

= DEFINISI IJTIHAD

Ijtihad dari sudut bahasa membawa beberapa erti iaitu:

i)Ijtihad berasal dari perkataan ijtahada ((اجتهد yang bermaksud menggunakan tenaga sepenuhnya.

ii)Bersungguh-sungguh dalam sesuatu perbuatan atau pekerjaan.

iii)Menggunakan segala kemampuan.

Ijtihad dari sudut istilah pula membawa kepada beberapa maksud seperti :

i)Menurut pengertian ulama usul adalah mencurahkan sepenuh tenaga dan sebanyak mungkin untuk mendapatkan hukum syarak yang berbentuk amali dengan cara istinbat daripada dalil-dalil dan hukum syarak.

ii)Mencurahkan segala tenaga untuk mendapatkan hukum syarak daripada sesuatu dalil yang terperinci atau tafsili dari dalil-dalil syariat.

iii)Usaha seorang mujtahid dengan mengerah segala kemampuan yang ada untuk memperoleh hukum syarak yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf melalui cara yang ditetapkan oleh syarak.

Berdasarkan pengertian tersebut dapatlah dirumuskan bahawa ijtihad yang dimaksudkan di sini adalah mencurahkan segala akal fikiran dan kesungguhan untuk mendapatkan sesuatu hukum syarak mengenai sesuatu masalah dengan jalan istinbat daripada al-Quran dan Hadis. Lapangan ijtihad pula mestilah kejadian yang tiada nas syarak yang jelas hukumnya. Manakala mujtahid pula ialah ahli fekah yang mencurahkan segala kesungguhan dan ketekunan untuk mendapatkan hukum syarak daripada sesuatu dalil terperinci atau tafsili dari dalil-dalil syariat.


= HUKUM BERIJTIHAD DAN SEJARAHNYA

Ulama bersepakat mengatakan harus ijtihad dalam mengeluarkan sesuatu hukum apabila cukup syarat tertentu. Berkenaan hukum harus dan sejarah bermulanya ijtihad ulama berdasarkan dalil hadis Muaz Bin Jabal ketika beliau di utuskan menjadi wakil di Yaman.

ما روى أن النبى (ص) قال لمعاز : بما تحكم ؟ قال : بكتاب الله تعالى. قال : فان لم تجد ؟
قال : بسنة رسول الله (ص). قال : فان لم تجد ؟ قال : أجتهد رأيى ولا آلو. فقال النبي عليه السلام :
الحمدلله الذى وفق رسول الله (ص) لما يحبه ويرضاه رسول الله..
Maksudnya :
Bagaimanakah nanti engkau akan memutuskan hukum apabila dibawa kepada engkau sesuatu permasalahan? Muaz menjawab “saya akan memutuskan hukum berdasarkan Kitab Allah” Nabi bertanya lagi, “Sekiranya kamu tidak dapati dalam Kitab Allah?” Jawab Muaz “Saya akan memutuskan berdasarkan sunnah Rasul-Nya” Tanya Nabi lagi “Sekiranya engkau tidak menemuinya dalam Sunnah?” Muaz menjawab “Saya akan berijtihad dan saya tidak akan mengabaikan perkara tersebut. Nabi pun menepuk dada sambil bersabda “Segala puji bagi Allah yang telah memberi taufiq kepada utusan Rasulullah ke arah sesuatu yang diredhai oleh Rasullullah. (Ahmad dan Abu Daud)

Melalui ijtihad, hukum Islam akan terus berkembang, sesuai dengan tempat, masa dan keadaan. Selain itu, dengan ijtihad juga terbentuknya qiyas dan ijmak ulama. Antara dalil ijtihad diharuskan dalam Islam adalah :
فأعتبروا يأولى الأبصر (Surah al-Hasyr:2)
Maksudnya:
Maka insaflah dan ambilah pelajaran (daripada peristiwa itu) Wahai orang-orang yang berakal fikiran serta celik mata hatinya.
Sabda Nabi :

اذا اجتهد الحاكم وأصاب فله أجران واذا اجتهد فأخطأ فله أجر واحد
Maksudnya :
Apabila seseorang hakim menjatuhkan hukuman lalu ia berijtihad dan didapati yang ia ijtihadkan itu benar, maka ia mendapat dua pahala, sekiranya pula ia menjatuhkan hukuman dan berijtihad serta salah, maka ia mendapat satu pahala. (Bukhari dan Muslim)

= PERINGKAT HUKUM BERIJTIHAD

Berdasarkan tuntutan dan dalil syarak yang menggalakkan seseorang berijtihad, namun ulamak membahagikan pula tuntutan ijtihad itu kepada jenis dan bahagian berikut:

- Ijtihad Fardhu Ain

Ijtihad fardhu ain ialah ijtihad yang wajib dilakukan oleh seseorang atau individu yang mempunyai kemampuan dan kelayakan berijtihad serta tidak ada orang lain lagi selain dirinya untuk menyelesaikan masalah dan perkara yang berkaitan dengan masalah hukum, sama ada yang diperlukan untuk menyelesaikan masalah dirinya sendiri mahu pun masyarakat.

Justeru itu ijtihad peringkat ini dapat dibahagikan pula kepada dua bahagian :

i)Ijtihad yang dilakukan oleh seseorang mujtahid terhadap sesuatu hukum dan permasalahan yang ditanya atau dalam bentuk menjelaskan pertanyaan yang diajukan oleh masyarakat atau individu lain dan tidak ada orang lain yang layak berijtihad kecuali dirinya sahaja. Maka ketika itu, berijtihad adalah fardhu ain terhadap dirinya.

ii)Ijtihad yang dilakukan oleh seseorang mujtahid dalam sesuatu masalah hukum untuk dirinya sendiri atau tanpa sebarang pertanyaan oleh masyarakat dan individu lain. Antara lain juga ia adalah layak berijtihad dan digelar mujtahid, maka dalam keadaan itu berijtihad untuk dirinya adalah fardhu ain.

- Ijtihad Fardhu Kifayah

Ijtihad fardhu kifayah pula ialah ijtihad yang dilakukan oleh seseorang yang mempunyai kelayakan untuk berijtihad, namun begitu selain dirinya masih ada lagi orang yang berkelayakan untuk berijtihad bagi menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan hukum. Oleh itu, waktu itu berijtihad adalah menjadi fardhu kifayah terhadap dirinya dan apabila dia yakin ada orang lain yang masih mampu menyelesaikan masalah hukum.

Oleh itu, ijtihad bahagian ini juga dapat dibahagikan kepada dua bahagian:

i)Seseorang mujtahid yang diajukan atau ditanya tentang hukum sesuatu permasalahn dan masih ada orang lain atau mujtahid lain yang mampu berijtihad sepertinya. Walaupun begitu, sekiranya ia meninggalkan ijtihad itu atau tidak menyelesaikan masalah itu tidak ada orang yang akan berijtihad. Maka waktu itu berijtihad untuk mewakili mujtahid lain adalah fardhu kifayah baginya.

ii)Seseorang mujtahid yang ragu-ragu dengan ijtihad mujtahid lain dan ia cukup syarat sebagai mujtahid, maka ketika itu menjadi fardhu kifayah baginya untuk berijtihad terhadap hukum dan permasalahan yang diraguinya itu.

- Ijtihad Sunat

Ijtihad sunat ialah ijtihad untuk menyelesaikan masalah hukum hakam yang mana ijtihad itu dilakukan oleh seseorang yang memenuhi syarat berijtihad untuk menyelesaikan terhadap perkara dan masalah yang akan berlaku.

Ijtihad sunat ini juga dapat dibahagikan kepada dua bahagian:
i)Seseorang mujtahid yang berijtihad dalam sesuatu masalah yang ditanya oleh individu atau masyarakat mengenai hukumnya, namun perkara dan permasalahan yang ditanya itu belum berlaku dan tidak wujud ketika itu.

ii)Seseorang mujtahid yang berijtihad tentang sesuatu masalah dan hukum yang belum berlaku atau tidak berlaku yang mana ia berijtihad atas dasar inisiatif dirinya dan semata-mata berijtihad tanpa apa-apa faktor atau sebab.

- Ijtihad Haram

Ijtihad haram pula ialah segala ijtihad yang dilakukan oleh seseorang dengan cara yang bercanggah atau tidak memenuhi syarat mujtahid serta bercanggah dengan nas.

= MARTABAT IJTIHAD

Berdasarkan ijtihad ulama dan mujtahid tersebut, dapatlah dibahagikan pula kepada empat peringkat tertentu, iaitu :

1. Ijtihad Mutlak
Ijtihad mutlak ini merupakan ijtihad peringkat pertama dan paling tinggi. Ia membawa maksud ijtihad yang dilakukan oleh seseorang mujtahid dengan berasaskan sumber dan dalil hukum secara langsung yang asal iaitu al- Quran dan hadis. Mereka kemudiannya membawa dalil hukum furuc melalui : Istihsan, Masalih Mursalah serta Sadd al- Zara’i.

Sebagai kesimpulannya, ijtihad atau mujtahid peringkat ini menggunakan segala pendalilan dan istinbat hukum secara bebas tanpa berpegang kepada mana- mana iman. Mereka contohnya : Para sahabat seperti Abu Bakar dan Umar, Tabi’in seperti Said bin Musayyab dan Ibrahim al- Nakha’i serta fuqaha mazhab seperti Imam Malik bin Anas, Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie.

2. Ijtihad Muntasib
Ijtihad Muntasib merupakan ijtihad peringkat kedua. Ia bermaksud ijtihad yang dilakukan oleh seseorang dengan berasaskan kepada pendapat Imam mazhab tertentu. Mujtahid peringkat ini hanya mengikuti Imam mazhab mereka dalam perkara usul dan pokok sahaja. Manakala dalam perkara furuc atau pecahan, mereka berselisih dengan Imam yang mereka ikuti. Contohnya ijtihad Abu Yusuf dan Muhammad bin al- Hassan daripada pengikut Imam hanafi.

3. Ijtihad Dalam Mazhab
Ijtihad peringkat ini merupakan ijtihad dan mujtahid martabat ketiga, iaitu ijtihad yang dilakukan yang berasaskan pendapat Imam mazhab yang mereka ikuti perkara asal furuc. Dalam keadaan lain, ijtihad dalam mazhab ini, mujtahid mengetahui dan menemui dalil yang menjadi asas pegangan Imam mazhab dan mereka berkemampuan untuk memilih dan mentakhrijkan atau mengeluarkan pendapat-pendapat Imam mereka yang berbagai jenis. Dalam masalah yang baru lahir mereka akan berijtihad berdasarkan metod Imam mereka.

4. Ijtihad Dalam Fatwa
Ijtihad dalam fatwa pula ialah ijtihad yang diambil daripada pendapat- pendapat Imam mazhab mana- mana pendapat yang kuat atau rajih dan diambil untuk dijadikan fatwa. Mereka juga mencari dan menilai mana- mana pendapat Ashab Imam Mazhab yang berbagai dan dipilih yang paling sahih riwayatnya, yang paling kuat atau paling hampir kepada sahih untuk dijadikan fatwa.

Untuk itu, mujtahid dan ijtihad dalam mazhab ini melakukan dua peranan utama : iaitu takhrij atau keluarkan dalil yang digunakan oleh Ashab Imam Mazhab serta tarjih atau tentukan kedudukan dalil yang digunakan. Justeru itu, mereka dikira bertindak sebagai murajjih terhadap pendapat Imamnya yang berbagai-bagai dan berbeza sebelum mengeluarkan fatwa.

= HUKUM YANG BOLEH DIIJTIHAD

Ijtihad yang harus dilakukan pada perkara tertentu sahaja, antaranya ialah:

i)Hal dan perkara yang tidak disebut hukumnya dalam nas al-Quran, al-Sunnah dan ijmak ulama. Untuk itu, ijtihad yang dilakukan padanya ialah dengan mengkaji untuk mengetahui hukumnya melalui al- qiyas, masalih al- mursalah, uruf, istishab, istihsan dan lainnya.

Oleh itu ulamak mujtahid tidak mempunyai kata sepakat dalam membuat dalil dan hujah dengan dalil-dalil tersebut dan berlakulah perselisihan ijtihad. Contohnya ijtihad Umar supaya Abu Bakar mengumpulkan al Quran. Pada mulanya Abu Bakar tidak setuju, namun selepas itu ia bersetuju.

ii)Terhadap hal dan kejadian yang terdapat hukumnya dalam al-Quran atau Hadis Mutawatir, Namun dilalah kedua-dua nas tersebut terhadap hukum adalah zanni. Untuk itu, mujtahid mestilah berusaha untuk mencari maksud yang dikehendaki oleh syarak daripada nas tersebut. Selain itu. terdapat dalam nas al-Quran dan hadis dalam bentuk mutlak. Oleh itu, untuk menetapkan hukum daripada lafaz nas tersebut, suatu kajian harus dilakukan di kalangan mujtahid.

Sebagaimana contohnya ijtihad terhadap firman Allah SWT:
والمطلقث يتربصن بأنفسهن ثلثة قروء (Al Baqarah : 228)
Maksudnya :
Dan isteri- isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (daripada berkahwin) selama tiga kali suci (daripada haid)

Nas al Quran dan sabit lafaz quru’ itu adalah qat’i, tetapi dilalah hukum daripada maknanya adalah zanni. Untuk itu juga para mujtahid melakukan ijtihad untuk mendapat maksud yang dikehendaki oleh syarak daripada lafaz quru’ itu. Hasil daripada ijtihad ulamak Hanafi, lafaz quru’ membawa erti haid. Untuk itu menurut ulama Hanafi perempuan yang diceraikan suaminya mestilah beriddah selama 3 kali haid.

Manakala hasil ijtihad ulama Syafi’e pula, lafaz quru’ ialah bererti suci. Untuk itu wajib ke atas perempuan yang diceraikan oleh suaminya beriddah selama tiga kali suci.

iii)Kejadian yang terdapat hukumnya dalam nas yang sabit secara zanni, tetapi dilalah kepada maknanya adalah sabit secara qat’i. Untuk itu bidang ijtihad pada nas tersebut ialah dengan mengkaji cara-cara dalil itu sampai dan diriwayat. Iaitu dari segi kedudukan perawi samada thiqah, adil dan sebagainya. Hal tersebut merupakan perkara yang berlainan di antara ahli mujtahid dalam menentukannya.

Sabda Nabi s.a.w.
فى خمس من الابل شاة
Maksudnya :
Pada setiap lima ekor unta diwajibkan zakat seekor kambing. (Ibn Majah, Tarmizi dan Malik)

Nas tersebut menunjukkan kepada maknanya adalah qat’i. Kerana lafaz (syatun) ialah lafaz khas, tetapi sabitnya adalah zanni kerana hadis tersebut tidak bertaraf mutawatir.

iv)Kejadian dan perkara yang terdapat hukumnya dalam nas yang disabitkan dengan zanni, demikian juga dilalahanya sabit dengan zanni juga. Oleh itu, harus bagi mujtahid berijtihad dengan melihat lafaz hadis dan kedudukan rawi dan sanad dan kemudian berusaha untuk mengetahui maksud yang dikehendaki oleh syarak daripada ertinya yang berbagai-bagai itu.

Contohnya terhadap hadis yang diriwayatkan oleh al Jama’ah:

لا صلاة لمن لم يقرأ بفاتحة الكتاب
Maksudnya :
Tidak sah sembahyang sesiapa yang tidak membaca al- fatihah.

Hadis tersebut sabit secara zanni, demikian juga dilalahnya, kerana ia bukanlah diriwayatkan dengan cara mutawatir dan lafaznya juga boleh memberi dua makna. Pertama: Menafikan kesempurnaan sembahyang kepada mereka yang tidak membacanya.

Hasil ijtihad ulama, maka ulama Syafi’e mengatakan tidak sah sembahyang tanpa membaca al-fatihah. Hasil ijtihad ulama Hanafi pula tidak sempurna sembahyang yang tidak dibaca al-fatihah. Boleh berijtihad tentang hukum yang tidak mempunyai nas dan ijmak mengenainya.

= HUKUM YANG TIDAK BOLEH DIIJTIHAD

Antara hukum yang tidak harus diijtihadkan ialah:
i.Hukum yang terdapat dalam nas yang sabit secara pasti dan dilalahnya juga adalah qat’i. Contohnya nas yang menyatakan hukuman hudud terhadap penuduh zina. Iaitu terhadap wanita yang muhasanah.

Sebagaiman firman Allah SWT:
والذين يرمون المحصنت ثم لم يأتوا باربعة شهداء فاجلدوهم ثمنين جلدة (An Nur : 4 )
Maksudnya :
Dan orang- orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan- perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat.

Nas tersebut di atas adalah sabit secara qat’i, dan lafaz thamanina, iaitu (80) dalam ayat tersebut adalah khas. Yang hanya menunjukkan satu makna sahaja. Iaitu makna yang tertentu, 80 kali dan tidak mungkin ia menunjukkan makna lain lagi. Justeru itu, ayat dan nas tersebut tidak ada ruang untuk berijtihad.

ii.Tidak boleh berijtihad terhadap hukum yang telah ditafsirkan oleh Rasulullah s.a.w dan tidak mungkin berlaku ta’wil padanya.

Contohnya hukum yang diambil daripada firman Allah SWT:
وأقيموا الصلوة وءاتوا الزكوة ( Al Baqarah : 77 )
Maksudnya :
Dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat.

iii.Seterusnya tidak boleh ijtihad terhadap hadis mutawatir yang mentafsirkan lafaz yang mujmal. Kerana ia adalah sabit dengan qat’i dan maksudnya adalah jelas dan tidak mungkin menunjukkan berbagai makna.

iv.Tidak boleh ijtihad juga dalam hukum keseksaan dan kifarat yang ditetapkan kadarnya oleh syarak, seperti kifarat zihar dan sumpah. Sebagaiman firman Allah SWT tentang zihar.

والذين يظهرون من نساءهم ثم يعودون لما قالوا فتحرير رقبة من قبل أن يتماسا (Al Mujadalah : 3)
Maksudnya :
Dan orang- orang yang ziharkan isterinya, kemudian mereka berbalik daripada apa yang mereka ucapkan (bahawa isterinya itu haram kepadanya), maka hendaklah (suami itu) memerdekakan seorang hamba abdi sebelum mereka berdua (suami isteri) bercampur.

v)Tidak boleh ijtihad juga terhadap hukum agama yang mesti diketahui oleh mukallaf, seperti beriman.

Firman Allah SWT:
وأطيعوا الله والرسول ( ( Al Imran :132
Maksudnya :
Dan taatlah kamu kepada Allah dan rasul- Nya

vi)Hukum dan kejadian yang tidak ada nas menunjukkan hukumnya, sama ada nas qat’i atau zanni, jelas atau tidak jelas, namun telah berlaku ijmak atau pernah berlaku ijmak ulama mengenai hukum tersebut. Maka hukum seperti ini tidak boleh diijtihad lagi. Contohnya: Sepakat jumhur ulama tentang terbatalnya perkahwinan antara wanita muslimah dengan lelaki kafir.

Tidak boleh ijtihad tentang hukum- hukum syarak yang telah dimaklumi. Contohnya: Wajib sembahyang, puasa, zakat, pengharaman zina dan lainnya.

= KEHUJAHAN IJTIHAD

Ijtihad merupakan salah satu daripada sumber hukum yang dilakukan oleh mujtahid, apabila tidak terdapat hukum dalam nas al-Quran atau Hadis atau ijmak.

Walaubagaimanapun ahli ijtihad berlainan pendapat dan berbeza dalam menentukan hukum, keadaan itu berlaku kerana berlainan pemikiran dan suasana. Ahli mujtahid yang betul dalam ijthadnya mendapat dua ganjaran, manakala mujtahid yang salah dalam ijtihadnya dimaafkan dan mendapat satu ganjaran sahaja. Untuk itu ijtihad dikira sebagai hujah dalam hukum.

Sabda Nabi s.a.w :
اذا اجتهد الحاكم وأصاب فله أجران وإذا أجتهد فأخطا فله أجر واجد
Maksudnya:
Apabila seseorang hakim berijtihad dan ijtihadnya itu betul, maka ia mendapat dua ganjaran. Andaikata ijtihadnya itu salah, maka ia mendapat satu ganjaran. (Bukhari Dan Muslim)

Dalil lain tentang kehujahan ijtihad ialah di mana Saiyidina Umar dan Abu Bakar pernah berijtihad. Contohnya dalam masalah pusaka, iaitu al-kalalah Abu Bakar ada berijtihad. Manakala Saiyidina Umar pula berijtihad dalam masalah yang berkaitan dengan mas kahwin wanita.

Dapat dirumuskan di sini ialah ulama berpendapat setiap yang diijtihadkan itu adalah benar. Sekiranya ada dan berlaku pertentangan pendapat di antara mujtahid, muqallid atau orang yang mengikut itu boleh memilih pendapat yang dirasakan lebih tepat untuk diikutinya.

= IJTIHAD ULAMA MAZHAB DAN LAHIR GERAKAN IJTIHAD

Gerakan ijtihad berlaku secara aktif oleh ulama mujtahid seperti Imam Malik, Imam Abu Hanifah serta Imam Syafie pada abad pertama, kedua dan ketiga hijrah. Namun begitu, gerakan tersebut menjadi malap dan berhenti pada abad keempat hijrah, apabila pemerintah dan ulama lebih menekankan kepada gerakan taklid pula lantaran menilai keadaan semasa supaya tidak timbul perselisihan dan pertikaian antara masyarakat dan orang awam yang jahil khususnya.

Pada abad keempat gerakan ijtihad menjadi malap dan terhenti, namun ada sesetengah ulama masih bersikap terbuka dan menolak taklid, khasnya dalam perkara furu’ dan tidak berpegang dengan satu mazhab sahaja. Contohnya al-Zaamaksyari. Namun pun begitu suara ulama tersebut tidak begitu terbuka umum.

Sesetengah ulama tidak mahu terikat dengan amalan taklid, kerana pada umumnya dasar taklid dalam perundangan ada baik dan ada buruknya. Antara bahayanya ialah:

a)Sifat fanatik kepada sesuatu mazhab tertentu menyebabkan mereka mengecam dan memburuk-burukkan mazhab lain.

b)Mematikan semangat mendalami ilmu serta tiada perkembangan pesat dalam mencari ilmu.

c)Dalam sesetengah perkara furu’, ahli masyarakat dan politik menjadikannya sebagai alat politik dan kepentingan mereka.

Menilai keburukan dan keadaan yang tidak baik tersebut, lahirlah ulamak dan pemikir yang meneliti kembali amalan taklid tersebut untuk dinilai dan dikaji mengikut sumber utama, iaitu al-Quran dan hadis serta membuka ruang kepada perkara yang diharuskan perselisihan pendapat dan perkara yang tidak diharuskan untuk berbuat demikian.

Seruan secara lantang dan terbuka kepada kembali berijtihad dipelopori oleh Ibn Taimiyyah dan muridnya Ibn Qayyim al-Jauziyah. Walaupun gerakan yang dibuat oleh Ibn Taimiyyah berlangsung ketika amalan taklid begitu menebal dalam masyarakat, namun sedikit sebanyak dengan usaha beliau dan anak muridnya itu dapat menarik kesedaran masyarakat dan mereka tidak terlalu fanatik terhadap sesuatu mazhab.

Antara kesan positif yang lahir selepas seruan ijtihad itu ialah lahirnya ulama yang menulis buku yang menyatakan lapangan yang menjadi sepakat antara ulama pengasas mazhab-mazhab seperti al-Sya’raani yang menulis dalam kitabnya al-Mizan al-Kubra, menyatakan tentang sumber pengambilan yang sama antara mazhab-mazhab tersebut.

Gerakan ijtihad seterusnya dikembangkan dan dibawa pula oleh Muhammad bin Abdul Wahid yang telah mendapat sokongan Raja Abdul aziz al-Sa’ud di Hijaz. Seterusnya lagi gerakan itu muncul juga di Mesir yang dipelopori oleh Syeikh Muhammad Abduh dan muridnya Rasyid Redha.

Kesan perkembangan dan kelahiran tokoh baru itu telah memberi ruang yang baik kepada umat Islam, walaupun sesebuah negara telah menetapkan sesebuah aliran mazhab di negara mereka, namun mazhab lain juga dapat diterima dan digunakan dalam pelaksanaan syariat untuk menyelesaikan masalah dan dalam perkara yang dapat member kemaslahatan kepada masyarakat dan umat Islam.

Untuk itu, ijtihad merupakan perkara penting di dalam pembinaan hukum. Iaitu dengan cara istinbat hukum daripada al-Quran dan hadis. Ijtihad itu sentiasa berkembang mengikut kesesuaian masa, keadaan dan tempat. Oleh itu, ijtihad merupakan suatu kehujahan dalam pembinaan hukum kerana ijmak juga berdasarkan ijtihad dan ijtihad itu sendiri diharuskan oleh syarak.

= SYARAT DAN CARA BERIJTIHAD

Setiap bidang ilmu dan pekerjaan yang memerlukan kelayakan tertentu tidak akan tercapai kecuali disempurnakan syarat yang diperlukan. Begitulah ijtihad dalam syariat ini, sewajarnya dipenuhi segala syarat yang ditentukan supaya melayakkan seseorang itu ke martabat semua ini.

Martabat ijtihad suatu kedudukan teristimewa dalam agama, kerana orang yang menduduki tempat ini mestilah seorang yang alim lagi faqih yang dijadikan rujukan dalam urusan fiqh.

Untuk berijtihad, seseorang mujtahid itu mestilah mengikuti cara tertentu,iaitu:
a.Mestilah terlebih dahulu meneliti nas yang terkandung dalam al-Quran, kemudian meneliti hadis mutawatir dan hadis Ahad dalam penetapan hukum dan menyelesaikan masalah yang dihadapinya.

b.Peringkat kedua sekiranya mujtahid tidak menemui nas yang menjelaskan hukum dalam al-Quran dan hadis, maka ia mestilah berpegang dan mengambil zahir hadis serta setiap yang dapat diambil daripada keduanya itu tentang apa sahaja yang dapat dijadikan pegangan yang berbentuk mantuq dan mafhumnya.

c.Sekiranya mujtahid tidak menemui hukum melalui jalan peringkat kedua, maka ia mestilah meneliti dan menilai segala perbuataan Nabi S.A.W. dan selepas itu taqrir Baginda: seterusnya beliau hendaklah berijtihad melalui jalan penetapan hukum secara qiyas berdasarkan ‘illah atau sebabnya.

d.Sekiranya dengan jalan dengan cara ketiga tersebut juga mujtahid tidak dapat menemui hukum yang dimaksudkan, maka ia mestilah pula berpegang dengan Bara’ah asliyyah (برأة اصلية).

e.Selain itu, apabila mujtahid itu menemui dua dalil atau nas yang bertentangan, maka beliau hendaklah terlebih dahulu mencari dan menilai serta melihat dalil itu dari sudut ia dapat diterima kedua-duanya sebagai dalil hukum. Ini kerana dengan berpegang kepada dua dalil itu lebih baik daripada meninggalkan salah satu daripadanya.

Walaupunbagaimanapun sekiranya mujtahid itu tidak mungkin dapat mencari dan tidak dapat dikumpulkan kedua dalil itu sebagai satu dalil hukum, maka mujtahid tersebut hendaklah mengeluarkan hukum melalui tarjih atau menguatkan terhadap salah satu daripada dua nas yang bertentangan itu.

= SYARAT-SYARAT ASASI

a.Mengetahui al-Quran al-Karim
Pengetahuan mengenai al-Quran merangkumi mengetahui selok belok bahasanya “khabar dan insya”, suruhan dan larangan tuntutan dan harapan mengetahui makna perkataan dalam penggunaan bahasa ‘uruf dan syarak sama ada perkataan itu berasingan atau kedudukannya dalam ayat dan tujuan penggunaan perkataan itu serta sejauh mana tercapainya tujuan itu dalam syarak.

Mengetahui juga bahagian perkataan mufrad dan jamaknya dari segi umum dan khusus mujmal mubaiyan mutlaq muqayad zahir khafiy dan mushtarak muawwal dan lain-lain. Mengetahui pengertian al-Quran secara mantuq dan mafhum dan pengertian terhadap maksud sesuatu anggapan samada secara terangan dan sindiran,serta mengetahui alasan-alasan yang mengetahui hukum serta kepentingannya yang dijadikan matlamat hukum-hukumnya. Mengetahui nasakh dan mansukh dan boleh juga dirujuk kepada kitab yang diakui sah dalam bidang itu.

b.Mengetahui al-Sunnah.
Al-Sunnah adalah sumber kedua dalam syariat ini dengan kedudukan di martabat ini mengetahuinya menjadi pasti dalam ijtihad. Mengetahui Sunnah ertinya mengetahui makna perkataan, mengetahui ilmu Mustalah al-hadith, susunan gaya bahasanya dan pengertian dari segi syarak dan sebagainya.

Jumlah hadis yang harus diketahui oleh para mujtahid ada yang mengatakan harus 3000 buah hadis. Ada pula yang mengatakan harus 1200 buah hadis. Menurut al-Syawkani harus mengetahui hadis-hadis yang ada dalam kitab-kitab yang enam dan lain-lain.Tidak disyaratakan menghafalnya. Tentang hadis selain mengetahui hadis sahih, hasan dan dhaifnya, harus juga mengetahui keadaan perawi-perawi hadis yang tercela dan yang tidak.

c.Mengetahui perkara yang diijmakkan.
Disyaratkan ini supaya tidak memberi fatwa berlawanan dengan ijmak, maksudnya bukanlah menghafal seluruh perkara yang diijmakkan tetapi cukuplah diketahui bahawa masalah yang dikaji dan fatwanya tidak bertentangan dengan keputusan ijmak.

d.Mengetahui ilmu Usul al-Fiqh.
Mensyaratkan mengetahui ilmu itu nyata sekali kerana ijtihad bergantung kepada memahami dalil-dalil syarak untuk mengeluarkan hukum dan mujtahid hendaklah berpengetahuan luas serta mendalam kerana ilmu ini adalah asas ijtihad. Kalaulah ia berkemampuan, maka senanglah merujuk setiap masalah yang dihadapi kepada usulnya, kalau tidak dia akan menghadapi kesukaran dan kesulitan.

e.Mengetahui bahasa Arab.
Syarat terpenting yang perlu dilengkapi oleh seseorang sebelum melakukan ijtihad, seluruh ulamak bersetuju sedemikian kerana inilah bahasa syariat. Al-Quran di turunkan dalam bahasa Arab dan Sunnah Rasul juga dalam bahasa Arab.

f.Mengetahui kaedah-kaedah am fiqh.
Pengetahuan ini besar faedahnya. Dengannya seseorang mujtahid boleh mengetahui fiqh sumbernya, hasilnya, kemahiran mengingat masalah-masalah fiqh dan mengadakan perbandingan serta mengeluarkan masalah-masalah baru sepanjang masa. Dari itu ada ulama mengatakan fiqh sebenarnya mengetahui persamaan dan pengimbasan.

g.Mengetahui matlamat syarak.
Ini adalah semangat perundangan Islam dan diisyaratkan ini supaya tidak menyeleweng daripada tujuan asalnya. Matlamat ini diasaskan kepada kepentingan kemanusiaan mengikut penilaian syarak dan justeru itulah diutuskan segala rasul-rasul.

Imam al-Shatibi menganggapkan mengetahui matlamat syarak sebagai syarat asas bagi seseorang yang melakukan ijtihad. Dengan itu barulah ijtihadnya menjadi sempurna. Dalam kitabnya al-Muwafaqat beliau menegaskan bahawa martabat ijtihad tercapai dengan dua perkara. Pertama memahami matlamat syarak iaitu memahami kepentingan hamba Allah dalam tiga peringkat daruriyyat, hajiyyat, tahsiniyat (perkara pasti, keperluan dan keperluan tambahan).

Kemudian mengetahui perkara lain yang menyempurnakan peringkat tadi. Pendeknya seluruh kaedah am dalam syarak berkhidmat untuk perkara-perkara disebutkan. Sekiranya seseorang itu faham segala matlamat syarak dan dihayati matlamat itu dalam setiap masalah fiqh dari mana-mana bab pun , maka orang itu telah mencapai sebab-sebab menduduki taraf khalifah kepada rasul di dunia ini dalam memberi pengajaran, fatwa, dan hukum-hukum sepertimana yang dikehendaki Allah. Keduanya kemampuannya melaksanakan tugas-tugas ijtihad kerana kemampuan itu memerlukan pengetahuan syariat dan matlamatnya.

= SYARAT-SYARAT KESEMPURNAAN

a.Mengetahui Ilmu Mantiq
Ilmu ini disebut-sebut oleh fuqaha sebagai “cara penerokaan”, dengan mengetahui syarat-syarat pembuktian dan sempadannya. Cara mengatur kata-kata supaya menghasilkan tujuan dan dapat menghasilkan maklumat baru melalui maklumat-maklumat yang sedia ada. Maka perlulah mujtahid mengetahui perkara tasawwurat,tasdiqat.Ilmu ini dulunya dikenali dengan “Ilmu al-Mizan” iaitu ilmu neraca.

Hubungan ilmu mantiq dengan ijtihad tidaklah melebihi perkara muqaddimat dan beberapa perbahasan seperti dilalah, bahagian-bahagian qiyas dan bentuknya, bagaimana mantiq adalah senjata yang paling berkesan dalam bidang perdebatan, kerana pendebat mestilah meletakkan hujahnya di atas asas yang kuat dan boleh mematahkan hujah lawan dengan mudahnya. Keperluan kepada mantiq untuk tujuan penyaluran hukum agak sedikit. Maka disyaratkan sekadar keperluan-keperluan itu sahaja.

b.Mengetahui dalil akal
Sesetengah ulama usul mensyaratkan supaya mujtahid mengetahui dalil akal iaitu “al-bara’ah al-asliyah” (kekosongan asal). Syarat ini dikenakan supaya mujtahid merujukkan sesuatu hal keadaan itu hingga mengetahui adanya dalil dari nas al-Quran dan al-Hadis atau qiyas.

c.Mengetahui Ilmu Kalam
Ulama berselisih pendapat mensyaratkan agar mengetahui ilmu Kalam. Golongan Muktazilah dan Qadariyah mensyaratkan supaya mujtahid mengetahuinya secara mendalam. Jumhur tidak mensyaratkan, malah ijtihad boleh dilakukan oleh seseorang Islam yang betul akidahnya, kerana ilmu al-kalam tidak berkaitan dengan peristiwa, perkaitan dengan perkara akidah sahaja. Kebenaran akidah boleh dicapai oleh orang awam tanpa memerlukan kajian mendalam.

d.Mengetahui masalah-masalah furuk (fiqh)
Jumhur ulama berpendapat tidak perlu disyaratkan, sebab kalau disyaratkan mengetahui perkara furuk akan menimbulkan “putaran”, kerana hukum masalah furuk akan dilahirkan oleh mujtahid setelah mencapai martabat ijtihad. Maka hukum bagi masalah itu terhenti kepada pencapaiannya, ijtihadnya pula terhenti kepada mengetahui masalah furuk.

Bagaimanapun ada baiknya mujtahid mengetahui masalah-masalah fiqh yang sering berlaku di kalangan orang ramai supaya ia dapat mengumpul gambaran secara am tentang perkara itu dan memudahkannya menjalankan urusan penting.

= SYARAT-SYARAT AM

a.Baligh
Orang yang belum baligh tidak dikira sempurna akalnya.Maka pendapatnya tidak diberi penilaian. Ibn Badran berkata pendapat yang menentang dari kanak-kanak tidak diambil kira dan tidak memberi sebarang kesan syarak, lagipun saksinya tidak diterima, kecuali riwayatnya.

b.Berakal
Disyaratkan mujtahid berakal. Ini adalah perkara biasa, kerana ijtihad tidak mungkin dilakukan oleh orang cacat akalnya.

Dimaksudkan dengan akal di sini ialah daya kemampuan pada diri seseorang untuk memahami perkara yang boleh diketahui. Ada pendapat mengatakan kefahaman itu sendiri samaada secara nazariyy (menggunakan tenaga akal) atau daruriyy (perkara pasti yang difahami tanpa berfikir.

c.Mempunyai daya kefahaman yang mendalam
Seseorang mujtahid mestilah mempunyai daya kefahaman dan pandangan tajam, pernah melahirkan buah fikiran dalam mengatasi masalah-masalah kemanusiaan dan mempunyai pengetahuan yang luas mengenai keadaan semasa. Tanpa keistimewaan ini, fikiran dan pengalaman hidup, seseorang itu tidak boleh menyatakan fatwanya untuk melayan keperluan segera atau akan datang.

d.Orang yang adil (bukan fasiq)
Seseorang yang menjadi mujtahid mestilah boleh dipercayai, beramanah,tidak bermudah-mudah dalam urusan agama,mempunyai sifat takwa,tidak terikut-ikut dengan runtutan hawa nafsu dan memberi jawapan mengikut pengetahuannya tentang syarak dengan jalan yang betul.

= TERBATALNYA IJTIHAD
Sesuatu ijtihad itu terbatal apabila mujtahid yang melakukan ijtihad terhadap hukum masalah berlaku untuk beramal dengannya, kemudian ternyata salah ijtihad tersebut, maka wajib mujtahid itu membatalkan hukum ijtihadnya itu dan melakukan ijtihad yang lain dan mestilah berpegang dan beramal dengan ijtihad baru dan kedua itu pula.

= IJTIHAD SEMASA

Keperluan masyarakat Islam pada hukum Islam semasa sentiasa wujud mengikut perubahan masa. Kegagalan memenuhi tuntutan ini, akan menyebabkan pengaruh hukum Islam akan menjadi pudar. Era pembangunan yang dialami oleh masyarakat Islam telah menimbulkan pelbagai persoalan yang baru dalam kehidupan dan persoalan ini perlu dijawab berasaskan kepada masyarakat yang ada pada sekarang. Oleh itu, sudah menjadi tanggungjawab kepada umat Islam seluruhnya untuk mencari jawapan kepada persoalan-persoalan baru yang bersesuaian dengan keadaan setempat tanpa membelakangkan asas-asas hukum-hukum fiqh sebagai kaedah pengistinbatan hukum syarak.

= Ijtihad Semasa Berkaitan Bidang Perubatan

- Pemindahan Organ

Pemindahan organ boleh didefinisikan sebagai mengganti organ yang gagal berfungsi dengan baik pada tubuh badan seseorang dengan organ baru daripada seseorang penderma, sama ada penderma itu masih hidup atau sudah mati.

Pandangan ulama tentang pemindahan organ terbahagi kepada dua golongan iaitu golongan yang mengharuskan dan tidak mengharuskan pemindahan organ. Golongan yang mengharuskan adalah sebahagian ulama Mazhab al-Syafie seperti al-Imam al-Nawawi, Iz al-Din Abd al-Salam, Qalyubiyy, dan Umayrah dan sebahagian ulama Mazhab Hanbali seperti Ibnu Qudamah mengharuskannya dalam keadaan seseorang yang berada dalam keadaan darurat atau terdesak.

Golongan kedua iaitu golongan yang tidak mengharuskan pemindahan organ ini adalah terdiri daripada kebanyakan ulama empat Mazhab iaitu Hanafi, Maliki, Syafi’i dan Hanbali. Mereka berpendapat tidak harus mengambil manfaat daripada mana-mana organ manusia kerana kehormatannya.

Ulama pada hari ini mengharuskan pemindahan organ manusia, berdasarkan firman Allah S.W.T iaitu :
إنما حرم عليكم الميتة والدم ولحم الخنزير ومآ أهل به لغير الله فمن اضطر غير باغ ولا عاد فلآ إثم عليه إن الله غفور رحيم (Al-Quran, al-Baqarah :173)
Maksudnya :
Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Firman Allah SWT :
فمن اضطر فى مخمصة غير متجانف لإثم فإن الله غفور رحيم (Al-Quran, al-Maidah :3)

Maksudnya :
Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda Yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Berdasarkan ayat di atas, ianya mengecualikan keadaan darurat daripada pengharaman mengambil benda-benda yang dinaskan. Dalam hal ini, seseorang pesakit yang memerlukan kepada pemindahan organ termasuk dalam golongan darurat.


- Syarat-Syarat Umum Pendermaan Dan Pemindahan Organ

Syarat-syarat tersebut boleh dihuraikan seperti berikut :
a)Kemudaratan yang hendak dihilangkan itu dapat dinilai secara pasti.

b)Kemudaratan yang dilakukan itu dapat dinilai kedudukannya.

c)Perbezaan antara kemudaratan yang hendak dihilangkan dan kemudaratan yang akan timbul akibat dari operasi pemindahan dapat dikesan dengan jelas dan pasti.

d)Kedua-dua kemudaratan ini tidak dapat dihilangkan sekaligus.

- Syarat-Syarat Khusus Pendermaan Dan Pemindahan Organ

Syarat-syarat khusus ini terbahagi kepada dua iaitu :
1)Syarat-Syarat Penderma Yang Masih Hidup

i)Syarat-syarat yang ditetapkan oleh fiqh dan undang-undang

a)Tidak harus kepada orang Islam menderma organnya kepada kafir harbi, orang yang murtad, penzina muhsan, perompak, pembunuh yang berhak menerima hukuman Qisas.

b)Penderma yakin organ yang didermakannya tidak digunakan untuk menjatuhkan kemuliaan manusia.

c)Penderma hendaklah seorang yang sempurna keahliannya ketika proses dan operasi pemindahan organ dilakukan.

d)Penderma menderma organnya secara sukarela.

e)Penderma telah mendapat pandangan dan nasihat daripada doktor pakar bahawa pemindahan yang akan dilakukannya tidak mendatangkan kemudaratan yang besar kepadanya.

f)Penderma hendaklah menyatakan dengan jelas persetujuannya untuk menderma, mengikut prosiding yang ditetapkan.

g)Penderma hendaklah berada di dalam keadaan sihat, begitu juga dengan organ yang hendak didermakan.

h)Penderma hendaklah mempunyai kelayakan umur untuk menderma mengikut undang-undang yang dipakai di negara tempat ia menderma organ.

i)Penderma membuat keputusan untuk menderma organnya dalam keadaan tenang dan selesa bukan dalam keadaan fikiran yang bercelaru.

j)Pendermaan organ yang dilakukan adalah satu-satunya jalan yang dapat menyelamatkan nyawa pesakit atau penerima organ.

2)Syarat-Syarat Penderma Yang Telah Meninggal

i)Syarat-syarat yang ditetapkan oleh fiqh dan undang-undang

a)Penderma benar-benar meninggal dunia.

b)Mendapat persetujuan dan keizinan si mati semasa hidupnya supaya organnya diambil setelah ia meninggal.

c)Mendapat persetujuan ahli keluarga jika si mati tidak menyatakan apa-apa sama ada boleh atau tidak organnya diambil selepas meninggal dunia.

d)Jika si mati tidak mempunyai waris, ia perlu mendapat persetujuan daripada pihak berkuasa.

e)Pengambilan organ si mati adalah satu-satunya cara yang boleh digunakan untuk menyelamatkan nyawa pesakit.

f)Pengambilan organ si mati disebabkan darurat.

g)Pengambilan organ si mati hendaklah dengan syarat tidak menyatakan sebarang bayaran atau pampasan.

= Bank Susu

Rabu, 26 jun 1996 - Akhbar Utusan Malaysia ada memaparkan tentang bank susu ibu yang di tubuhkan di Itali. Bank ini berpusat di hospital Anna Meyer Florence dan ia adalah satu-satunya bank susu ibu yang terdapat di Itali dan membantu menyelamatkan banyak nyawa setiap tahun. Melalui bank ini semua ibu boleh menderma susu mereka untuk kanak-kanak yang menerima rawatan di hospital itu.

- Kedudukan Bank Susu

Dalam Islam penubuhan bank susu ibu tidak dibincangkan dalam kitab fikah. Oleh itu penubuhan bank susu ini adalah ijtihad daripada para ulama yang ada pada masa kini. Ini kerana ia melibatkan kepentingan umat Islam seluruhnya. Terdapat juga ibu yang tidak bernasib baik kerana tidak mempunyai air susunya sendiri untuk menyusukan bayinya yang baru lahir. Keadaan ini menyebabkannya menggunakan susu tiruan daripada binatang ternakan seperti lembu, sedangkan penggunaan susu tiruan tidaklah sebaik susu ibu yang sememangnya di ketahui semua dan juga diperakui oleh pakar-pakar perubatan. Ini berdasarkan kajian yang telah dibuat dan didapati bahawa:

i)Bayi yang minum susu tiruan kerap mengalami gastreoenteris atau cirit birit dengan kadar yang tinggi yang ia jarang ditemui pada bayi yang meminum susu ibu.

ii)Susu lembu mengandungi banyak komposisi yang amat berbeza dengan susu ibu. Susu lembu mengandungi protein yang tinggi dan protein ini pula mengandungi casein yang tinggi, iaitu pecahan dalam susu lembu yang sukar dihadamkan.

iii)Bahaya yang khusus dalam susu lembu ialah kandungan sodium dan posfat yang tinggi dan boleh everload buah pinggan bayi yang baru lahir.

iv)Bayi yang di beri susu ibu mempunyai IQ yang tinggi berbanding dengan bayi yang di beri susu tiruan.

v)Colostrum adalah cecair yang keluar daripada buah dada ibu selepas beberapa hari melahirkan bayi dan mengandungi protein yang tinggi dan antibodi untuk meningkatkan ketahanan badan bayi daripada penyakit-penyakit tertentu.

vi)Susu ibu mengandungi lipid dan protein yang mengubah komposisinya semasa penyususan ibu. Perubahan ini akan mengawal selera minum dan akan menunaikan keperluan makanan serta kehausan bayi tersebut.

- Hukum Bank Susu

Penubuhan bank susu menyebabkan berlakunya perbahasan penyusuan menurut Islam. Menurut Al-Qardawi, beliau menjelaskan bahawa penubuhan bank susu adalah satu kerja kebajikan yang disokong oleh Islam. Islam menyeru umatnya supaya memberikan tumpuan kepada golongan yang lemah tanpa mengambil kira sebab kelemahanya dan apatah lagi apabila ia melibatkan bayi yang tidak berdaya dan lemah.

Perempuan atau ibu yang mendermakan susunya secara sukarela untuk diberikan kepada bayi-bayi yang lemah dan tidak berdaya, maka ia akan diberikan pahala oleh Allah s.w.t. dan ianya merupakan satu perbuatan yang terpuji di sisi manusia. Malahan, harus membeli susu daripada ibu-ibu yang mempunyai air susu yang lebih untuk diberikan kepada bayi yang memerlukan. Ini sebagaimana harus menyewanya untuk menjalankan tugas penyusuan ke atas bayi itu sebagaimana yang telah dinaskan oleh al-Quran dan diamalkan oleh orang Islam.

Ada dua persoalan yang berbangkit daripada isu ini, pertama ialah masalah penyusuan yang disebutkan sebagai al-rada`ah dan kedua masalah hukum menjual susu manusia. Penumpuan ke atas ini hanyalah kepada persoalan Bank Susu Ibu.

Jika dirujuk kepada tindakan al-rada`ah atau penyusuan seseorang bayi ia boleh berlaku menerusi hisapan mulutnya atau penuangan susu ke dalam mulut atau hidungnya dan ini adalah pandangan Mazhab Hanafi, Maliki dan Shafi`i. Ketiga-tiga cara ini boleh berlaku dengan penggunaan susu dari Bank Susu Ibu.

Hanya satu pendapat di dalam Mazhab Hanbali sahaja yang mengatakan bahawa penyusuan tidak akan berlaku kecuali dengan hisapan bayi pada puting ibu susuannya.

Dr. Yusuf al-Qaradawi mengatakan bahawa penyusuan yang melahirkan hukum haramnya perkahwinan dan lain-lain itu merujuk kepada perkataan rada`ah yang bermaksud penyusuan menerusi puting ibu ke mulut seseorang bayi, sambutan bayi berkenaan terhadap penyusuan itu dan pergantungannya dengan si ibu yang menampilkan suasana manja dan mesra (antara kedua-duanya). Dalam pengertian ini ada tiga perkara asas yang perlu diperhatikan iaitu yang pertama: ibu yang tertentu yang memberi penyusuan dan yang kedua: melalui hisapan bayi pada puting ibu berkenaan dan kedudukan bayi di atas ribaannya atau dalam pelukannya yang menampilkan suasana pergantungan, kemanjaan kemesraan di antara bayi dengan ibunya.

Berdasarkan kepada kedudukan ini beliau menyimpulkan bahawa rada`ah atau penyusuan yang menimbulkan hukum penyusuan sama sekali tidak akan berlaku di dalam isu penyusuan bayi menerusi Bank Susu Ibu kerana beberapa sebab:
i)Personaliti ibu sebenar tidak akan dapat dikenalpasti kerana susu itu dikumpul daripada jumlah ibu yang ramai.

ii)Hisapan tidak mungkin berlaku pada puting seseorang ibu kerana bayi berkenaan akan diberikan susu menerusi hisapan pada puting botol susu atau pelbagai cara yang lain.

iii)Bayi sama sekali tidak akan berada di atas ribaan ibu susu yang sebenar. Dengan itu tidak terdapat jalinan mesra di antara bayi dengan ibu. Justeru, beliau menyimpulkan bahawa tidak timbul lagi masalah halangan perkahwinan di antara sesama anak sesusuan dan masalah-masalah yang lain.

Bertolak dari kedudukan ini, usaha untuk mewujudkan Bank Susu Ibu seharusnya digalakkan kerana ia memberi sumbangan besar kepada keperluan bayi, khususnya, para bayi yang bermasalah dengan dengan susu tiruan. Ia merupakan amalan terpuji dan tidak bercanggah dengan mana-mana prinsip syari`ah, malah ia adalah selaras dengan maqasid syari`ah yang antaranya bertujuan mengawal keselamatan diri manusia.

= Bank Darah

Pusat-pusat perubatan moden pada masa kini, telah menubuhkan institusi-institusi yang digunakan untuk menyimpan dan mengumpul darah. Kemudiannya ia akan diagihkan untuk memberi pertolongan cemas kepada pesakit yang memerlukan dan juga untuk menyelamatkan orang yang terlibat dalam kemalangan dan kehilangan banyak darah. Bank-bank ini merupakan peti sejuk dan bekas yang sesuai dari segi sains perubatan untuk menyimpan darah manusia, lengkap dengan alat-alat keceriaan bagi penjagaannya agar ianya tahan lama semaksimum yang mungkin.

Bank darah mempunyai dua sumber yang berbeza yang mana ianya daripada manusia itu sendiri iaitu:
i)Sumber daripada manusia yang hidup.
ii)Sumber daripada manusia yang telah meninggal dunia.

Sumber Pertama Iaitu Daripada Manusia Yang Hidup
Biasanya orang akan datang ke pusat menderma darah. Darahnya akan diambil dengan kadar tertentu dan setelah itu ia akan menjalani pemeriksaan doktor bagi memastikan kesihatannya tidak terjejas dan juga supaya darahnya selamat di gunakan oleh pesakit lain. Pada kebiasaannya, pemindahan darah ini berlaku antara mereka yang mempunyai hubungan kekeluargaan seperti ibu atau bapa dengan anak-anak ataupun sebaliknya. Operasi ini biasanya dilakukan terus tanpa menyimpannya terlebih dahulu.

Sumber Kedua Iaitu Daripada Orang Yang Mati
Kepakaran dan kemajuan sains teknologi yang ada membolehkan doktor-doktor pakar mengeluarkan darah daripada tubuh manusia yang telah meninggal dunia dan menyimpannya dalam bank darah untuk kegunaan kecemasan.


- Hukum Pemindahan Darah

Kedudukan hukum darah yang mengalir adalah sejajar dengan bangkai dan daging babi, ianya di haramkan bagi manusia berdasarkan nas al-Quran iaitu
حرمت عليكم الميتة ولدم و لحم الخنزير (al-Maidah : 5)
Bermaksud : diharamkan bagimu bangkai, darah dan daging babi

Walaupun hukum darah itu haram, namun ia sesuatu yang amat diperlukan dalam kehidupan manusia untuk berubat dengannya.

Para fuqaha berpendapat hukumnya harus berubat dengan bahan yang haram dan najis. Seandainya tidak ada bahan yang suci untuk dijadikan penggantinya. Oleh itu, pakar perubatan berpendapat bahawa untuk menyelamatkan seseorang pesakit tertentu dan ianya memerlukan pertambahan darah, maka harus dimasukkan darah ke dalam tubuh badanya.

Ini berlandaskan kaedah syarak
الضروريات تبيح المحظورات
Bermaksud : keadaan darurat mengharuskan perkara yang haram

Pengambilan darah dan pendermaannya daripada orang yang sihat untuk dimanfaatkan oleh pesakit yang memerlukan dan menyelamatkan mereka daripada meninggal, ia adalah satu rahmat kepada manusia. Rahmat adalah satu tuntutan kemanusiaan di dalam Islam.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud : kamu tidak beriman sehinggalah kamu mengasihi, mereka berkata :wahai Rasulullah, kami semua mengasihani. Baginda bersabda : sesungguhnya yang dimaksudkan bukanlah mengasihani seorang daripada kamu akan sahabatnya, akan tetapi mengasihani manusia keseluruhannya.

Berdasarkan hujah di atas, maka hukumnya harus mengambil darah orang yang masih hidup. Kemudiannya menyimpan dalam tabung darah untuk kegunaan kecemasan. Apabila harus mengambil darah daripada orang yang hidup, maka pengambilannya daripada mayat lebih-lebih lagi diharuskan dengan membuat perkiraan bahawa mengeluarkan darah mayat-mayat selepas kematiannya tidak akan menyakitkan dan tidak mengurangkan tenaga pergerakkannya. Oleh itu bank darah adalah halal pada syarak.

= Ijtihad Semasa Berkaitan Perkahwinan

- Kahwin Misyar

Perkataan misyar berasal daripada perkataan arab sara, sira, sirah, tasayara, masar dan juga masirah. Ia bermaksud, berjalan dan perjalanan. Ia juga boleh diertikan sebagai pemergian. Perkataan misyar sebenarnya ialah satu perkataan daripada bahasa dialek atau loghat (bahasa ammiyah) atau boleh juga disebut sebagai bahasa pasar yang digunakan di beberapa negara Teluk. Ia difahami sebagai: perjalanan dan tidak tinggal lama di sesuatu tempat.

Perkahwinan misyar dari segi istilah ialah perkahwinan di mana pengantin lelaki tinggal di rumah pengantin perempuan tetapi pengantin perempuan tidak pula berpindah ke rumah pengantin lelaki. Ia selalunya berlaku ke atas isteri kedua kerana si lelaki mempunyai isteri lain (isteri pertama) yang tinggal di rumah si lelaki dan menerima nafkah daripada lelaki tersebut.

Penggunaan istilah misyar amat popular di kalangan masyarakat Arab untuk membezakan nikah bersyarat (tidak menuntut nafkah zahir dan tempat tinggal) dengan perkahwinan biasa tanpa syarat di atas.

Kahwin misyar dipercayai berlaku di kalangan masyarakat Islam berfahaman Sunni di Mesir pada awal 1825. Ia telah difatwakan dalam undang-undang secara rasmi di Mesir oleh Sheikh Muhammad Sayid Tantawy pada 1999.

Ia dipercayai menjadi amalan lelaki kaya dari Kuwait dan Arab Saudi yang berkahwin secara misyar semasa dalam percutian. Ini menghalalkan mereka mengadakan hubungan seks. Mereka mengembara ke negara-negara miskin seperti Mesir atau Syria dan berjumpa dengan orang tengah yang boleh mengatur perkahwinan mereka dan sesetengahnya melalui atas talian. Lelaki Mesir yang bekerja di negara-negara Teluk juga gemar berkahwin misyar daripada hidup sendirian.

Menurut Pensyarah Kuliah Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Zulfakar Ramlee, terdapat tiga pandangan ulama berhubung nikah misyar iaitu harus, harus tetapi tidak digalakkan dan haram.

Sheikh Dr. Yusuf al-Qardawi menyarankan agar syarat-syarat yang termaktub dalam nikah misyar tidak ditulis dalam akad supaya ia menjadi persetujuan lisan antara pasangan dan bukannya dipaksa.

Pandangan ulama yang menyatakan nikah misyar haram kerana ia merupakan satu bentuk penghinaan terhadap kaum wanita dan mengambil kesempatan di atas situasi yang dialami oleh wanita. Malah syarat yang diletakkan adalah tidak sah dan membatalkan nikah kerana syarat tersebut bertentangan dengan objektif syarak dalam perkahwinan.

Zulfekar berkata, untuk meluluskan pernikahan misyar di negara ini, beberapa perkara perlu diberikan perhatian terutama membabitkan undang-undang keluarga Islam. Misalnya, dalam undang-undang terdapat definisi jelas berkaitan dengan misyar dan seksyen lain yang melibatkan tanggungjawab nafkah kepada anak-anak.

Perunding syarie JIM, Prof. Madya Alias Osman berkata, perkahwinan misyar akan memberikan kesan dari segi hak dan tanggungjawab isteri terhadap suami, suami terhadap isteri dan masa depan anak-anak. Saranan yang dikeluarkan oleh Sheikh Dr. Yusuf al-Qardawi berkenaan syarat misyar adalah bertujuan untuk melindungi kaum wanita. Sekiranya setiap syarat tertulis semasa akad nikah, ia akan menjadi lebih rigid dan wanita akan kehilangan hak-hak mereka.

Tegas beliau, walaupun isteri rela untuk tidak diberikan nafkah, mereka tetap berhak mendapat nafkah batin, kebahagiaan rumah tangga, didikan agama, perlindungan, penghormatan, tuntutan harta sepencarian, harta pusaka dan hak sebagai isteri jika dimadukan. Begitu juga anak-anak berhak mendapat sepenuh perhatian dan kasih sayang daripada bapa mereka.

Kerelaan isteri melepaskan hak pemberian nafkah tidak menggugurkan hak-hak suami dari segi kebenaran poligami, harta sepencarian dan pusaka jika isterinya meninggal dunia. Bagaimanapun, suami menanggung sendiri hidupnya dan bukan daripada harta isteri kerana ia bukan kewajipan bagi isteri.

Datuk Seri Harussani Zakaria pula menganggap perkahwinan misyar sebagai mengarut kerana kesucian ikatan perkahwinan tidak seharusnya dipermain-mainkan kerana ia adalah satu perjanjian yang dibuat antara wali dan si lelaki untuk mengambil seseorang wanita sebagai isteri. “Perkahwinan misyar tidak boleh dihalalkan kerana sepanjang pengetahuan saya, belum pernah berjumpa dengan amalan perkahwinan seumpama ini tambahan ia lebih teruk daripada mutaah. “Malah, dalam al-Quran sendiri tiada disebutkan amalan misyar. Mutaah diharamkan oleh kerajaan kerana ia menganiaya wanita.

Jadi perkahwinan misyar tidak harus dibolehkan apatah lagi matlamatnya hanya untuk menghalalkan persetubuhan,” katanya. Dalam hubungan ini, sungguhpun ada wanita yang merelakan perkahwinan berkenaan, soalnya di mana maruah wanita apabila dinikahi lelaki semata-mata untuk melepaskan nafsunya. Tidak dapat dibayangkan betapa perkahwinan seumpama itu boleh mengkucar-kacirkan institusi keluarga yang semakin menuju kehancuran. Jika dibenarkan, mudahlah wanita dikahwini dan ditinggalkan begitu saja apabila perkahwinan itu sendiri mengizinkan lelaki untuk meninggalkan isteri berbulan-bulan atau bertahun-tahun lamanya tanpa sebarang nafkah. Beliau berkata, sememangnya amat wajar apabila aktivis hak asasi wanita di rantau Arab membantah keras keputusan Perhimpunan Perundangan Islam yang berpusat di Mekah meluluskan ketetapan untuk membenarkan lelaki Islam sunnah mengamalkan perkahwinan misyar.

Peguam Syariah dan Perunding Keluarga Islam, Prof Madya Noor Awang Hamat, berkata konsep perkahwinan misyar tiada bezanya dengan pelacuran apabila lelaki bebas menikahi mana-mana wanita yang disukainya dan menceraikannya sesuka hati selepas beberapa hari bernikah. Begitu juga sebaliknya, wanita boleh menikahi mana-mana lelaki yang disukainya. Beliau berkata bahawa Misyar bertentangan sama sekali dengan konsep asal perkahwinan yang bertujuan memelihara kesejahteraan wanita dan anak yang dilahirkan. Masyarakat kita tidak boleh menerima amalan ini sebab al-Quran sudah menetapkan perkahwinan itu yang berlandaskan mawaddah warrahmah (kasih sayang) yang tidak dapat diperoleh daripada misyar.

Beliau juga mengatakan bahawa perkahwinan misyar mengetepikan hak wanita sebagai isteri tidak terlaksana yang sudah pasti melanggar hukum syarak. Walaupun isteri reda, wanita harus sedar perkahwinan berkenaan sekadar memberikan kepentingan kepada satu pihak semata-mata iaitu suami. Beliau turut berpendapat perkahwinan misyar hanya akan memburukkan lagi keadaan yang dialami wanita hari ini yang diabaikan suami dari segi pemberian nafkah dan tanggungjawab lain. Alasan mengamalkan misyar untuk mengelakkan perzinaan tidak boleh diterima kerana Islam memberikan alternatif lebih baik untuk tujuan berkenaan seperti poligami. Poligami sudah cukup untuk membendung gejala zina, tetapi malangnya masyarakat tidak mendapat maklumat tepat mengenainya menyebabkan poligami dianggap sesuatu yang negatif semata-mata. Keadaan di sini tidak boleh disamakan dengan lelaki di Arab Saudi kerana dari segi kewangan mereka lebih dominan dan akur dengan undang-undang syariah.

- Kahwin Melalui Mel Elektronik

Kita sedia maklum bahawa akad perkahwinan dalam Islam adalah dititik beratkan. Menurut pendapat Dr. Muhammad Siddiqi, telah menyatakan bahawa ahli-ahli fiqh telah menegaskan, perkahwinan melalui surat menyurat atau telefon tidak dibenarkan, demikian juga dengan mel elektronik.

Perkahwinan dalam Islam adalah merupakan kontrak hukum yang rasmi. Syariah menitik beratkan pengumuman perkahwinan dan tidak mengizinkan sebarang keraguan. Oleh itu, saksi nikah diperlukan.

Jika pihak-pihak yang hendak berkahwin tidak dapat hadir maka mereka boleh melantik wakil. Orang yang akan berkahwin itu hendaklah melantik saudara lelakinya atau saudara perempuannya sebagai wakil. Melantik wakil melalui telefon, faks, atau mel elektronik dibolehkan. Wakil itulah yang harus melakukan ijab dan qabul bagi pihak yang melantiknya.

Oleh itu, perkahwinan melalui mel elektronik tidak sah kerana suatu akad perkahwinan itu memerlukan saksi dan saksi itu perlu hadir semasa akad dijalankan.

Penceraian Melalui Mel Elektronik atau Sistem Pesanan Ringkas (SMS)

Penceraian ialah perkara yang dibenarkan di dalam Islam. Namun, ia merupakan perkara yang paling dibenci oleh Allah Taala. Syeikh Hamed Al-Ali menyatakan pandangannya bahawa penceraiaan yang bertulis adalah diterima sama ada tulisan itu di atas kertas, sistem pesanan ringkas atau dengan cara lain. tetapi kita hendaklah memastikan bahawa si suamilah yang menulis kata-kata perceraian itu. Jika si suami mengaku bahawa dialah yang menulisnya atau mengirim sistem pesanan ringkas itu, maka perceraian itu dianggap sah.

Perceraian secara bertulis adalah sah mengikut pandangan sebahagian ulamak terutama ulama keempat-empat mazhab fiqh. Akan tetapi, sebahagian mereka berpendapat bahawa perceraian itu diterima walaupun si suami tidak berniat menceraikan si isteri. Sebahagian yang lain pula berpendapat perceraian itu tidak boleh diterima melainkan perceraian itu memang diniatkan, kerana sebab perceraian itu adalah merupakan perceraian yang meragukan.

Pandangan yang terakhir itu dipegang oleh Imam Abu Hanifah, Malik dan Al-Shafie. Mereka berpendapat bahawa menulis mungkin bertujuan menguji penanya atau hendak menambah baik tulisan tangannya atau hendak menyebabkan keluarganya sedih, jadi tulisan itu berlaku tanpa niat.

Dua perkara penting yang perlu dilihat dan dinilai apabila suatu perceraian itu dilakukan dengan menggunakan khidmat pesanan ringkas ataupun mel elektronik adalah:

1.Jika si suami mengaku bahawa dialah yang mengarang surat perceraian itu maka perceraian itu dianggap sah dan dikira bercerai dengan talak satu.

2.Jika si suami tidak mengakuinya atau dia sedang bermusafir dan tidak dapat dihubungi, sedangkan si isteri menerima mel elektronik atau sistem pesanan ringkas, maka kita mengambil fatwa fiqh yang menyatakan: “kepastian tidak boleh dihapuskan dengan perasaan ragu semata-mata”

Jadi, perkahwinan itu tidak boleh dibatalkan melainkan dengan adanya dua orang saksi yang adil dan yang membuktikan bahawa si suamilah yang mengirimkan kata-kata perceraian itu. Sekiranya tidak ada dua orang saksi yang adil dan si suami tidak mengaku menghantar SMS itu, maka perkahwinan itu masih sah.

= Ijtihad Semasa Berkaitan Muamalat

- Pinjaman Membeli Kereta Dibenarkan Oleh Sebab Keperluan

Riba ialah sebarang tambahan secara kontrak dalam hal pinjam meminjam. Riba adalah haram dan dianggap salah satu daripada dosa besar dan perbuatan itu melanggar perintah Allah. Jika dilihat riba dari sudut keperluan, hendaklah dinyatakan bahawa keperluan itu benar-benar wujud. Contoh yang paling mudah tentang keperluan ini ialah dalam hal kelaparan dan tiada makanan yang dapat diperoleh melainkan dengan pinjaman yang berasakan riba.

Dalam hal kereta yang diperlukan untuk bekerja mungkin terdapat keperluan dan membenarkan pinjaman dibuat dengan membayar faedah. Tetapi untuk menunjukkan keperluan itu betul-betul ada, kita perlu melihat kepada beberapa syarat:

1.Kereta itu merupakan satu-satunya kenderaan yang diperlukan untuk tiba di tempat kerja.

2.Pendapatan daripada pekerjaan itu merupakan satu-satunya sumber pendapatan.

3.Tidak ada cara pembiayaan lain untuk membeli kereta melainkan dengan pinjaman berasakan riba.

Nilai kereta itu hendaklah yang serendah-rendahnya, besarnya jumlah pinjaman hendaklah paling minimum setelah tiada lagi sumber lain dan sebagainya telah diusahakan.


= PENUTUP

Keperluan masyarakat Islam pada hukum Islam semasa sentiasa wujud mengikut perubahan masa. Kegagalan memenuhi tuntutan ini, akan menyebabkan pengaruh hukum Islam akan menjadi pudar.
Era pembangunan yang dialami oleh masyarakat Islam telah menimbulkan pelbagai persoalan yang baru dalam kehidupan. Dan persoalan ini perlu dijawab berasaskan kepada masyarakat yang ada pada sekarang.

Oleh itu, sudah menjadi tanggungjawab kepada umat Islam seluruhnya untuk mencari jawapan baru kepada persoalan-persoalan baru yang bersesuaian dengan keadaan setempat tanpa membelakangkan hukum-hukum fiqh sebagai asas mengistinbatkan hukum.
Dengan adanya para mujtahid pada zaman ini akan dapat menyelesaikan persoalan semasa bagi memenuhi keperluan masyarakat pada hari ini.


RUJUKAN

Al-Quran

A.Hanafi.1988. Usul Fiqh. Selangor: Klang Book Centre.

Abdul Latif Muda Dan Rosmawati Ali. 1997. Pengantar Usul Fiqh. Kuala Lumpur: Pustaka Salam.

Dr. Basri Bin Ibrahim Al-Hassani Al-Azhari. 2004. Pemindahan Organ Dalam Islam Dan Pelaksanaannya Di Malaysia, Terbitan Al-Hidayah Publishers. Dicetak Oleh Percetakan Putrajaya Sdn.Bhd.

Dr. Kassim Salleh (1989), Ijtihad Sejarah Dan Perkembangannya, Penerbit Al- Rahmaniah,

Http://Drhasanah.Com/2006/Wacana-Nikah-Misyar-Anjuran-Jemaah-Islah-Malaysia-Jim/.
Http://Www.Ikim.Gov.My/V5/Index.Php?Lg=1&Opt=Com_Article&Grp=2&Sec=&Key=928&Cmd=Resetall.
Syeikh Al-Muqari Hj Othman Hamzah. 2006. Fatwa Menempuh Kehidupan Moden. Terbitan Daud Baharum Subang Jaya. Cetakan Gading Kreatif Petaling Jaya.

Ustaz Zawavi Bin Zainal Abidin. (2006). Nota Kuliah Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS).

Yusuf Al- Qardawi. Terjemahan Oleh Dr. Achmad Syathori. (1987). Ijtihad Dalam Syariat Islam. Thinker’s Library Sdn Bhd.

Yusuf Al-Qaradawi. (1998). Hawl Zawaj Al-Misyar. Majallah Al-Mujtama’ Al-Kuwaitiyyah. Majallah Al-Syariah.